DITUBUHKAN pada 2019, Topboi Citizen tidak mengambil masa lama untuk meletakkan diri sebagai pemain utama dalam pentas peragaan di dalam negara.
Dengan cara pendekatan yang unik dan tidak konvensional termasuk keberaniannya mempertaruhkan bakat tempatan, pembaharuan dibawa itu ternyata berhasil apabila ia menarik perhatian ramai pihak.
Malah, Topboi Citizen turut sekali gus dilihat berjaya mengatasi isu kekurangan representasi tempatan yang sekian lama membelenggu industri peragaan di Malaysia.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Tidak cukup dengan itu, bakat diperkenalkan olehnya kini turut mendapat perhatian agensi peragaan antarabangsa dengan ada antaranya mula mencipta nama termasuk di Eropah.
Topboi Citizen diasaskan dua individu yang memiliki minat sama terhadap fesyen iaitu Ridduan Ismail, atau lebih dikenali sebagai TTFGA (Tukang Tangkap Foto Gembira Anda) dan Hadri Hashim.
Meskipun datang daripada latar belakang berbeza dengan Ridduan sebagai jurugambar manakala Hadri yang merupakan pemilik kafe, pentas peragaan dilihat menjadi medium bersama mempertemukan kedua-dua mereka.
Ia sekali gus memangkin kepada kerjasama strategik dan memberi sinergi yang menjadi tulang belakang menggerakkan Topboi Citizen.
Untuk menyelami lebih lanjut mengenai Topboi Citizen dan perkembangan terbaharunya, Majoriti menemubual kedua-dua pengasasnya bagi mengetahui lebih lanjut perjalanan syarikatnya di samping perubahan yang berlaku terhadap pentas peragaan tempatan:
1. Apakah perkembangan terbaharu Topboi Citizen yang Tuan boleh kongsikan?
Hadri: Yang terbaharu, model kami, Ridzman Zidaine, baru saja kembali ke Eropah. Dia berada di Paris, Perancis untuk Men’s Fashion Week, bulan ini. Dia baru sahaja menjayakan runway untuk jenama Maison Margiela, Giorgio Armani, serta yang terkini, Louis Vuitton.
Ridzman sebenarnya adalah model lelaki pertama dari Malaysia yang melakukan peragaan buat Louis Vuitton dan ini adalah kali keenam dia menjadi model untuk jenama mewah itu.
Dia juga pernah jadi model pembukaan untuk acara pertunjukan fesyen. Dalam dunia fesyen, kalau model berada di pentas opening runway dan closing runaway, itu adalah sesuatu yang sangat besar.
Saya rasa Malaysia harus tahu tentang ini kerana dia adalah model Melayu sepenuhnya tanpa ada darah campuran atau apa-apa. Kami pertama kali bertemu Ridzman pada 2019 semasa sesi open casting yang kami adakan.
Topboi Citizen kini mempunyai kira-kira 29 model di bawah naungannya. — Instagram/Topboi
Sebelum dia pergi ke luar negara, kami hantar dia bekerja di banyak jenama seperti Zalora sebagai persediaan. Sekarang dia sudah bersedia, dan kami sangat bangga dengan pencapaiannya.
Selain itu, untuk tahun ini, kami ada beberapa rancangan besar. Tahun 2025 baru bermula, dan kami masih dalam perancangan. Kami juga sedang mencari studio baharu sebagai tempat yang lebih besar dan strategik untuk menjalankan woksyop serta melatih lebih ramai model.
Sekarang, kami ada 29 model termasuk saya sendiri. Kami bermula dengan hanya 10 model dan perlahan-lahan berkembang. Kami juga merancang untuk menandatangani lebih ramai model tahun ini.
2. Boleh kongsikan macam mana perjalanan Ridzwan boleh sampai pecah masuk ke pentas peragaan di Eropah?
Ridduan: Untuk Ridzman, pada masa itu, dia ada beritahu yang dia nak melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Saya sempat nasihatkan dia, ‘Sementara awak berada di sana, apa kata awak cuba pergi ke setiap agensi model yang awak tahu, atau buat sedikit penyelidikan’
Kalau tak salah, Rizman pergi mengetuk pintu tiga agensi model di London. Dia perkenalkan diri, ‘Nama saya Rizman, saya seorang model.' Usahanya membuahkan hasil kerana daripada tiga agensi tersebut, ada satu agensi iaitu Next Model Management yang betul-betul suka dengannya.
Next Model Management adalah salah satu agensi terbesar di Eropah, dengan lebih daripada 4,000 model di bawah naungannya. Agensi itu juga menguruskan influencer model, jadi ia memang sangat berprestij.
3. Apakah ciri-ciri yang ditekankan dalam pencarian model bagi Topboi?
Ridduan: Kalau tanya, saya suka rupa Melayu, wajah Nusantara yang ada karakter — kadang-kadang nakal sikit, ‘jahat’ sikit, tapi hati baik. Macam dia (Hadri), waktu saya jumpa, dia botak. Memang kena dengan estetik saya untuk Topboi Siri. Kami betul-betul tengok aspek itu. Saya tak cakap kita ada masalah untuk ambil model yang 'jambu' atau comel, tapi kalau awak tanya kriteria saya, saya suka orang Melayu.
Mengenai pendidikan, sekarang ini kita tak kata jangan pergi belajar. Kita galakkan pergi belajar, dapatkan pendidikan. Tapi, pada masa yang sama, kita hidup dalam dunia yang penuh peluang buat semua orang.
Contohnya, di Eropah, seperti di Paris, awak boleh kena ‘scout’ hanya di tepi jalan. Casting director akan scout (kenal pasti) model. Kadang-kadang, kalau awak lepak tepi kafe atau berjalan-jalan, ada kemungkinan awak akan dipilih, jika ada rupa yang sesuai dengan peragaan.
Ridduan turut terkenal sebagai jurugambar.
Namun, di Eropah, syarat paling penting adalah ketinggian. Kalau tak cukup tinggi, awak tak boleh buat runway. Jadi, itu antara perkara yang diambil kira.
Jadi kembali kepada persoalan mengenai pendidikan, memang bagus kalau seseorang model ada pendidikan atau ilmu yang tinggi, tapi pada masa sama, ia tentang bagaimana cara awak membawa diri selain berbekalkan sedikit tuah dalam bidang ini.
Kadang-kadang, rezeki itu datang apabila orang jumpa awak. Sampai sekarang, saya rasa bangga bila ada model seperti Ridzman yang berjaya berjalan di pentas untuk fashion week di Paris dan Milan. Itu adalah pencapaian terbesar kami.
Dia juga merupakan orang Malaysia pertama yang membuat peragaan untuk Louis Vuitton, satu fashion house besar. Perkara itu buat kami sangat bangga.
4. Selepas lebih lima tahun bertapak dalam industri peragaan tempatan, apakah perubahan yang Tuan lihat berlaku terhadap dunia model tempatan?
Hadri: Buat masa sekarang, kalau nak dibandingkan, kita boleh nampak pasaran sudah berubah. Kalau anda pergi membeli-belah, jenama tempatan kini lebih terbuka kepada wajah-wajah Malaysia. Jarang dah nampak model 'Mat Salleh' pakai baju kurung atau baju Melayu.
Dulu, kalau kempen Hari Raya, semuanya menggunakan model 'Mat Salleh'. Kita sebagai orang tempatan kadang-kadang tak boleh nak 'masuk' sangat sebab badan mereka berbeza dengan kita. Tapi sekarang, pasaran sudah mula menampilkan lebih ramai orang Melayu, Cina dan India. Mereka juga boleh jadi ikon atau figura yang menarik, selain lebih dekat dengan pasaran kita.
Ini menunjukkan keterbukaan pasaran. Ia berkembang dengan sangat cepat, terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita nampak lebih ramai model tempatan mendapat peluang yang lebih besar. Dari situ, kita boleh lihat perubahan positif dalam industri.
5. Seperti yang kita ketahui, kemajuan platform media sosial menyaksikan munculnya ramai individu yang boleh popular dengan menjadi pempengaruh. Adakah situasi terbabit turut memberi kesan terhadap Topboi Citizen?
Hadri: Memang betul, mungkin pada masa depan agensi ini akan menjadi sesuatu yang besar, dan mungkin saya sendiri boleh menggantikan peranan agensi untuk bercakap terus dengan klien. Tetapi buat masa sekarang, kepentingan agensi adalah komuniti, itu yang utama.
Agensi juga menjadikan perkara ini lebih teratur. Contohnya, jika seorang model dihubungi terus oleh pelanggan, mungkin dia tak tahu apa-apa tentang harga pasaran atau berapa kadar yang patut dia caj. Kebanyakan model bebas menghadapi masalah ini kerana mereka tidak tahu kadar pasaran.
Hadri (kiri) dan Ridduan menjadi tulang belakang kepada Topboi Citizen. — Instagram/TTFGA
Dalam industri ini, kita jarang bercakap tentang harga, jadi ramai model bebas akhirnya menerima kadar yang rendah. Jenama-jenama besar tahu berapa mereka patut bayar, tetapi bila berurusan dengan model bebas, mereka selalu cuba tawarkan pada kadar yang sangat rendah.
Model bebas pula sering terima sahaja kerana mereka anggap itu satu-satunya peluang yang ada. Masalahnya, apabila jenama lain datang dan menawarkan harga dua kali ganda, model bebas terima juga, jadi tak ada standard yang jelas.
Di sinilah agensi memainkan peranan. Sebagai bakat model, anda tak perlu risau tentang urusan seperti invois, kadar bayaran atau menetapkan harga anda sendiri. Agensi akan menilai bakat berdasarkan rupa dan pengalaman mereka, kemudian membuka peluang ke pasaran dengan kadar yang sesuai. Ini penting untuk melindungi model dan bakat supaya mereka tidak dibuli oleh syarikat besar.
Selain itu, setelah cukup lama dalam industri, kami tahu jika sesuatu tawaran itu sah atau tidak. Agensi masih sangat penting sekarang kerana ia berfungsi sebagai penapis dan membentuk komuniti. Kita tak ada persatuan model di Malaysia, tak ada kebajikan atau perlindungan dari kerajaan untuk industri ini. Jadi, siapa yang kita nak rujuk?
Agensi seperti kami dan beberapa agensi tempatan lain di Malaysia, walaupun tak banyak, sangat penting. Ia mewujudkan penanda aras dan standard yang boleh kita tetapkan untuk industri.
6. Selepas lebih enam tahun, apakah rahsia yang membolehkan Topboi terus kekal sehingga hari ini?
Ridduan: Saya rasa kami tak ada rahsia pun sebenarnya, sebab tujuan utama kami membina agensi ini adalah untuk membantu anak-anak muda. Saya nampak mereka ada potensi, jadi kenapa tidak kita tolong mereka? Pada asasnya, kami membantu membuka peluang kepada mereka untuk meneroka sesuatu yang lebih besar.
Hadri: Kalau tanya resipi, saya rasa resipi itu adalah dengan kekal setia kepada niat asal kami. Dari awal, bila saya cakap dengan Ridduan, kami mahukan persatuan seperti persatuan ‘Topboi Malaysia’.
Sampai sekarang, sistem sokongan kami masih sama.
Di sini, tak ada wang yang terlibat. Bila Ridduan beri nasihat, atau bila saya berhubung dengan pelanggan di Instagram, tak ada pun model yang perlu bayar saya atau apa-apa. Niatnya adalah untuk bangunkan sama-sama.
Ridduan berkata, Topboi Citizen ditubuhkan untuk membantu anak muda membina karier dalam dunia peragaan. — Instagram/TTFGA
Agensi ini lebih kepada komuniti. Bila semua model berkumpul di bawah satu payung, mereka boleh berbincang tentang kadar bayaran mereka, pengalaman mereka dengan klien. Klien ini okay ke, macam mana kerja dengan klien tersebut. Semuanya dibincangkan dalam ruang tertutup, supaya mereka lebih selesa.
Kami macam keluarga. Hubungan yang terjalin sangat organik dan tulen. Bukanlah 100 peratus tentang keuntungan, tapi lebih kepada membangunkan bersama-sama, menyokong satu sama lain, dan memastikan kita bekerjasama. Kita bekerja sebagai satu kumpulan. Kalau pergi seorang mungkin boleh cepat, tapi saya rasa lebih penting kalau kita ada sistem sokongan yang kukuh. Itulah asasnya.
7. Apakah ‘endgame’ untuk Topboi Citizen?
Ridduan: Jadi, pada dasarnya, saya ada berbincang dengan Hadri beberapa tahun lepas yang kami ada rancangan untuk cuba keluar dari Kuala Lumpur dan Malaysia. Rancangannya ialah untuk pergi ke Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, dan mencari bakat dari negara-negara tersebut untuk dibawa ke sini.
Kita cuba yang dipanggil program seperti ‘exchange’. Jadi, model dari sini kita bawa ke sana dan bekerja dengan agensi di sana.
Setiap negara di Asia Tenggara kan ada agensi masing-masing. Sebagai contoh, saya nak hantar Hadri ke Indonesia ke Jakarta, untuk bekerja di bawah agensi di sana. Agensi itu nanti akan menguruskan dia.
Tujuannya adalah supaya model dapat meneroka pasaran dan klien yang berbeza. Kadang-kadang, cara kerja orang luar mungkin tak sama seperti cara kita. Contohnya, bila Ridzman balik Malaysia, dia akan berkongsi tentang pengalamannya bekerja di luar negara, bagaimana caranya berurusan dengan orang di sana, terutama bila ada cabaran seperti bahasa.
Pada masa sama, ini adalah peluang yang baik untuk mereka meneroka lebih daripada sekadar menjadi model di Malaysia. Mereka berpeluang untuk menjelajah dunia luar dan melihat betapa luasnya peluang yang ada di luar sana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram