SEBAGAI penghormatan kepada perjalan pertumbuhan, nostalgia dan kecantikan, Alia Bastamam melalui label Alia B memperkenalkan Rhapsody, koleksi Raya 2025 yang dinanti-nantikan menjelang musim perayaan Aidilfitri.
Koleksi itu menandakan sedekad evolusi Alia B dalam dunia fesyen.
Dinamakan Rhapsody kerana ia melambangkan perjalanan pertumbuhan dan emosi, menggambarkan bagaimana wanita Alia B berkembang menjadi individu yang luar biasa.
BACA LAGI: Tempias trend boikot beri 'keuntungan' buat Zlay, pelanggan beralih jenama lokal
Raline memiliki daya tarikan antarabangsa, mencerminkan identiti Rhapsody yang berwarna-warni. — Alia Bastamam
Pengarah Kreatif Alia B, Alia Bastamam berkongsi, Rhapsody menampilkan 31 rekaan merangkumi siluet mendakap tubuh dan kaftan bersifat flowing, mengekalkan kewanitaan abadi yang menjadi identiti Alia B.
Motif fantasi dan warna pastel seperti blush dan sage membangkitkan perasaan romantis dan kelembutan, sementara warna hitam berani dan tona permata menonjolkan keyakinan dan misteri.
Ujarnya, koleksi tersebut juga menggabungkan elemen nostalgia Malaya pascakolonial dengan corak taman dan gaya tradisional Melayu seperti kebaya yang elegan.
Bukan sahaja untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, rekaan itu juga sesuai digayakan di majlis berbuka puasa, acara formal dan percutian ke resort.
Kongsi Alia Bastamam, proses untuk merealisasikan Rhapsody bukanlah sesuatu yang mudah.
Persiapan dimulakan pada April 2024, dengan usaha mendapatkan bahan dilakukan selepas pandemik Covid-19 melanda.
Sampel-sampel juga telah disiapkan dan dihantar untuk pengeluaran pada Ogos, sementara pasukannya sibuk menguruskan penampilan di KL Fashion Week dan debut di Dubai Fashion Week.
Mengangkat figura fesyen Marion Caunter dari Malaysia dan pelakon Raline Shah dari Indonesia sebagai wajah utama kempen, visual tersebut bertepatan dengan konsep kekuatan, keanggunan dan jiwa muda yang selari dengan koleksi kali ini.
Kempen Rhapsody untuk Raya 2025 melahirkan visual yang menakjubkan dan penuh ekspresi. — Alia Bastamam
Kempen Rhapsody untuk Raya 2025 adalah satu perayaan tentang kecantikan, pertumbuhan dan emosi.
Untuk menghidupkan kisah ini, beliau berhasrat melahirkan visual yang menakjubkan dan penuh ekspresi.
Kempen dibintangi Penari DIDance yang diarahkan Dida Mallik itu turut disokong kolaborator visual lama, Azim Mahayudin dan Jufri Jamal daripada AM Studio.
"Marion dan Raline adalah pilihan sempurna untuk kempen ini. Marion membawa gaya dan sofistikasi tinggi sambil tetap mengekalkan kemesraannya.
"Raline, dengan kesantunan dan daya tarikan antarabangsa, mencerminkan identiti Rhapsody yang berwarna-warni tetapi halus," katanya.
Rhapsody Scarves
Sebagai tambahan kepada koleksi Rhapsody, ALIA B memperkenalkan koleksi selendang pertama jenama berkenaan, Rhapsody Scarves yang diperbuat daripada lace Perancis.
Tiga warna elegan yakni hitam, putih dan nude menjadikan selendang tersebut sebagai aksesori anggun yang melengkapi almari wanita moden.
"Saya ingin mencipta sesuatu yang halus, mudah dan anggun. Selendang ini rekaan feminin yang memberi keanggunan pada mana-mana gaya," kongsi Alia Bastamam.
Dekad kenangan
Bagi Alia Bastamam, melihat bagaimana rekaannya menjadi sebahagian daripada kehidupan pelanggan menjadi satu kepuasan buatnya.
"Raya adalah masa yang penuh makna, dipenuhi dengan kasih sayang, hubungan dan kegembiraan.
"Mendengar cerita wanita yang memakai busana ALIA B untuk raya pertama mereka sebagai ibu atau berkongsi detik bersama orang tersayang mengingatkan kembali mengapa saya melakukan ini dan apa yang saya lakukan.
"Ketika pertama kali mengenakan ALIA B, mereka adalah bunga yang sedang mekar, namun hari ini, mereka adalah ibu, isteri, pemimpin perniagaan dan individu yang berdaya.
"Rhapsody bukan hanya sekadar koleksi, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada simfoni kehidupan yang indah," ungkap beliau.
Rhapsody kini sudah tersedia di beberapa platform seperti alia-b.com, Showroom ALIA B, Zalora Malaysia, Zalora Singapora, Zalora Indonesia dan Seibu Kuala Lumpur, The Exchange TRX.
Sementara itu, koleksi Eid/Resort 2025 oleh Alia Bastamam turut mengajak wanita melangkah ke dalam dunia mimpi penuh dengan keseimbangan.
Flowing siluet, perincian yang teliti dan penguasaan keseimbangan antara struktur dan kelembutan menjadikan setiap ciptaan Alia Bastamam menggambarkan kekuatan dalaman individu.
Koleksi kali ini bukan sekadar perayaan, tetapi sebuah penafsiran semula dengan kemewahan resort yang menyelami kedua-dua perayaan dan ketenangan gaya yang abadi namun relevan dengan zaman kini.
Bersempena dengan koleksi 36 rekaan itu, Alia Bastamam turut mengembangkan visi kreatifnya dengan melancarkan kerjasama bersama Furniture And Choice Malaysia (FCM) bayi memperkenalkan koleksi kapsul perabot.
Koleksi Eid/Resort 2025 mempersembahkan rekaan-rekaan mewah yang memikat. — Alia Bastamam
Kerjasama itu melambangkan keanggunan rekaan fesyen Alia dengan kepakaran FCM dalam rekaan perabot, mencipta gaya hidup yang fungsional dan bergaya untuk ruang moden.
Pengasas Bersama dan Pengarah FCM, Howard Obbard berkata, bekerja dengan Alia Bastamam adalah pengalaman yang luar biasa, menggabungkan lipatan ikonik yang menjadi signatur Alia Bastamam dengan kepakaran mereka dalam rekaan perabot.
Dilancarkan seiring dengan koleksi Eid/Resort 2025, rangkaian perabot tersebut menyatukan gaya peribadi dan rekaan dalaman dalam satu persembahan yang sempurna.
Koleksi Eid/Resort 2025 juga mempersembahkan rekaan-rekaan mewah yang memikat.
Lipatan ikonik Alia diinspirasikan oleh irama alam dan dipersembahkan dalam bentuk baharu melalui draping, pinching atau twisting.
Warna ombre yang segar seperti merah jambu bersinar dan langit lembut, mencipta rasa ketenangan, manakala rona gelap seperti malam dan merak memancarkan keyakinan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram