Wanna Ali idam lelaki 'family man', rancang berhenti berlakon sebelum 40 tahun


  • Hiburan
  • Isnin, 28 Okt 2024

Wanna Ali merupakan pelakon popular meningkat naik dalam industri hiburan tanah air.

PELAKON cantik, Wanna Ali, 27, atau nama sebenarnya Nor Syazwana Mohd Ali tidak merancang untuk meneruskan karier lakonan dalam jangka masa panjang.

Boleh dianggap sebagai 'bidan terjun' dalam dunia lakonan, Wanna mula membuat debut pertamanya pada usia 15 tahun hasil dorongan ibunya, Datuk Normashayu Puteh yang juga merupakan seorang penerbit filem.

Filem Aku Ada, Kau Ada??? menyaksikan penampilan pertama pelakon itu di pentas layar perak pada 2012 bersama beberapa pelakon terkenal seperti Yana Samsudin, Shaheizy Sam dan Kamal Adli.

BACA LAGI: 'Tiada lagi netizen kacau saya', Jehan Miskin sudah penat jadi artis, hidup tenang sebagai pengarah komersial

BACA LAGI: [VIDEO] Asalnya kumpulan nasyid, ‘Di Renjis-Renjis’ versi rock metal jadi identiti muzik CSE Buskers

Akui masih baru dalam dunia hiburan tanah air, Wanna sentiasa menghargai orang di sekelilingnya dan dalam pada masa sama menjalankan tanggungjawab sebagai seorang artis serta anak sulung dalam keluarganya.

wanna-ali-fattah-amin

Wanna Ali ketika bergandingan bersama Fattah Amin menerusi sebuah drama baru-baru ini.

"Bermula dalam industri di usia yang sangat muda, saya perlu belajar untuk berdikari dan buktikan saya bukan perempuan yang lemah.

"Sebagai anak sulung, saya dah biasa pikul tanggungjawab dan tegas dalam buat keputusan.

"Ia membuatkan saya lebih matang dan cepat sesuaikan diri dengan persekitaran dengan pendapat saya sendiri," katanya.

Berkongsi kisah peribadinya, Wanna tidak menolak untuk berkahwin dalam masa terdekat namun, pasangannya perlulah sentiasa memahami komitmen dan pekerjaannya sebagai seorang selebriti.

"Bagi saya, perkahwinan bermakna kita fokus untuk membina keluarga, niat untuk bersuami dan berkeluarga memang sentiasa ada.

"Sebab itu kalau saya kahwin, saya tak kisah untuk berundur dari dunia lakonan.

"Kalau pada ketika itu suami enggan saya terlibat dalam industri maka saya akur dengan perkara tersebut, tumpuan utama perlu diberikan kepada keluarga," katanya.

Mengimpikan seorang lelaki yang sangat mementingkan nilai kekeluargaan, Wanna berharap dipertemukan jodoh dengan pasangan sedemikian.

"Bagi saya, cara layanan seorang lelaki terhadap keluarga terutamanya ibunya, sangat penting.

"Saya mengharapkan pasangan saya sanggup berkongsi komitmen keluarga dan mendahulukan keluarga daripada segala-galanya.

"Saya tak lihat diri saya sebagai pelakon di usia 40-an, mungkin tak sampai 30-an pun," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram