![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/07/3149649.jpg)
MELANCONG atau mengembara ke luar negara secara solo kini antara aktiviti yang digemari golongan muda atau dalam erti kata lain backpackers.
Mungkin ada di antara kita yang merasakan aktiviti seperti ini agak berbahaya terutama bagi mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke negara asing.
Namun, pada zaman teknologi sekarang ini pelbagai langkah keselamatan dan kemudahan tambahan telah disediakan bagi memastikan pelancong dapat menikmati trip solo sebagai backpackers dengan selesa lagi menyeronokkan.
BACA LAGI: Tiada istilah lelong lawan JDT, kami pun ada maruah — Badrul Afzan
BACA LAGI: Nostalgia Piala Malaysia musim 2014 gamit memori Fandi, Sri Pahang
Majoriti kali ini berkongsi barang dan keperluan mudah bagi mereka yang berkeinginan untuk melakukan aktivti pengembaraan sebagai backpackers. Apa-apa pun, buat mereka yang pertama kali mahu mencuba, apa kata anda bermula dengan meneroka negara di rantau Asia.
Ia bagi memberi peluang untuk mengumpul sebanyak mana pengalaman awal sebelum melangkah lebih jauh yang lebih mencabar.
Kamus bahasa kedua memudahkan anda untuk bertanya perkara asas ketika di luar negara.
Kamus mini/ aplikasi kamus
Bahasa atau komunikasi merupakan cabaran yang paling besar ketika berurusan dengan masyarakat setempat. Maklumlah negara orang, sudah tentu mereka lebih mudah berturut menggunakan bahasa ibunda.
Walaupun terdapat negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan, namun tidak dinafikan ada segelintir daripada mereka yang kurang berkemahiran. Seperti di Jepun, rakyatnya sungguh memartabatkan bahasa sendiri.
Jadi, di sinilah pentingnya penggunaan kamus bahasa untuk membantu anda mengenali perkataan asas seperti kiri atau kanan, di mana dan beberapa lagi perkataan untuk memudahkan pergerakan anda.
Amalkan untuk menghafal dan memahami perkataan-perkataan tersebut sehingga anda sudah tidak perlu membuka kamus setiap kali hendak bertanya kepada sesiapa saja di luar negara.
Bagaimanapun, usahlah anggap ia sebagai bebanan. Jika khuatir kamus tersebut hilang, bawa kamus mini atau lebih mudah aplikasi kamus di dalam telefon pintar, lebih mudah dan canggih.
Beg bersaiz kompak dan jenis galas akan memudahkan pergerakkan anda.
Beg bersaiz kompak
Sebagai backpackers, pastikan anda tidak memikul beg atau bagasi dengan muatan berlebihan dan lebih baik menggunakan beg bersaiz kompak atau jenis galas.
Cukup sekadar membawa baju, bahan mandian dan barangan berharga, selain itu, pastikan juga anda membawa selipar ganti yang tidak memakan ruang di dalam beg.
Malahan, anda turut digalakkan untuk membeli beg kalis air untuk melindungi dokumen penting seperti passport dan kad pengenalan.
Usah beli yang mahal-mahal untuk peringkat permulaan, boleh saja 'cuci mata' menerusi aplikasi jualan dalam talian yang menawarkan beg jelajah pada harga mampu milik, berkualiti, pelbagai rekaan serta berwarna-warni.
Power bank adalah peranti sokongan amat bermanfaat kepada pengembara solo atau backpackers.
Power Bank
Kepada anda yang suka merakam memori sepanjang pengembaraan, pastinya telefon pintar menjadi peranti yang penting, sama ada dalam bentuk video atau gambar, di mana kedua-duanya akan mengurangkan jangka hayat bateri.
Jadi, power bank adalah peranti sokongan yang sangat berguna. Nama pun ke luar negara, perjalanan sudah tentu jauh, maka belilah storan kuasa yang sedikit besar daripada biasa kerana ia pasti berbaloi.
Disyorkan untuk membeli Insurans tambahan dan penerbangan supaya anda sentiasa dilindungi di luar negara.
Insurans tambahan/penerbangan
Mungkin segelintir daripada masyarakat kita menganggap insurans tambahan jika hendak ke luar negara tidak begitu penting terutamanya jika melancong ke negara jiran seperti Thailand.
Jika itulah pandangan ramai selama ini, maka anda silap! Harus diingat bahawa malang tidak berbau. Pembelian insurans tambahan akan memberikan keyakinan kepada anda untuk melancong dengan tenang.
Ini kerana, jika berlaku perkara yang tidak diingini misalnya kemalangan atau sakit, impaknya akan lebih besar.
Misalnya, kos perubatan akan lebih tinggi bahkan berlipat kali ganda jika anda perlu dimasukkan ke hospital yang memerlukan bajet untuk kos rawatan dan ubat-ubatan.
Kebiasaannya, hospital luar negara tiada subsidi atau kelebihan potongan harga buat warga asing, sekaligus bermaksud caj tambahan akan dikenakan. Maka, dengan adanya insurans pelancongan, perlindungan tambahan akan diberikan walau di mana saja anda berada.
Bukan setakat itu, kalau penerbangan tertunda pun anda boleh membuat tuntutan insurans, selain dapat menanggung kos harga tiket.
Kit pertolongan cemas cukup sekadar bahan asas untuk anda guna dengan kadar segera.
Kit Pertolongan Cemas
Mungkin nampak biasa tetapi tidak salah, malahan sama sekali bukan sesuatu yang membebankan untuk menyediakannya.
Anda tidak perlu membawa kit pertolongan cemas yang besar, terapi cukup sekadar bahan asas untuk anda guna dengan kadar segera seperti ubat cuci luka dan plaster.
Selain itu, bagi yang wajib mengambil ubat-ubatan secara berjadual juga perlu memastikan stok mencukupi sepanjang pengembaraan anda nanti bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Jika anda mempunyai senarai barangan tambahan lain sekalipun, perkara paling penting yang perlu diambil kira adalah jangan sesekali membawa barang terlalu banyak sehingga ia memperlahankan pergerakan anda.
Perlu diingat, aktiviti backpackers membawa anda berjalan-jalan ke merata tempat kerana matlamat utama adalah untuk menerokasi ke seluruh pelosok negara yang dikunjungi dengan kos paling rendah.
Akhir sekali, bagi bakal backpackers, senaraikan kos untuk setiap aktiviti pengembaraannya anda, termasuk pengangkutan, penginapan, makanan dan aspek kecemasan kerana segala-galanya bermula dengan duit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram