![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/07/3156598.jpg)
MENJELANG musim perayaan, harga baju raya menjadi antara perbincangan dalam kalangan penggemar fesyen, selain reka bentuk dan nilai estetikanya.
Seiring kenaikan harga barang, sukar menidakkan ramai yang mengeluh mengenai kos busana raya yang dikatakan semakin mahal.
Sehingga ada menyifatkan baju raya bukan sahaja persalinan sempena meraikan lebaran, bahkan 'pelaburan'.
BACA LAGI: Suami boleh menikah walau isteri pertama tidak setuju? Jangan panik, pertahan hak di mahkamah
Rico selepas melancarkan koleksi Summeraya 2025 baru-baru ini. — Hariz Amsyar
Pereka fesyen tempatan, Rico Rinaldi Tono (Rico), turut mengakui bahawa kebanyakan pihak kini menjual baju raya pada harga mahal sehingga mendorong sebahagian besar individu khususnya wanita mengambil langkah berjimat cermat.
Menurut Rico, selain kualiti, faktor pemasaran dan jenama juga memainkan peranan penting dalam menentukan harga sesuatu produk itu.
"Sejujurnya, tahun ini banyak jenama berani meletakkan harga yang sangat tinggi.
"Bagaimanapun, pendapat saya peletakkan harga sedemikian mungkin kerana keunikan diterapkan pada busana berkenaan," ujar Rico ketika ditemui Majoriti pada Majlis Pertunjukan Fesyen Summeraya 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bicara pereka berusia 38 tahun itu, tiada salahnya meletakkan harga tinggi, tetapi biarlah selari dengan kualiti, material, perincian dan rekaan diketengahkan.
Mengulas persepsi sesetengah pihak yang masih tegar berasakan pakaian tersebut mahal walaupun kualitinya bagus, Rico menyifatkan, barangkali kelompok itu bukan sasaran pelanggan sesebuah jenama.
"Namun begitu, pelanggan harus bijak menilai kadangkala harga baju ready-to-wear (RTW) yang mahal, jika tambah sedikit kos anda sudah boleh menempah bersama tatahan perincian minimal," ujarnya lanjut.
Sementara itu, Rico berpengalaman 18 tahun dalam industri fesyen turut menjelaskan kekeliruan berhubung caj harga ditetapkan berdasarkan saiz.
"Kalau ikutkan dalam bidang fesyen, tiada istilah lagi besar saiz, maka lagi banyak penggunaan fabrik sehingga harga diletakkan tinggi.
"Mungkin teori perniagaan pemain industri berkenaan sebgitu. Bagi Rico saya tidak kisah saiz dihasilkan harga sepatutnya sama sahaja," katanya.
Antara koleksi busana rekaan Rico Rinaldi ideal digayakan pada hari raya.
Rico juga memberi penekanan terhadap aspek kualiti sebelum menetapkan harga.
"Paling penting sebelum meletakkan harga kualiti bahagian dalam dan luar perlu cantik dan kemas dari segi fabrik dan jahitan kerana baju kita nak pakai lama," terang beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Rico melancarkan koleksi lebaran Summeraya 2025 yang menampilkan lebih 60 rekaan untuk wanita dan lelaki.
"Tahun ini ada 62 rekaan dan insipirasinya masih sama baik pemilihan fabrik mahupun perincian flora.
"Rekaan kali ini juga lebih sopan dan longgar bukan sahaja ideal digayakan musim perayaan, bahkan majlis-majlis lain," jelasnya.
Lebih menarik, buat julung kali Summeraya 2025 memperkenalkan saiz hingga 3XL bagi memberikan keselesan, selain rekaan mesra penyusuan.
"Harga baju wanita bermula dari RM249 hingga RM349 beserta selendang. Bagi kurta lelaki pula berharga RM129," kata Rico sambil memberitahu koleksi Summeraya 2025 boleh didapati di laman web atau aplikasi mudah alih Rico Rinaldi atau kunjungi butik terpilih serta melalui TikTok. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram