
PERKAHWINAN merupakan satu ikatan yang bukan sahaja melibatkan cinta dan kasih sayang, bahkan tanggungjawab perlu digalas oleh kedua-dua pasangan.
Dalam Islam, suami diberi tanggungjawab utama menyediakan nafkah dan menjaga kesejahteraan keluarga, termasuk hal perbelanjaan rumah tangga.
Bagaimanapun, dalam dunia moden ini, banyak pasangan memilih untuk berkongsi beban kewangan menerusi konsep bayaran 50-50 merujuk pada separuh dibayar suami manakala separuh lagi dilunaskan oleh isteri.
Namun, dalam realiti kehidupan berumah tangga, tiada formula tepat mengenai cara terbaik untuk berkongsi tanggungjawab perihal kewangan.
Ika (kiri) dan Ain masing-masing mempunyai pendapat sendiri berhubung isu ini. — Instagram selebriti
Setiap pasangan mempunyai situasi dan keperluan yang berbeza-beza, yang menyebabkan pandangan tentang konsep 50-50 ini turut berbeza.
Beberapa selebriti wanita tempatan berkongsi pandangan mereka mengenai isu ini, memberi pelbagai perspektif tentang bagaimana pembahagian kewangan seharusnya ditentukan.
Menurut pelakon dan usahawan, Ika Nabella, dalam konteks perkahwinan, bayar 50-50 sebenarnya boleh diterima selagi mana kedua-dua pihak bersetuju.
"Jika isteri okey, suka, reda, berlapang dada ingin membantu suami, saya rasa tiada masalah sebab perkahwinan kena ada persetujuan kedua-dua pihak," katanya.
Namun, beliau turut menekankan, suami tetap menggalas tanggungjawab utama dalam hal kewangan rumah tangga meliputi penyediaan rumah, makanan, pakaian dan ubat-ubatan untuk isteri.
Tambahnya lagi, dalam perjalanan perkahwinan yang panjang, mungkin ada masa isteri berasa letih dan ingin fokus kepada dirinya sendiri, selepas banyak membantu suami selama ini.
“Sekarang banyak berlaku situasi awal perkahwinan, isteri okey, tetapi apabila sudah bertahun, tiba-tiba rasa sudah letih dan enggan 50-50. Saya rasa tiada masalah pun kalau macam tu," ujarnya.
Berbeza pula dengan pandangan pelakon dan pengacara, Ain Edruce yang lebih memilih suaminya menanggung semua perbelanjaan. Namun, beliau tetap menunjukkan sikap terbuka dalam keadaan tertentu.
“Tak adalah 50-50 sangat, mestilah nak lelaki tanggung semua seperti 80-20," kata ibu yang bakal menimang cahaya mata kedua itu.
Namun, Ain turut menegaskan pentingnya para suami yang bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab dalam perkahwinan.
“Kalau tiba-tiba dia terdesak tiada wang, tolonglah sebagai isteri nak pahala ke tak?” katanya bersahaja memberi gambaran bahawa keadaan kewangan pasangan mungkin berubah mengikut masa.
Dari kiri: Wany, Hawa dan Dayana menyifatkan pembahagian perbelanjaan isi rumah perlu melalui perbincangan yang matang. — Instagram selebriti
Sementara itu, Wany Hasrita berpendapat bahawa soal 50-50 bergantung kepada perbincangan antara pasangan itu sendiri.
"Terserah kalau nak 50-50, tetapi pada saya, masing-masing perlu ada common sense yang bagus, perlu ada pengetahuan agama bagus supaya '50-50' itu nanti kemudian hari tidak rasa berat," ujarnya.
Beliau menambah, apabila perbincangan dilakukan dengan matang, ia akan mengelakkan rasa beban yang tidak perlu antara pasangan.
Pun begitu, tidak semua berpendapat bahawa pembahagian 50-50 adalah jalan terbaik.
Dayana Maryus, yang lebih berpengalaman dalam rumah tangga berpendapat bahawa walaupun konsep 50-50 boleh dipraktikkan, suami harus tetap menanggung sebahagian besar tanggungjawab.
“Bergantung kepada pasangan itu sendiri, tetapi saya tidak galakkan. Kalau bahagian itu adalah tanggungjawab dia, tak boleh 50-50," jelasnya.
Sebaliknya, beliau menyarankan pembahagian yang lebih realistik seperti suami 70 peratus dan isteri 30 peratus, yang dianggap lebih sesuai untuk keharmonian rumah tangga.
Tidak ketinggalan, personaliti TV, Hawa Rizwana, yang belum berumah tangga turut memberikan pandangan berdasarkan situasi semasa.
"Bagi saya ikut persetujuan masing-masing," katanya, sambil menekankan bahawa keadaan ekonomi semasa memerlukan kedua-dua pasangan bekerja, boleh menyebabkan perbincangan mengenai pembahagian kewangan menjadi lebih fleksibel.
Pun demikian, setiap pasangan perlu mengimbangi tanggungjawab dan kemampuan masing-masing dengan bijaksana. Namun, satu perkara yang jelas, kesejahteraan dan keharmonian keluarga tetap menjadi matlamat utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram