MELIHAT anak menghidap ekzema mencetuskan idea buat seorang ibu mencipta ramuan sabun daripada bahan semula jadi.
Tidak terjangka oleh Noor Azlina Ahmad Tajudin, 46, alternatif tradisional yang dihasilkan itu kini berjaya mengangkat namanya sebagai usahawan produk penjagaan diri.
Bercerita kepada Majoriti, usahawan yang juga suri rumah berasal dari Kuching, Sarawak itu memulakan perniagaannya di bawah jenama ThemuQ pada 2018.
Noor Azlina mempelajari pembuatan produk semula jadi daripada neneknya sejak kecil.
Kisah bermula pada 2017, apabila ubat dan krim tidak mampu merawat ekzema dialami anak bongsunya yang berusia dua tahun, ketika itu.
"Malah krim steroid itu memberi kesan sampingan pada kulit anak saya.
"Dari situ saya terfikir, mengapa tidak saya melakukan kajian sendiri dan mempelajari pembuatan sabun menggunakan bahan semula jadi untuk merawat ekzema?
"Jadi saya hasilkan sabun di rumah menggunakan bahan natural dan Alhamdulillah kulitnya semakin membaik dan waktu itu tiada niat nak buat bisnes pun.
"Selepas melihat keberkesanannya pada anak-anak saudara, suami mencadangkan agar saya cuba menjualnya di pasaran," katanya.
ThemuQ turut menawarkan produk lain seperti sabun badan, body balm, syampu dan serum rambut serta produk penjagaan kulit.
Bahan natural
Setahun kemudian, sabun dihasilkan melalui tiga bahan yakni daun semambu, minyak habbatus sauda dan minyak kelapa dara menjadi titik tolak kepada kejayaan perniagaannya.
Sehingga kini ThemuQ juga menawarkan pelbagai produk lain seperti variasi sabun badan, body balm, syampu dan serum rambut, produk penjagaan kulit serta minyak aromaterapi.
Kongsi ibu kepada empat cahaya mata ini, minat terhadap pembuatan produk semula jadi sebenarnya terbit sejak usia kanak-kanak.
Dikurniakan nenek yang arif tentang penghasilan produk tradisional, tidak hairanlah Noor Azlina juga memiliki kepakaran sama.
"Saya membesar dengan produk-produk buatan nenek sebelah ibu. Bertambah menarik, kebanyakan bahan boleh didapati di belakang rumah sahaja.
"Sejak kecil saya sering bantu nenek buat bedak sejuk, minyak kelapa untuk rambut dan bunga-bungaan untuk mandi.
"Pengalaman ini mencetuskan minat mendalam terhadap pembuatan produk berasaskan bahan semula jadi," ujarnya sambil menambah bahawa nama ThemuQ membawa maksud mandi dalam bahasa Melanau.
Produk ThemuQ menggunakan bahan semula jadi dalam proses penghasilan.
Persidangan antarabangsa
Biarpun hanya beroperasi dari rumah, hasil tangan Noor Azlina tidak tertumpu kepada pelanggan di Sarawak, sebaliknya turut meraih perhatian masyarakat Semenanjung termasuk luar negara.
Usaha menghadiri pelbagai persidangan antarabangsa di Bumi Kenyalang membuahkan hasil apabila ThemuQ semakin mendapat tempat dalam hati pengguna, terutamanya golongan profesional yang cenderung pada penggunaan produk semula jadi berkualiti.
"Sabun antaranya dihasilkan menggunakan bahan tempatan seperti padi huma, lada hitam dan halia Iban, mendapat perhatian di persidangan antarabangsa.
"Pelanggan dari Jepun, China, Taiwan, Singapura dan Amerika Syarikat (AS) sangat menghargai produk yang mengangkat keunikan bahan tempatan Sarawak seperti garam Bario dan Ba'kelalan," tambahnya yang memperoleh nilai jualan anggaran RM6,000 hingga RM10,000 sebulan bergantung pada jumlah persidangan disertai.
Noor Azlina turut menghasilkan minyak aromaterapi bantu memberi kelegaan.
Hampir tutup operasi
Namun, perjalanan anak ketiga daripada enam beradik ini tidaklah mudah.
Sama seperti usahawan lain, Noor Azlina antara yang terjejas dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara pada 2020.
Akuinya, bisnes ThemuQ mengalami kejatuhan mendadak, dengan jualan menurun hingga 80 peratus.
Situasi itu katanya, berlaku disebabkan kekurangan bahan mentah dan kesukaran penghantaran ke serata negeri, hampir memaksa wanita ini untuk menghentikan operasi.
"Pada waktu itu, rasa macam nak tutup bisnes. Bayangkan sebelumnya, saya boleh hasilkan 100 buku sabun dalam sehari, namun ketika pandemik, sebulan pun belum tentu capai 100.
"Memikirkan pelanggan setia yang masih memerlukan produk ini, saya teruskan juga berniaga sehinggalah bisnes membaik semula pada 2021," jelasnya yang memperkenalkan lebih banyak produk hasil kajian dan eksperimen sepanjang tempoh pandemik.
Walaupun masih beroperasi dari rumah dan mengendalikan semua produksi secara sendiri, Noor Azlina optimis tentang masa depan perniagaannya.
"Saya berharap dapat terus memperkenalkan produk ke pasaran luar negara dan memberi manfaat kepada lebih ramai orang," bicaranya penuh semangat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram