KANVAS yang dahulunya kosong kini dipenuhi dengan sentuhan seni penuh makna.
Begitulah transformasi artis kek, Satira Diana Borhannuddin yang kini mencurahkan kreativiti dalam dunia seni lukisan.
Setelah lebih 13 tahun mencipta magis dalam rekaan kek, Satira memutuskan untuk mengikuti naluri jiwanya.
Lukisan menghidupkan semula tulisan jawi menerusi pantun Melayu klasik, sekali gus menunjukkan hubungan erat antara seni dan alam.
Seni lukisan, walaupun baru diteroka setahun lepas berjaya membawa kepuasan yang tidak pernah dirasai sebelum ini.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui bahawa perubahan besar dalam hidupnya bermula sejak dua tahun lalu ketika beliau mendalami ilmu agama.
“Saya rasa seperti ada kekosongan dalam bidang yang diceburi sebelum ini. Jadi, saya mengambil keputusan untuk lebih mendekatkan diri kepada agama.
"Kelas falsafah Islam bersama Prof. Syed Naquib Al-Attas menjadi titik tolak penting dalam perjalanan ini," katanya.
Satira berkata, gabungan ilmu agama dan kreativiti seni melahirkan karya yang menyentuh hati terutamanya dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat Melayu zaman moden.
Dalam proses hijrah itu, Satira turut mempelajari seni khat tradisional daripada seorang tokoh seni khat terkenal dari Turki iaitu Hasan Celebi.
“Saya gunakan ilmu khat itu dalam bentuk abstrak di atas kanvas. Dengan cara ini, mesej yang ingin disampaikan lebih mudah diterima oleh masyarakat,” katanya.
Lukisan diinspirasikan oleh surah Al-Anbiya mengenai pergerakan matahari dan bulan dalam orbit.
Satira menjelaskan, peralihan daripada dunia kek ke seni lukisan sebenarnya tidak terlalu asing baginya.
"Teknik melukis di kanvas tidak jauh berbeza dengan menghias kek. Jika dulu saya gunakan krim, kini saya gunakan cat. Pemilihan warna juga mirip iaitu saya suka mencuba kombinasi warna baharu," katanya.
Kini, studio kecilnya di Sungai Penchala menjadi ruang di mana imaginasi dan falsafah bertemu.
Walaupun baru setahun terjun ke dunia seni lukisan, bakat Satira tidak boleh disangkal.
Lukisan menggambarkan hati yang tawakal, merujuk kepada hadis Rasulullah tentang hati seperti hati burung.
Pada Ogos lalu, beliau dipilih menyertai pameran RHB Art with Heart 2024 di Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur.
Pameran itu menampilkan tiga lukisan beliau, masing-masing sarat dengan mesej mendalam.
"Lukisan pertama saya diinspirasikan daripada surah al-Anbiya. Ia menggambarkan pergerakan matahari dan bulan dalam orbit yang menjadi simbolik kepada fungsi dan masa dalam kehidupan setiap insan.
"Bagi lukisan kedua pula membawa konsep hati yang bertawakal, berdasarkan hadis Rasulullah SAW tentang hati yang seperti burung," ujarnya.
Menceritakan tentang lukisan ketiga, Satira berkata, ia meraikan keindahan budaya Melayu dengan pantun klasik dan tulisan Jawi.
"Gabungan seni dan alam itu menghidupkan semula warisan yang hampir pudar," jelasnya.
Bagi Satira, pengalaman menyertai pameran itu membuktikan bahawa seni lukisan memberikannya kebebasan yang tidak ditemui dalam dunia kek.
“Saya rasa lebih bebas untuk berkarya dan menyampaikan mesej yang penting. Seni ini bertujuan mengingatkan diri sendiri dan orang lain tentang nilai hidup,” katanya.
Kini, permintaan terhadap karya seni Satira semakin meningkat dan beliau memasang impian untuk mengadakan pameran solo tidak lama lagi.
"ALLAH kurniakan kita bakat yang unik. Saya ingin gunakan bakat ini untuk berkongsi sesuatu yang bermakna dengan dunia," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram