![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/09/3158654.png)
DI sektor kerajaan, Nur Nadiatul Nabila Ahmad Saifuddin memulakan karier di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada 2016 sebagai doktor pelatih di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Usai menjalani tempoh latihan (housemanship) selama dua tahun, beliau yang mesra disapa Dr. Bella berpindah ke Selangor dan mengorak langkah pertama dalam industri estetik, selepas menyedari minatnya terhadap bidang kecantikan.
Ingin bermula dari bawah, wanita berusia 35 tahun itu diletakkan di bawah pemantauan Pengasas Beylla Medispa, Mohd. Hafiz Mohd. Yusof sebagai perunding kecantikan pada 2019.
BACA LAGI: Dunia kecantikan bukan hanya tentang estetik, Dr Hana Rose miliki formulasi tersendiri
Perubahan bidang kerjaya banyak mengubah personaliti Dr. Bella dalam aspek kemahiran komunikasi.
Berkhidmat di cawangan Shah Alam, Dr. Nur Nadiatul Nabila memberikan konsultasi kepada pelanggan mengenai pelbagai masalah kulit seperti jerawat dan jeragat.
"Saya belajar mengenai sistem spa kerana sebelum itu tidak mempunyai pengalaman dalam bidang ini sehinggalah hampir dua tahun bekerja dinaikkan pangkat sebagai pengurus.
"Kemudian, pada 2022 kami melakukan penjenamaan semula dan Mohd. Hafiz mempelawa menyertai beliau sebagai pengasas bersama Beylla Medispa," ujarnya kepada Majoriti.
Berkongsi lanjut, Dr. Bella memberitahu, minatnya dalam rawatan estetik sebenarnya bermula ketika bertugas di hospital awam.
Potensi besar bidang kecantikan menyebabkan anak kelahiran Ipoh, Perak itu mula tertarik meluaskan pengetahuan dan pengalaman dalam industri tersebut.
Apatah lagi, selepas melihat ramai rakan sejawatannya beralih ke bidang estetik selepas tamat tempoh latihan.
Akuinya, keputusan itu pada mulanya mendapat tentangan daripada keluarga terutama ayah yang merupakan pegawai tentera.
Bidang rawatan estetik menyediakan masa lebih fleksibel untuk Dr. Bella antara kerja, keluarga dan diri sendiri. — Instagram/drbellasaifuddin
"Ketika itu, saya masih rasa ragu-ragu dan mendapat banyak tentangan, namun percaya jika benar-benar minat dengan pekerjaan dilakukan, rezeki pasti ada.
"Saya juga berfikir tentang masa depan, jika terus bekerja di hospital, saya tidak akan mempunyai masa yang banyak untuk keluarga.
"Namun, bekerja dalam bidang estetik menyediakan masa yang lebih fleksibel dan menyesuaikan kerja dengan kehidupan peribadi," katanya.
Bidang tersebut juga akui beliau, banyak mengubah personaliti anak ketiga daripada lima beradik itu sendiri, khususnya dalam aspek kemahiran komunikasi.
Daripada gemar menyendiri (introvert), kini Dr. Bella lebih terbuka dan berkomunikasi dengan orang ramai terutamanya untuk membawa jenama Beylla Medispa bergerak lebih jauh.
Rawatan perubatan
Bercerita mengenai spa, ujar ibu kepada tiga anak itu, Beylla Medispa menggunakan produk dan rawatan berkelas perubatan.
"Kami juga mempunyai doktor untuk memantau keadaan pesakit dan memastikan setiap rawatan selamat dan berkesan," jelasnya menambah medispa tersebut kini mempunyai lebih 40 cawangan di seluruh Malaysia.
Dr. Bella juga memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mencipta produk kecantikan sendiri yang memenuhi piawaian perubatan.
"Antaranya kami menghasilkan Bella Skincare, Bella Haircare dan Bella Food, yang dirumus khas untuk memberikan hasil terbaik kepada pelanggan," tambahnya yang baru sahaja melancarkan cawangan baharu di Sri Aman, Sarawak.
Dr. Bella (kiri) menegaskan bahawa wanita harus sedar kebolehan diri dan berani mengejar impian dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan. — Instagram/drbellasaifuddin
Beliau dalam pada itu turut menekankan, dalam usaha memastikan pelanggan kembali, mereka sentiasa mengutamakan peningkatan rawatan dan pengalaman pelanggan.
Jelasnya, salah satu fokus utama adalah memperkenalkan rawatan baharu yang berkualiti termasuk menggunakan teknologi mesin terkini.
"Kami sentiasa menghadiri persidangan, dari situ dapat mengenal pasti rawatan dan teknologi terkini yang disediakan pembekal dari pelbagai negara.
"Salah satu rawatan premium kami perkenalkan pada 2024 ialah exosomes treatment menggunakan DNA (asid deoksiribonukleik) daripada bunga mawar untuk merawat masalah kulit seperti parut, pigmen dan tanda penuaan.
"Rawatan ini bantu memberikan hasil yang cepat meskipun agak mahal. Exosomes juga memberikan kesan ketara selepas satu atau dua sesi dan harganya lebih berpatutan," katanya lagi.
Selain itu, tambahnya, mereka turut memperkenalkan rawatan retinol peel, satu lagi rawatan trending tahun lalu.
Ditanya mengenai trend terkini, Dr. Bella berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masalah jerawat dilihat semakin berkurangan, sebaliknya kini ramai pelanggan mencari penyelesaian kepada jeragat dan pigmentasi.
Ujarnya, situasi itu berkemungkinan disebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli produk penjagaan kulit di platform e-dagang tanpa melakukan rawatan di pusat kecantikan.
"Kebanyakan orang sudah membeli pelbagai jenis produk penjagaan wajah dan tidak lagi datang untuk rawatan jerawat.
"Jadi fokus kini lebih kepada masalah pigmentasi, terutama jeragat dan melasma.
"Untuk masalah berkenaan, kami menawarkan rawatan berterusan dengan hasil yang ketara selepas beberapa bulan," ujarnya.
Berbicara mengenai penglibatan wanita dalam dunia perniagaan, kongsi Dr. Bella, kaum Hawa perlu percaya pada diri sendiri dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata negatif.
"Kita harus tahu kebolehan diri dan berani mengejar impian dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan," katanya sebagai motivasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram