
DENGAN sekali lafaz, pelakon dan penyanyi terkenal, Wanna Ali sah bergelar isteri kepada Khairil Amri Khalid dalam sebuah majlis ijab qabul penuh adat dan keindahan di Petaling Jaya, Selangor.
Majlis berlangsung pada tanggal 9 Februari lalu memperlihatkan anak kepada penerbit filem dan drama, Datuk Ayu Puteh tampil memukau dalam persalinan eksklusif daripada pereka fesyen terkemuka, Ezuwan Ismail.
Busana pengantin berona putih yang dipilih menampakkan susuk elegan, menyerlahkan sisi anggun dan sofistikated Wanna atau nama sebenarnya, Norsyazwana Mohd Ali, 28.
Solekan berkonsepkan malar segar dipilih bagi menyerlahkan lagi kejelitaan bintang utama drama Angkara Cinta itu.
Sentuhan mekap semula jadi yang dipilih memberi fokus kepada kulit yang bersinar, dengan bibir nude lembut sebagai penambah seri pada wajah Wanna.
Penampilan tersebut turut disempurnakan lagi dengan hasil tangan penata gaya rambut, Emmie Lee sekali gus mencipta dandanan gaya klasik di sepanjang hari bersejarah itu.
Dalam majlis pernikahan secara tertutup tersebut, Wanna dinikahkan Ustaz Abdul Salam Mahmud dari Masjid Damansara Perdana dengan berwalikan bapanya, Mohd Ali.
Beliau menerima sebentuk cincin dan mas kahwin berupa 10 dinar emas.
Sentuhan mekap semula jadi yang dipilih memberi fokus kepada kulit yang bersinar, dengan bibir nude lembut sebagai penambah seri pada wajah Wanna. — Instagram/azni.hadi
Menjengah ke majlis resepsi di sebelah malam pula, pasangan sama cantik sama padan itu melangkah di lokasi yang sama, Glam Hall Damansara, dengan gabungan tema rona putih dan dusty blue.
Saat berarak menuju ke singgahsana pelaminan, figura jelita itu tampil anggun menggayakan busana daripada pereka fesyen, Shanel Harun.
"Truly a masterpiece Nell! Mengenang kembali detik kita di butik yang sama enam tahun lalu apabila saya berkata, tolong buatkan gaun saya (untuk perkahwinan).
"MashaAllah, terima kasih kerana menunaikan impian saya," ungkap Wanna menerusi laman Instagram beliau.
Penampilan memukau kedua mempelai mencuri begitu banyak mata yang hadir bagi meraikan penyatuan dua hati.
Wanna (kanan) diiringi ibunya ketika majlis pernikahan yang diadakan pada 9 Februari lalu. — Instagram/wannaali
Busana bernilai lebih RM30,000 itu dihiasi ribuan kristal berkilauan dan manik yang dijahit penuh teliti, menjadikannya satu karya seni yang tidak hanya memancarkan kemewahan, tetapi juga keanggunan.
Menurut Shanel, gaun pengantin yang mengambil masa lebih 1,000 jam untuk disiapkan adalah hasil karya couture yang terhasil dengan penuh rasa cinta dan dedikasi.
"Setiap inci gaun pengantin tersebut mencerminkan ketelitian dan kepakaran artisan dengan kristal yang dipilih dengan teliti untuk mencipta kilauan yang sempurna di hari istimewa Wanna.
Busana Shanel dihiasi ribuan kristal berkilauan dan manik yang dijahit penuh teliti. — Instagram/shanellharun
"Setiap manik menghiasi gaun ini dijahit penuh ketelitian, memberi impak memukau dan menjadikan pengantin bersinar di hari bahagianya.
"Keindahan gaun pengantin ini bukan sahaja terletak pada rekaan mewah, tetapi juga pada setiap elemen yang dirancang dengan penuh perasaan dan dedikasi untuk memastikan Wanna terlihat anggun dan menawan sepanjang hari perkahwinannya," katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya, shanellharun.
Penampilan memukau kedua mempelai mencuri begitu banyak mata yang hadir bagi meraikan penyatuan dua hati. — Instagram/wannaali
Wajah manis Wanna menerima sentuhan magis Fiqqi Abdullah, manakala dandanan rambut elegan dan anggun Wanna disempurnakan oleh Emmie Lee.
Tidak sekadar meraikan cinta dua insan, pernikahan dan resepsi tersebut menjadi simbol kekuatan dedikasi serta seni dalam dunia fesyen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram