DI tengah-tengah ketenangan dan keindahan alam semula jadi Janda Baik, Pahang, terdapat sebuah kafe kecil menawarkan pengalaman kopi yang luar daripada kebiasaan.
Dikenali sebagai Kopi Kamboh, kafe sederhana ini diusahakan Hamizi Yusof, 38, yang juga seorang pengurus ladang penternakan kambing di 'Janda Baik Goat Farm'.
Berbeza dengan kafe lain, Kopi Kamboh tampil menawarkan kelainan apabila memilih menjadikan susu kambing segar sebagai asas utama dalam penyediaan kopi.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Suasana di gerai Kopi Kamboh ketika operasi di waktu malam yang dipenuhi dengan pengunjung. — KopiKamboh
Berkongsi kepada Majoriti, Hamizi yang juga lebih mesra disapa sebagai Ucop berkata, idea untuk menjual kopi berasaskan susu kambing itu timbul selepas ladangnya berdepan kesulitan menghabiskan stok harian susu kambing segar.
Pada waktu itu, dia berkata, negara masih sedang berdepan dengan kesan pandemik Covid-19 sekitar 2012.
"Jadi masa itu memang sukar nak jual susu. Banyak stok yang kami terpaksa simpan dalam peti sejuk beku," ujarnya yang berasal dari Kuala Berang Terengganu dan sudah menetap di Janda Baik sejak 2011.
Hamizi berkata, pada awalnya, dia sememangnya tidak terfikir untuk menggunakan susu kambing sebagai bahan penyediaan kopi.
Menurutnya, ilham tersebut hanya hadir secara tidak sengaja ketika dia menghadiri rumah terbuka salah seorang pakciknya di Kuala Lumpur.
"Pakcik saya memang selalu beli stok susu kambing daripada ladang kita. Jadi waktu saya datang rumah terbuka itu, dia hidangkan kopi dengan susu kambing. Dekat rumah dia pun memang ada mesin kopi.
"Bila dia hidangkan, semua orang memang suka. Daripada situ kita tahu yang ok juga kalau pakai susu kambing untuk buat latte atau cappuccino. Jadi kita pun fikir kenapa tidak kita jual kopi pakai susu kambing," katanya yang tinggal bersama isterinya di Janda Baik selepas melangsungkan perkahwinan pada 2015.
Bermula daripada situ, dia bersama seorang rakannya di ladang yang mempunyai pengalaman bekerja sebagai barista memulakan langkah membuka Kopi Kamboh yang beroperasi di sebuah gerai tepi jalan di Simpang Tiga, Janda Baik pada Februari 2023 dengan modal permulaan sekitar RM8,000.
Antara pelanggan yang hadir di Kopi Kamboh. — KopiKamboh
Hamizi mengakui dia pada awalnya berdepan dengan cabaran untuk memperkenalkan pelanggan terhadap penggunaan susu kambing dalam penyediaan kopi.
Selain harganya yang agak mahal, dia berkata, rata-rata daripada pengunjung juga dilihat agak kurang biasa dengan rasa yang ditawarkan kerana lebih lazim dihidangkan dengan kopi berasaskan susu lembu.
"Bila kita sebut susu kambing, ramai yang takut sebab bau dia. Jadi memang agak susah nak jual. Tapi untuk tangani isu itu, kita biasanya akan tambah perisa sirap seperti caramel atau vanilla supaya bau dia lebih mild (kurang bau).
"Bila kita buat macam itu, ramai yang agak kagum dan terkejut sebab dia kata tak bau sangat terutamanya kalau kopi sejuk," katanya yang kini bekerja separuh masa di ladang penternakan 'Janda Baik Goat Farm' sambil menguruskan Kopi Kamboh ketika hujung minggu.
Antara aneka minuman yang disediakan buat pelanggan di Kopi Kamboh. — KopiKamboh
Menurut Hamizi, rata-rata daripada pelanggannya juga terdiri daripada anak muda berusia antara 20 hingga 40 tahun dan pelancong yang melakukan aktiviti hujung minggu di Janda Baik.
Pada waktu ini, Hamizi berkata, kafenya beroperasi tiga hari setiap minggu bermula Jumaat pada pukul 4.30 petang hingga pukul 11 malam manakala Sabtu dan Ahad pula bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 11 malam.
Selain kopi, Kopi Kamboh turut menyediakan menu manisan antaranya kek keju dan brownies.
Hamizi berkata, bergerak ke hadapan, dia mempunyai perancangan untuk bergerak dengan trak makanan bagi memperkenalkan lagi Kopi Kamboh kepada pelanggan khususnya sewaktu hari bekerja ketika gerainya tidak beroperasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram