DITUBUHKAN oleh tiga pemuda, Adipati membawa makna 'kepala daerah' yang merupakan gelaran pahlawan sebelum turun ke medan perang.
Berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor, Adipati Bertiga bertapak dalam industri permotoran dan kreatif di Malaysia sejak 2017.
Ia bermula sebagai komuniti motosikal klasik dan vintaj, yang mana ahli berkongsi minat mendalam terhadap motosikal lama.
Selepas hampir 10 tahun, kini komuniti peminat motosikal klasik ini berkembang daripada sekadar hobi berkumpulan kepada pusat gaya hidup menggabungkan perniagaan dan komuniti.
Pada 2022, Adipati Bertiga mula mengorak langkah ke arah perniagaan, bermula dengan penjualan cenderamata seperti topi, baju dan juga seluar.
"Kita mula dengan kecil-kecilan, menjual barangan cenderamata untuk mendapatkan dana bulanan bagi komuniti," kongsinya kepada Majoriti.
Menurut salah seorang ahli, Ar Emir Abdul Razak, 31, seiring pertambahan jumlah ahli, permintaan terhadap barangan jualan juga semakin meningkat.
Lantas langkah besar diambil pada 2023 apabila sebuah banglo lama di Jalan Gasing, ditransformasikan menjadi clubhouse atau pusat komuniti.
Kata Ar Emir, clubhouse itu bukan sahaja menjadi tempat ahli berkumpul, tetapi juga sebagai lokasi permulaan bagi perniagaan cenderamata, kafe dan juga bengkel motosikal.
"Kami mahu menjadikan tempat ini sebagai pusat sehenti atau one stop centre untuk peminat motosikal," jelasnya yang menyertai Adipati Bertiga sejak lima tahun lalu.
Adipati Bertiga cuba menampilkan konsep diinspirasikan oleh gaya kafe di Indonesia.
Selain cenderamata, komuniti tersebut mula mengorak langkah ke arah perniagaan berkonsepkan makanan dan minuman (F&B) sejak 2022.
Bicara lanjut, Ar Emir berkata, operasi di Jalan Gasing kemudian terpaksa ditukarkan ke Seksyen 13 Petaling Jaya, susulan beberapa isu yang timbul melibatkan lokasi pusat komuniti berkenaan.
Jelas bekas jurutera itu lagi, percaturan mereka mencambahkan hasil apabila clubhouse baharu yang dibina mula meraih perhatian bukan sahaja dalam kalangan komuniti permotoran, bahkan juga individu biasa.
Antara menu disediakan di kafe Adipati Bertiga.
Melangkah ke ruang dan persekitaran baharu yang lebih luas merangkumi kafe, bengkel dan premis cenderamata, Adipati Bertiga cuba menampilkan konsep yang diinspirasikan oleh gaya kafe di Indonesia.
"Menawarkan menu istimewa seperti kopi, pastri dan pasta, dekorasi kami banyak mengambil rujukan dari Indonesia, tempat di mana komuniti motosikal adalah sangat besar dan kukuh.
"Sehubungan itu, kami juga mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama dengan produksi seberang seperti Thirds Studio (jenama fesyen asal Kota Bandung) untuk meningkatkan penawaran produk.
"Kolaboratif ini bukan sahaja mengukuhkan jenama Adipati, tetapi juga membuka peluang kepada ahli untuk terlibat dalam perniagaan," kata bapa kepada dua anak ini.
Kebanyakan operasi perniagaan diuruskan oleh ahli Adipati Bertiga sendiri.
Ar Emir menambah, pendekatan unik perniagaan ini bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan kepada ahli, malah memperkasakan mereka untuk berdikari dan membina kemahiran baharu.
Jelasnya, kebanyakan operasi perniagaan diuruskan oleh ahli sendiri, bermula daripada proses reka bentuk produk sehinggalah ke pengurusan kafe.
"Ia bukan sekadar perniagaan, tetapi cara kita memperkasakan ahli untuk berdikari terutamanya buat mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Dengan menyatukan usaha dan bakat ahli, Adipati Bertiga telah mencipta ruang untuk setiap individu menyumbang, belajar dan berkembang bersama.
"Kejayaan ini menjadi inspirasi kepada perniagaan lain untuk melihat manfaat melibatkan komuniti dalam perjalanan mereka," tuturnya sambil menambah kumpulan itu juga dalam perancangan untuk berkolaborasi dengan komuniti permotoran di Thailand dalam masa terdekat.
Lokasi baharu di Seksyen 13, Petaling Jaya turut menempatkan premis jualan cenderamata komuniti tersebut.
Akui Ar Emir lagi, keunikan konsep Adipati Bertiga adalah terletak pada fokusnya terhadap komuniti motosikal klasik, yang masih menjadi teras pergerakan ini.
"Perniagaan sudah menjadi antara keutamaan utama ketika ini. Namun, tidak melihat perniagaan lain sebagai pesaing kerana fokus kami berbeza. Ia lebih kepada minat dan semangat dalam membawa nama komuniti.
"Bisnes ini juga tidak hanya tentang keuntungan, sebaliknya untuk memastikan minat terhadap motosikal klasik terus hidup," bicaranya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram