
DALAM industri perniagaan majlis perkahwinan, jenama Bizmilla merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Sebagai penyedia perkhidmatan sehenti majlis perkahwinan, Bizmilla yang merupakan syarikat diasaskan penyanyi, Mila Jirin kini memiliki tujuh cawangan di seluruh negara dengan empat di Lembah Klang, dua di Johor Bahru, Johor dan satu di Pulau Pinang.
Bagi rangkaian penyediaan katering pula, syarikat yang mula beroperasi pada 2013 itu turut mempunyai tiga dapur pusat masing-masing terletak di ketiga-tiga negeri tersebut.
BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain
BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta
Selain itu, Bizmilla turut mempunyai 18 dewan jamuan yang disediakan untuk pelbagai acara, sekali gus menjadikannya pusat penyedia perkhidmatan perkahwinan terbesar di Malaysia.
Dengan perkembangan tersebut, syarikat terbabit kini dilapor menyasarkan bagi memperoleh pendapatan mencecah RM50 juta pada tahun ini.
Di sebalik pencapaian itu, pasti ramai tidak menyangka bahawa perniagaan tersebut hanya bermula dengan sebuah restoran di Puchong, Selangor.
Berkongsi kepada Majoriti, Mila atau nama lengkapnya Norsyarmilla Jirin, 38, sebelum memulakan Bizmilla, beliau pernah mempunyai beberapa perniagaan meskipun ketika itu masih aktif menyanyi.
Pesanan suami menjadi titik tolak buat Mila (kanan) untuk menjadi usahawan. — Mila Jirin
Ujarnya, idea untuk menceburi bidang perniagaan itu timbul daripada perbualan bersama suaminya, Isz Mustapha (ketika itu teman lelaki).
"Bagi seorang anak seni, semua orang tentu tahu mengenai pasang surut kerjaya ini.
"Jadi pada waktu itu, sahabat yang kemudiannya menjadi suami menzahirkan kata-kata, apa akan jadi kalau tiba-tiba ALLAH tarik nikmat suara saya.
"Semasa itu, saya menanggung keluarga 100 peratus. Mak ayah tidak bekerja dan adik-adik pun masih bersekolah.
"Jadi apabila suami keluarkan baik-bait kata sedemikian, ia menjadi satu titik tolak buat saya untuk belajar menjadi usahawan," katanya.
Lalu, beliau pernah mencuba mengorak langkah berniaga termasuk menubuhkan syarikat pengurusan acara yang menjadi syarikat pertamanya, selain mengeluarkan produk kecantikan sendiri.
Bagaimanapun, kerana kurang pengalaman dan ilmu, kedua-dua syarikat terbabit tidak berjaya kekal lama dan terpaksa ditutup.
Bizmilla turut mempunyai 18 dewan jamuan yang disediakan untuk pelbagai acara. — Bizmilla
"Waktu itu tiada ilmu. Lepas itu ikut orang. Orang keluar produk kosmetik, kita pun nak buat. Masa ini memang fasa anak muda buat apa sahaja umpama macam langgar dinding.
"Tapi bagi saya semua itu pengalaman yang cukup berharga," ujarnya.
Akibat dua kegagalan pertama terbabit, Mila berkata, beliau dan suaminya, Isz Mustapha kemudian membuat pilihan membuka perniagaan berasaskan makanan kerana ia dilihat lebih terjamin dan 'evergreen'.
Bermula daripada situ, beliau berkata, mereka mengambil keputusan membuka sebuah restoran di Puchong, Selangor pada 2009.
"Daripada situlah saya mula memperkembangkan perniagaan dalam industri F&B (makanan dan minuman) hingga tertubuhnya Bizmilla pada 2013," ujarnya.
Cabaran besarkan perniagaan
Bagaimanapun, Mila mengakui proses untuk membolehkan syarikatnya berdiri tahap sekarang tidaklah datang dengan mudah.
Menurutnya, sebagai organisasi bermula daripada bawah, beliau turut berdepan kesukaran bagi meyakinkan institusi kewangan memberikan pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan.
Malah, beliau juga pernah berdepan tanggapan negatif terhadap perniagaan pengurusan perkahwinan diceburinya yang dianggap perniagaan kelas ketiga dan sukar untuk berjaya.
Ujarnya, peristiwa tersebut berlaku kira-kira 14 tahun ketika beliau berjumpa dengan seorang pegawai bank untuk memohon pinjaman sebanyak RM100,000 membesarkan perniagaa.
Mila bersama suami. — Mila Jirin
"Masa peristiwa itu, saya memang menangis di dalam kereta. Tapi suami menenangkan bahawa dia (pegawai bank) bukan Tuhan untuk berkata begitu," ujarnya.
Selain itu, Mila berkata, dengan peningkatan operasinya yang kini melibatkan lebih 200 pekerja, ia turut memberikan cabaran cukup besar dari segi pengurusan perniagaan.
"Apabila makin ramai pasukan, lagi banyak kepala, lagi banyak punya cabaran. Tetapi apa yang saya belajar adalah apabila membesarkan perniagaan, kita memang perlu menambah pasukan untuk membantu. Tak boleh buat semua sendiri.
"Kalau di Bizmilla, kami guna khidmat pekerja yang mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk bersama-sama mengemudi perniagaan.
"Jadi kita memang perlu ada pasukan yang ada hala tuju sama untuk berjaya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram