![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/11/3161569.jpg)
MALAM Grand Finale Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) menyaksikan Marygrace diangkat sebagai juara program realiti itu, mengalahkan tiga finalis hebat lain.
Wanita berasal dari Keningau, Sabah itu menerima hadiah utama bernilai RM1 juta merangkumi wang tunai RM500,000, kereta Peugeot 408 GT, kontrak rakaman bersama Alternate Records dan lagu baharu yang akan digubah serta diterbitkan bintang muzik Indonesia, Ade Govinda.
Percaturan Marygrace mendendangkan lagu Persamaan yang dipopularkan kumpulan Freedom dan single baharunya, Titik Mula, menerima pujian meluas daripada juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan termasuk dua juri jemputan, Nicholas Saputra dan Faizal Tahir.
BACA LAGI: Dunia kecantikan bukan hanya tentang estetik, Dr Hana Rose miliki formulasi tersendiri
Marygrace (dua dari kanan) diangkat sebagai juara CSOIAM, mengalahkan tiga finalis hebat lain. — Instagram/mxrygraceee_
Sentiasa mempamerkan kekuatan vokal, penampilan Marygrace sememangnya berjaya memukau penonton sejak awal pertandingan.
Pemilik nama lengkap MaryGrace Jane C. Penserga itu memulakan kerjayanya dalam bidang muzik dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian di peringkat negeri dan kebangsaan.
Beliau dikenali dengan bakat vokalnya yang memukau dan keupayaan untuk menyampaikan lagu penuh emosi.
Kemenangan dalam CSOIAM merupakan pencapaian besar dalam kerjayanya, sekali gus membuka peluang untuk jururawat sambilan itu mengembangkan bakat dan mencapai impian dalam industri muzik.
Kejayaan wanita berusia 23 tahun tersebut bukan sahaja menggembirakan peminat muzik, malah memberikan inspirasi kepada banyak pihak.
Dilahir dan dibesarkan di daerah yang terkenal dengan kekayaan budaya muzik, Marygrace menunjukkan minat mendalam dalam seni suara sedari kecil, apabila aktif menyertai pelbagai pertandingan nyanyian di peringkat sekolah dan daerah.
Marygrace juga berkhidmat sebagai jururawat sambilan. — Instagram/mxrygraceee_
Keupayaan vokalnya yang unik dan teknik nyanyian yang matang menjadikannya seorang penyanyi yang menonjol dalam kalangan rakan sebaya.
Namun zaman kanak-kanak penyanyi itu tidak seperti individu lain.
Pada usia sembilan tahun, Marygrace terpaksa melalui pengalaman begitu pahit apabila beliau menyaksikan sendiri kematian tragis bapa yang dibunuh oleh rakan mendiang, di hadapan matanya.
Kejadian pada usia muda itu mengubah hidup beliau sepenuhnya, menyebabkan Marygrace berdepan dengan masalah kesihatan mental dan trauma yang mendalam.
Namun begitu, berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan rapat, Marygrace berjaya mengharungi trauma yang dialaminya.
Sistem sokongan yang kuat membantu Marygrace (dua dari kanan) untuk pulih sedikit demi sedikit. — Instagram/mxrygraceee_
Sistem sokongan yang kuat membantunya untuk pulih sedikit demi sedikit. Dalam tempoh penuh sukar itu, Marygrace menemui muzik sebagai satu cara untuk meluahkan perasaan dan mengatasi segala kesedihan yang ditanggung.
Menyanyi dan rap menjadi saluran untuknya melepaskan segala emosi terkumpul dalam diri.
Kemenangan dalam CSOIAM memberikan peluang besar kepada Marygrace untuk terus mengembangkan bakatnya, sekali gus membuktikan bahawa walaupun melalui kehidupan penuh cabaran, semangat untuk meneruskan hidup dan mencapai impian tidak akan pernah padam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram