![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/06/3154849.jpeg)
PADA awalnya, topi bucket mungkin berperanan sebagai aksesori terbaik bagi menyembunyikan rambut yang tidak terurus di samping melindungi daripada sinaran matahari.
Namun kini fungsi topi bucket sudah menjangkau lebih sekadar itu, ia mulai menjadi trend fesyen!
Daripada penampilan santai buat pendaki, nelayan mahupun petani, topi bucket kini muncul di pentas peragaan dan menjadi pilihan ramai susulan ia mudah digayakan dengan hampir kesemua tema pakaian.
Pernah dianggap aksesori kasual, topi bucket hadir dengan pelbagai gaya, menjadikannya lebih serbaguna berbanding sebelumnya.
Pereka fesyen terkenal seperti Kate Spade dan Longchamp membawa topi bucket ke satu tahap lebih tinggi, menawarkan reka bentuk lebih elegan dan sofistikated, sesuai untuk pelbagai acara.
Kate Spade misalnya, menawarkan topi bucket dengan tekstur dan tenunan memikat, sesuai digayakan pada musim panas untuk memberi penampilan ceria serta bergaya.
Longchamp pula tampil dengan koleksi musim panas 2025 yang menggunakan tona beige semula jadi, memberikan aura santai dan elegan kepada si pemakai.
Topi bucket kini hadir dengan pelbagai gaya, menjadikannya lebih serbaguna berbanding sebelumnya.
Bagi pencinta gaya yang lebih mewah, Dries Van Noten menawarkan topi bucket berbulu dengan rona hitam putih, menggabungkan elemen kelucuan dan kemewahan secara sempurna.
Begitu juga dengan Louis Vuitton yang menampilkan topi bucket hitam daripada koleksi Spring/Summer 2025, dihiasi dengan tali rumbai perak yang memberi sentuhan dinamik, menjadikannya pilihan tepat untuk sesiapa mahu tampil dengan keanggunan berbeza.
Fendi juga tidak ketinggalan mengikut jejak trend tersebut dengan memperkenalkan topi bucket lelaki yang bergaya, dihiasi dengan logo ikonik double F yang menambah karakter pada penampilan.
Sementara itu, jenama Itali Brioni pula mengeluarkan topi bucket dengan warna coklat kelabu, mempersembahkan gaya klasik dan sofistikated, sesuai untuk lelaki yang menyukai elegan.
Di Malaysia, jenama Carlo Rino turut memperkenalkan topi bucket dengan sentuhan gaya ceria.
Menggunakan fabrik sesuai untuk cuaca panas, ia hadir dengan warna lilac yang manis dan corak geometri tetris menarik, memberikan penampilan luar daripada kebiasaan dan penuh gaya.
Secara keseluruhannya, topi bucket telah mengalami evolusi dalam dunia fesyen dan kini menjadi aksesori yang sangat digemari, sesuai untuk pelbagai gaya.
Sama ada untuk hari yang santai atau untuk memperkaya penampilan malam, topi bucket adalah item fesyen wajib yang patut dimiliki! — The Star/DAZ MANAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram