
SEKURANG-KURANGNYA 15 orang terkorban dalam satu kemalangan di sebuah stesen kereta api berdekatan New Delhi, India pada lewat Sabtu.
Memetik laporan di India, orang ramai berpusu-pusu mengejar kereta api tersebut untuk menuju ke sambutan festival Kumbh Mela yang diraikan oleh puluhan penganut agama Hindu di sana.
Punca kejadian didapati disebabkan oleh rempuhan akibat orang ramai yang berebut-rebut mengejar kereta api supaya tidak terlepas ke acara tersebut yang berakhir pada 26 Februari.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah tak pantau ketika bermain, ibu cemas lihat anak hampir 'biru' terjerut tali
"Saya boleh sahkan 15 kematian di hospital. Mereka tidak mempunyai sebarang kecederaan terbuka. Majoritinya (mati disebabkan) oleh hipoksia (kekurangan oksigen dalam tisu badan) atau kecederaan biasa. Tetapi ia hanya boleh disahkan menerusi bedah siasat.
"Terdapat juga 11 individu lain yang cedera. Kebanyakan mereka berada dalam keadaan stabil dan mengalami kecederaan ortopedik," kata pakar perubatan, Dr Ritu Saxena yang terlibat dalam pengurusan kes itu.
Gabenor wilayah ibu negara Delhi, Vinai Kumar Saxena, berkata pasukan pengurusan bencana telah diarahkan dengan pihak hospital diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi berdepan sebarang kecemasan berkaitan insiden itu.
Acara Kumbh Mela merupakan sambutan terbesar dalam kalendar keagamaan Hindu. Seramai 500 juta penganut agama itu sudah menghadiri acara tersebut sejak ia dimulakan pada Januari.
Pada 1954, seramai 400 nyawa terkorban akibat situasi serupa manakala 36 lagi mengalami nasib serupa semasa ia diadakan di Prayagraj, India pada 2013. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram