![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/01/30/3143435.png)
DUNIA kecantikan bukan hanya tentang estetika, tetapi juga mencakupi ilmu dan ketelitian.
Itulah prinsip yang dipegang teguh oleh pengasas Klinik Rose Bay, Dr Hana Rose.
Kecenderungan terhadap kecantikan dan naluri kepimpinan mendorong Miss Universe Borneo 2019/2020 ini membuat keputusan besar membuka kliniknya sendiri lapan tahun lalu, yang berlokasi di Sutera Avenue, Kota Kinabalu, Sabah.
Dr Hana Rose atau nama sebenarnya, Hani Farhana Hasrul Sani memulakan kerjaya dalam bidang anestesiologi di hospital kerajaan selama tiga tahun sebelum melanjutkan pelajaran dalam perubatan estetik.
Ketika bertugas, beliau juga mengikuti latihan intensif dan akhirnya memperoleh kelayakan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk serius dalam bidang yang semakin mendapat tempat di Malaysia ini.
Menurutnya, dalam dunia perubatan yang luas, bidang estetik sering kali dianggap unik kerana ia merupakan gabungan antara sains perubatan dan seni kecantikan.
Tidak hanya bersandarkan kecantikan, Dr Hana Rose (dua dari kanan) turut mementingkan ilmu dan ketelitian. — Instagram drhanarose
"Cabarannya adalah berbeza, estetik ini mencabar. Ia separuh perubatan dan separuh seni.
"Keindahan dalam estetik bukan sesuatu yang terhad, ia memerlukan latihan perubatan sebagai asas, tetapi pada masa sama memerlukan daya seni dan kemahiran tinggi untuk mendapatkan hasil terbaik.
"Bidang estetik memiliki persamaan dengan dunia kulinari, yang mana setiap cef mempunyai formulasi tersendiri,” kongsinya kepada Majoriti.
Bercerita lanjut, beliau berkata, selain cabaran profesional, minat terhadap kecantikan turut menjadi faktor utama yang mendorong Dr Hana Rose terlibat dalam bidang tersebut.
Sifat cenderung 'membaiki' sesuatu agar terlihat sempurna telah membawa beliau sehingga ke hari ini.
Namun baginya, kecantikan bukan sekadar luaran tetapi juga merangkumi dalaman dan pencapaian akademik.
“Untuk kelihatan cantik secara fizikal, seseorang perlu bekerja keras. Begitu juga dengan aspek kehidupan lain, seperti pencapaian akademik dan perkembangan diri.
"Minat terhadap kecantikan bukan satu-satunya faktor penting untuk menjadi seorang doktor estetik.
“Sebaliknya, kepakaran dan ilmu perubatan adalah lebih utama. Suka akan hal yang cantik hanyalah satu bonus,” jelasnya yang memiliki 10 tahun pengalaman dalam bidang estetik.
Wanita ini menekankan kepentingan mengimbangi emosi dan kecerdasan intelektual dalam kepimpinan. — Instagram drhanarose
Korban masa
Semangat kepimpinan tertanam sejak kecil membuatkan wanita yang dilahirkan California, Amerika Syarikat (AS)di itu tekad menerajui perniagaannya sendiri berbanding bekerja dengan orang lain.
Bagi Dr Hana Rose, kepimpinan bukan sekadar gelaran, tetapi satu tanggungjawab yang begitu besar.
“Saya memang suka akan kepimpinan sejak kecil. Dalam setiap perkara yang dilakukan, matlamat saya adalah untuk menjadi yang terbaik.
"Sebab itu, saya memilih untuk memiliki klinik sendiri berbanding bekerja dengan orang lain,” ujarnya yang dibesarkan di Kyoto, Jepun.
Keputusan itu juga datang dengan 'harga' yang perlu dibayar.
Sebagai pemilik perniagaan, beliau mengakui terpaksa mengorbankan banyak waktu peribadi demi memastikan kejayaan kliniknya.
"Cabaran sebagai pemimpin sangat sukar, salah satunya kita terpaksa berkorban waktu sendiri dan lebih fokus pada syarikat," katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya mengimbangi emosi dan kecerdasan intelektual dalam kepimpinan.
Ini kerana jelasnya, wanita mempunyai emosi lebih kompleks. Oleh itu, untuk menjadi pemimpin yang baik, perlu kawal emosi dan buat keputusan dengan tenang, terutamanya ketika menghadapi krisis dalam pengurusan perniagaan.
"Saya seorang doktor, tetapi apabila membuka klinik sendiri, saya perlu belajar tentang bisnes, perakaunan, undang-undang dan pengurusan sumber manusia. Semuanya perlu pelajari sendiri.
“Setiap wanita perlu menjadi pemimpin kepada diri sendiri. Wanita yang berfikir secara intelektual akan membuat keputusan lebih baik," tambahnya yang fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Jepun.
Klinik Rose Bay menawarkan rawatan pengkhususan dalam estetika termasuk penjagaan kulit. — Instagram drhanarose
Rawatan
Berbicara lanjut tentang rawatan yang disediakan, Dr Hana Rose memberitahu, Klinik Rose Bay menawarkan pengkhususan dalam estetika termasuk penjagaan kulit, program penurunan berat badan, pemulihan rambut termasuk rawatan bersesuaian dengan keperluan kesihatan wanita dan lelaki.
Beroperasi di Sabah, Dr. Hana Rose menyedari bahawa bilangan klinik estetik di negeri berkenaan masih terhad berbanding di Kuala Lumpur.
Ujarnya, hanya terdapat tujuh klinik dengan pengamal perubatan berdaftar yang ditauliahkan dengan Letter of Credentialing & Privileging of Aesthetic Medical Practice (LCP) di Sabah, termasuk beliau.
Akuinya, masyarakat Sabah sememangnya mengutamakan kecantikan sejak dahulu, tetapi masih terdapat kekeliruan mengenai saluran yang betul untuk mendapatkan rawatan.
“Apabila menghadapi masalah, ramai yang tidak tahu kepada siapa harus dirujuk. Tidak seperti di Kuala Lumpur yang mempunyai sistem lebih tersusun, di Sabah ada banyak rawatan dilakukan secara tidak sah.
"Ramai masih mendapatkan perkhidmatan daripada beautician dari luar negara yang datang ke Sabah untuk menawarkan rawatan secara salah di sisi undang-undang,” tambahnya.
Dr Hana Rose berpandangan,wanita perlu menjadi pemimpin kepada diri sendiri. — Instagram drhanarose
Dr. Hana Rose menegaskan, usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan rawatan daripada klinik bertauliah amat penting bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan rawatan.
“Dengan adanya peralihan kesedaran seperti ini, kita dapat mendidik masyarakat untuk pergi ke tempat yang betul dan menerima rawatan kecantikan yang selamat serta berkualiti,” katanya.
Walaupun ada saranan untuk mengembangkan klinik ke Semenanjung, beliau tetap berpegang kepada falsafah untuk berkembang secara perlahan tetapi kukuh.
“Saya percaya bahawa sesuatu yang berkembang terlalu cepat akan mudah jatuh. Oleh itu, saya lebih selesa berkembang secara beransur-ansur dengan asas yang kukuh,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram