![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/05/3151163.jpeg)
RASA cinta yang mendalam terhadap dunia fesyen, menjadikan pempengaruh, Dahlia Mohd Amin bijak menata gayanya untuk tampil memikat dengan gaya eksklusif dan elegan pada mata khalayak.
Tidak sekadar itu, wanita kelahiran Singapura tersebut juga bijak mengambil peluang apabila menjadi individu menghubungkan fesyen di sekitar Asia Tenggara, termasuk dari Malaysia untuk menembusi pasaran di Singapura melalui syarikat miliknya, En Pointe & Co.
Menurut Dahlia, 42, En Pointe & Co adalah butik multi jenama yang membawa masuk label dari Malaysia untuk diperkenalkan di pasaran Singapura sejak 2015.
BACA LAGI: Kecederaan tak sempat pulih, Lee Zii Jia terpaksa lupakan Terbuka Malaysia
BACA LAGI: Hairul Azreen umum bersara awal, tinggalkan bidang lakonan
Tahun ini, En Pointe & Co memilih untuk lebih selektif dalam membawa jenama baharu ke pasaran Singapura. — Instagram/dahliamohd
"Ia (En Pointe & Co) ditubuhkan selepas saya melihat terdapat jurang antara pasaran fesyen di kedua-dua buah negara.
"Pada masa sama, pasaran fesyen di Singapura semakin berkembang, selain timbul rasa ingin tahu terhadap jenama-jenama tempatan dari Malaysia. Kami jadikan trend di Malaysia sebagai rujukan dan ikutan bukan sahaja dari segi fesyen, malah solekan dan perkahwinan," jelasnya.
Antara jenama terawal dibawa masuk ke Singapura ialah Tsyahmi (Tengku Syahmi), Nurita Harith, Fiziwoo, Mimpikita dan Anaabu.
Lebih selektif 2025
Menurut beliau, tahun ini, En Pointe & Co memilih untuk lebih selektif dalam membawa jenama baharu ke pasaran negara itu.
Dalam soal kriteria memilih jenama untuk dipasarkan, Dahlia menekankan kepentingan reka bentuk menarik yang mampu memberi impak termasuk memastikan pelanggan mempunyai peluang untuk berinteraksi terus dengan pereka.
"Kriteria En Pointe & Co. memastikan bahawa pereka dari Malaysia datang sendiri bertemu pelanggan mereka di Singapura, memberi peluang berinteraksi secara terus," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Selain itu, ibu kepada tiga cahaya mata itu juga menganjurkan program mentorship yang melibatkan individu berpengaruh dalam bidang fesyen berkongsi pengalaman dalam bidang ini.
"Sekitar 2020, saya mula menganjurkan trunk show iaitu acara vendor yang memperkenalkan rekaan mereka secara eksklusif kepada pelanggan di butik atau di tempat tertutup," ujarnya.
Barat paksi fesyen
Dalam aspek gaya yang menjadi ikutan penggemar fesyen di Singapura, Dahlia berkata, Barat menjadi paksi utama dalam rujukan berfesyen termasuk teknik solekan.
Beliau bagaimanapun berkata, trend tersebut adakalanya dilihat tidak sesuai diaplikasikan oleh masyarakat Asia disebabkan perbezaan warna kulit dan budaya.
"Malaysia dijadikan rujukan dalam berfesyen khususnya sewaktu musim lebaran, lagipun kedua belah negara memiliki banyak persamaan.
"Trend di Singapura mungkin lebih moden dan berani. Malaysia juga unik dengan cita rasa yang lebih elegan dan tersendiri," jelasnya.
Mengulas mengenai pandangannya berkaitan 'selera' fesyen antara Malaysia dan Singapura, Dahlia berpendapat bahawa, rata-rata golongan muda menjadikan media sosial sebagai rujukan berfesyen.
"Mereka berani menonjolkan kelainan dan suka trend asas. Contohnya, menjinjing beg mini dan menyarungkan sandal yang menjadi ikutan muda-mudi hari ini.
Dahlia merancang untuk bekerjasama dengan pereka fesyen dari Singapura, Malaysia dan Indonesia. — Instagram/dahliamohd
Bersatu teguh
Selain itu, Dahlia turut mengulas mengenai kemungkinan beliau mempunyai cadangan untuk membuka semula kedai fizikal. Beliau berkata, rancangan itu mungkin direalisasikan dalam bentuk kolaborasi.
Kongsinya, cita-citanya adalah untuk mewujudkan lebih banyak kolaborasi antara pereka fesyen dari Singapura, Malaysia, dan Indonesia.
Meskipun format pop-up store atau kedai fizikal masih dalam perbincangan, beliau berharap dapat membawa kerjasama antarabangsa ini dengan sokongan kerajaan untuk memperkukuhkan diplomasi fesyen antara negara-negara tersebut.
"Mungkin dalam format kolaborasi. Saya selalu mengimpikan untuk bekerjasama dengan pereka fesyen dari Singapura, Malaysia dan Indonesia
"Bersatu kita teguh. Kami dalam perbincangan dengan beberapa pihak yang menunjukkan minat mereka untuk merealisasikannya," jelasnya.
Dalam pada itu, Dahlia tidak menafikan segelintirnya memilih gaya ala kebaratan. Misalnya, memakai baju tanpa lengan atau pakaian lebih terdedah.
"Kehidupan masyarakat di Singapura lebih sekular dan tidak terlalu terikat. Secara keseluruhannya, mereka cenderung menggayakan helaian asas dan mengelak menggunakan fabrik berwarna-warni serta jenis fabrik sukar dijaga seperti sutera.
"Mereka senang dengan fesyen ringkas dan praktikal wear and go. Berbanding di Malaysia, saya perhatikan orang di sini suka menggayakan fesyen bertatah perincian," katanya.
Anaabu antara jenama popular dalam kalangan penggemar fesyen di Singapura. — Instagram/anaabu.co
Tema warna raya 2025
Bertanyakan mengenai jenama Malaysia yang popular dalam kalangan peminat fesyen di Singapura, katanya Tangsi Tujuh dan Anaabu.
"Ada banyak, antaranya Tangsi Tujuh dan Anaabu. Kedua-dua jenama ini menjadi pilihan anak muda yang gemarkan pakaian memiliki falsafah tersendiri dalam rekaan.
"Tidak ketinggalan turut mendapat perhatian ialah jenama Mimpikita dan Nurita Harith," tambahnya.
Pada tahun lalu, sekitar 15 hingga 20 jenama Malaysia telah diperkenalkan di Singapura, dan lebih banyak jenama indie seperti Saa Studio dan Oh Dayang Dan kini memasuki pasaran.
"Memandangkan warga Singapura suka berbelanja, jadi ia adalah idea yang bagus untuk menilai potensi produk mereka dalam pasaran.
"Kami lebih berperanan sebagai kurator fesyen yang mana kami sentiasa mencari jenama-jenama baharu menerusi acara fesyen dan pasaran untuk dibawa ke Singapura," jelas Dahlia.
Dalam aspek warna pula, beliau menjangkakan warna mocha mousse dan burgundy bakal menjadi pilihan bagi majoriti warga Singapura yang meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Dahlia menambah, dalam memilih pakaian raya, penggemar fesyen di Singapura lebih mementingkan reka bentuk dan harga dengan keutamaan terhadap keselesaan.
"Fesyen di Singapura sangat digital, jadi ia mudah diakses secara dalam talian, memberikan lebih banyak pilihan dan perbandingan harga serta reka bentuk," kata Dahlia.
Elak jadi mangsa fesyen
Dalam dunia fesyen sentiasa berubah, penting untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa trend yang tidak sesuai dengan gaya peribadi.
Bagi Dahlia, penting untuk ikut cara hidup masing-masing.
"Pakailah mengikut kesesuaian dan keselesaan. Saya percaya pada pakaian yang lebih bersifat praktikal, misalnya kain sarung digandingkan bersama blaus atau baju-T.
Tambahnya lagi, tidak salah sekiranya seseorang itu ingin menggayakan busana sama berulang kali.
Selain membawa jenama Malaysia ke Singapura, beliau juga berhasrat untuk membawa jenama-jenama dari Singapura ke pasaran Malaysia.
"Kami juga berhasrat untuk membawa masuk beberapa jenama dari Singapura dan kami telah pun bermula dengan jenama penjagaan kulit, Re:rth pada April tahun lalu," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram