[VIDEO] Sentuhan magis MUA Thai dan adibusana Rizalman Ibrahim serlahkan keanggunan anak menantu pengasas Sri Mawar


  • Relaks
  • Selasa, 28 Jan 2025

Amirul Amri Badlishah mengikat tali perkahwinan dengan cinta hatinya, Nur Syafiqah Muhammed Azlie pada 18 Januari lepas.

ANAK sulung kepada pengasas kosmetik Sri Mawar, Aniza Adnan iaitu Amirul Amri Badlishah menamatkan zaman bujang dengan cinta hatinya, Nur Syafiqah Muhammed Azlie pada 18 Januari lepas.

Pasangan sama cantik sama padan itu melangsungkan majlis pernikahan dan resepsi dengan penuh elegan sehingga mencipta momen indah yang diingati semua tetamu.

Mengulas mengenai tema perkahwinan, Nur Syafiqah berkata, konsep resepsi mereka bertemakan celestial wedding atau starry wedding yang diinspirasikan oleh keindahan bulan dan bintang.

BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara

BACA LAGI: Dari krim kek ke cat kanvas, Satira Diana gabung jawi, pantun Melayu klasik hasilkan karya sarat mesej mendalam

WhatsApp Image 2025-01-28 at 2.11.36 PM

Pasangan itu memilih untuk menyerlahkan warna biru dalam majlis akad nikah di Boathouse Ampang.

Tema itu bukan sahaja melambangkan keabadian cinta tetapi turut menyerlahkan warna kegemaran Amirul, iaitu biru yang memberikan sentuhan mewah.

Mereka memilih untuk melangsungkan majlis akad nikah di Boathouse Ampang, Selangor yang memiliki suasana tenang dan berlatarbelakangkan pemandangan tasik indah.

Syafiqah berkata, Boathouse adalah lokasi sempurna untuk memberikan suasana romantis yang mendalam bagi permulaan kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri.

Bagi majlis resepsi pula, mereka memilih Hotel Majestic Kuala Lumpur yang mempunyai keluasan untuk menampung sehingga 800 tetamu.

Wanita berusia 24 tahun itu berkata, ruang lapang memberi peluang kepada pasukan dekorasi untuk menghias dewan dengan elemen galaksi memukau yang mampu memancarkan aura yang sangat mempesona.

WhatsApp Image 2025-01-28 at 2.11.34 PM

Syafiqah mendapat sentuhan solekan daripada jurusolek Thailand.

Pada hari pernikahan, anak sulung kepada Datin Fazleen Mat Taha itu memilih gaya solekan sederhana namun elegan yang menyerlahkan kesegarannya.

Jurusolek terkenal dari Thailand, Natpakorn Hansri (Nnadia Makeup), serta gaya rambut oleh Korawat Yatfung melengkapkan penampilan Syafiqah dengan sentuhan keanggunan yang halus.

Namun, untuk majlis resepsi, Syafiqah tampil lebih glamor dengan solekan berona kelabu berkilau yang serasi dengan busana Rizalman Haute Couture.

Busana yang dihiasi batu Swarovski itu sempurna menggambarkan tema celestial wedding mereka.

Solekan dramatik oleh Razzi Musa dan gaya rambut oleh Ckay Liow menambahkan lagi aura kemewahan dan kecantikan pada penampilannya.

Sejak kecil, Syafiqah berkata, beliau sangat mengagumi hasil kerja jurusolek dari Thailand yang terkenal dengan perincian halus dan ketelitian dalam setiap sentuhan.

Keunikan dan kehalusan kerja mereka memberikan kelainan yang indah pada hari bersejarahnya.

Tema dekorasi mereka dipilih dengan penuh teliti untuk mencipta suasana unik yang akan kekal dalam ingatan.

Majlis nikah diserikan dengan tema serba putih, yang melambangkan kesucian, manakala resepsi dihiasi dengan warna gelap yang dramatik serta elemen bintang dan bulan yang menggambarkan keindahan langit malam serta cinta mereka yang abadi.

WhatsApp Image 2025-01-28 at 2.11.37 PM

Syafiqah dan Amirul Amri itu tidak dapat melupakan saat melangkah masuk ke dewan resepsi.

Busana untuk kedua-dua majlis, direka oleh Rizalman Haute Couture by Faizul, yang sangat memenuhi harapan Syafiqah.

"Saya hanya meminta Faizul untuk memastikan busana kelihatan tinggi dan kurus, selebihnya saya serahkan kepada beliau.

"Hasilnya sangat sempurna, menyerlahkan keanggunan saya pada hari yang bersejarah ini," ujarnya.

Antara detik paling berharga bagi pasangan itu adalah ketika mereka melangkah masuk ke dewan resepsi sebagai suami isteri.

Sorakan gemuruh daripada keluarga dan sahabat menjadikan suasana penuh kasih sayang.

Majlis resepsi turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh Amy Search dan Man Kidal, yang berjaya mencipta suasana meriah dan penuh nostalgia.

Perjalanan cinta mereka bermula sejak 2023, apabila ibu mereka yang merupakan sahabat baik mempertemukan kedua-dua keluarga.

Takdir membawa mereka bertemu di platform Instagram, apabila Amri secara tiba-tiba mengikuti Syafiqah.

Setelah setahun bercinta, mereka mengikat tali pertunangan pada Jun 2024 dan kini memulakan fasa baharu sebagai suami isteri.

"Kami percaya, apabila niat kita baik, ALLAH akan permudahkan segalanya," kata pasangan itu yang kini memulakan kehidupan baru mereka bersama.

Majlis perkahwinan mereka bukan hanya mencerminkan cinta yang tulus, tetapi juga tema yang indah dan penuh makna, menjadikannya inspirasi buat pasangan lain yang mengimpikan perkahwinan sempurna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram