Berstatus bilionair di usia muda, Selena Gomez luaskan pengaruh luar dunia hiburan


  • Hiburan
  • Khamis, 06 Feb 2025

Selena berjaya membina nama dalam industri hiburan dan keusahawanan.

SELENA Gomez, seorang penyanyi, pelakon dan usahawan terkenal kini mencapai status bilionair, menjadikannya salah seorang wanita termuda meraih pencapaian itu di Amerika Syarikat (AS).

Usahawan berusia 33 tahun tersebut pada September tahun lalu diiktiraf oleh Indeks Bilionair Bloomberg dengan nilai kekayaan dianggarkan sebanyak $1.3 bilion (RM5.8 bilion), sekali gus menjadikannya simbol kejayaan dalam dunia hiburan dan perniagaan.

Sejak kemunculan sebagai pelakon kanak-kanak dalam rancangan Barney & Friends, Selena membina kerjaya mengagumkan dalam industri hiburan.

BACA LAGI: Pernah derita kerosakan saraf, berkurung dalam bilik, Madiha bangkit bina aplikasi sokongan wanita alami depresi

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

Beliau terkenal dengan peranannya dalam rancangan Wizards of Waverly Place dan filem seperti Spring Breakers serta Hotel Transylvania.

Sebagai pemuzik, selebriti itu juga berjaya mencapai kejayaan besar dengan tiga album miliknya meraih kedudukan pertama dalam salah satu carta muzik yang paling berprestij di AS, Billboard 200.

Tidak hanya itu, beberapa lagu hit beliau seperti Good for You dan Lose You to Love Me turut tersenarai di Billboard Hot 100.

4

Selebriti itu berjaya mencapai kejayaan besar dengan tiga album miliknya meraih kedudukan pertama dalam salah satu carta muzik.

Usahawan bilionair

Kejayaan wanita berketinggian 165 sentimeter tersebut tidak terhenti di situ.

Selepas membina nama dalam industri hiburan, Selena kemudian melebarkan sayap di pentas keusahawanan pula.

Menjadi pengasas jenama kosmetik yang semakin berkembang, Rare Beauty kini menjadi salah satu jenama terkemuka dalam industri kecantikan.

Laporan menyatakan bahawa lebih 81 peratus kekayaan Selena datang daripada Rare Beauty.

Jenama kosmetik tersebut mencipta gelombang besar dalam industri kecantikan dengan pendekatannya yang inklusif dan berfokus pada kecantikan semula jadi.

2

Kosmetik Rare Beauty mencipta gelombang besar dalam industri kecantikan.

Sejak pelancarannya pada September 2020, Rare Beauty mencatatkan jualan bersih sebanyak lebih $400 juta (RM1.8 bilion).

Selain perniagaan kecantikannya, Selena juga memperoleh pendapatan melalui sumber-sumber lain seperti tajaan, jelajah, album muzik dan pelaburan dalam kesihatan mental menerusi platform yang memfokuskan pada sokongan kesihatan mental, Wondermind.

Beliau juga dikenali sebagai aktivis kesihatan mental yang lantang menyuarakan isu-isu penting berkaitan kesejahteraan mental.

Sebagai individu yang sendiri pernah melalui pelbagai cabaran kesihatan mental, Gomez telah menjadikan perjuangan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang isu ini sebagai salah satu matlamat utama dalam hidupnya.

WhatsApp Image 2025-02-06 at 17.45.30

Selena (tengah) turut memfokuskan pada sokongan kesihatan mental menerusi platform Wondermind.

Melalui usaha-usaha peribadi dan profesionalnya, beliau banyak memberi impak besar dalam mengurangkan stigma terhadap penyakit mental.

Selena secara terbuka berkongsi pengalaman tentang kemurungan dan kebimbangan, yang mana memberi inspirasi kepada banyak individu yang berjuang dengan isu serupa.

Figura tersebut berjaya mempelbagaikan kerjaya, menjadikannya contoh terbaik bagaimana selebriti boleh mengembangkan pengaruh mereka di luar dunia hiburan.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang wanita paling berpengaruh di dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram