IDEA memulakan perniagaan kopi tercetus ketika pasangan suami isteri ini berusaha mencari cara untuk menambah pendapatan keluarga.
Lebih setahun lalu, Muhammad Sayuti Zainudin, 34, dan Siti Sofia Md Nasir, 37, memilih memulakan bisnes secara kecil-kecilan di kejiranan yang terletak di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.
Menyedari bahawa kawasan tersebut dipenuhi dengan pelbagai perniagaan makanan, minuman dan snek, namun kekurangan penawaran kopi, mereka menjadikan peluang itu sebagai permulaan kepada sesuatu yang baharu.
Kecintaan pasangan ini terhadap kopi sebenarnya sudah lama wujud. Ketika menetap di Pulau Pinang, mereka sering melakukan cafe hopping untuk menikmati pelbagai jenis kopi.
Dari situ, mereka mula bereksperimen dengan membancuh kopi sendiri, bermula iced dried coffee dan beralih kepada kaedah seduhan moka pot, sebelum menggunakan mesin kopi profesional.
"Pada awalnya jualan kopi kami hanya beroperasi dari rumah. Kami menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp dan dihantar terus kepada pelanggan.
"Kemudian perlahan-lahan kami mencari peluang membuka pop-up booth pada acara tertentu.
"Sasaran pelanggan Kopi Tanjong bukan hanya peminat kopi tegar, tetapi juga semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang jarang minum kopi," kata Muhammad Sayuti kepada Majoriti.
Kopi ditawarkan Kopi Tanjong memberikan rasa unik dan berbeza sesuai dengan cita rasa pelbagai jenis pelanggan.
Kopi kisar unik dan segar
Menggunakan modal cecah RM4,000, wang tersebut digunakan untuk membeli mesin dan peralatan kopi bersesuaian dengan jualan.
Berkongsi lanjut, pemegang Diploma Multimedia Kreatif dari Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics ini berkata, setakat ini Kopi Tanjong menawarkan dua jenis kopi iaitu kopi kisar berasal dari Brazil dan Papua New Guinea dan kopi Single Origin dari Columbia.
Sasaran pelanggan Kopi Tanjong bukan hanya peminat kopi tegar, tetapi juga semua lapisan masyarakat.
"Kedua-duanya memberikan rasa unik dan berbeza, sesuai dengan cita rasa pelbagai jenis pelanggan.
"Untuk kekal bersaing dalam pasaran kopi yang semakin berkembang, kualiti menjadi keutamaan utama kami.
"Setiap minuman kopi disediakan dengan segar seperti menyediakan minuman untuk diri sendiri," jelasnya yang menjalankan pemasaran melalui platform dalam talian dan kaedah tradisional seperti mulut ke mulut (Word of Mouth Marketing).
Ditanya cabaran ditempuhi sejak pembabitan dalam dunia perniagaan, Muhammad Sayuti mengakui, memperkenalkan jenama Kopi Tanjong kepada lebih ramai pelanggan antara yang sukar memandangkan mereka beroperasi hanya dijalankan dari rumah.
Muhammad Sayuti menghargai setiap momen dalam perniagaan baik manis mahupun pahit.
Justeri, pasangan suami isteri ini yang masing-masing berkhidmat sebagai jurugambar dan wartawan giat mencari peluang berniaga melalui pop-up booth di luar sebagai usaha memperluas capaian jenama.
Jadual kerja hakiki yang padat tidak menjadi alasan untuk Muhammad Sayuti dan Siti Sofia memastikan perniagaan berjalan lancar tanpa menjejaskan kualiti produk ditawarkan.
"Sejak mulakan perniagaan kecil-kecilan ini, kami hanya mampu buka pop-up booth di sekitar Lembah Klang dan dalam sebulan hanya mampu sertai dua atau tiga acara dek kekangan kerja.
"Saya tak nafikan, pendapatan bulanan (perniagaan) agak tidak menentu, bergantung kepada waktu lapang selepas kerja hakiki dan hasil jualan di pop-up booth.
"Namun, setiap momen dalam perniagaan adalah penting, tidak kira baik atau buruk. Paling penting bagaimana kami menghadapi setiap situasi dengan kesempurnaan dan rasa syukur," luah bapa kepada tiga cahaya mata ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram