![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/07/3149005.jpeg)
KENDERAAN dua roda tanpa rantai bernama Vespa memiliki identiti yang tersendiri boleh mencetus perasaan bangga buat mereka yang menungganginya.
Baru-baru ini, sebuah acara diberi nama Festival Vesparudin telah berjaya mengumpul kira-kira 1,500 motosikal Vespa melibatkan pelbagai komuniti setempat.
Acara yang diadakan di Busana Mall, Menara MARA, Kuala Lumpur hasil kerjasama Persatuan Vespa Wilayah Persekutuan (Vespa KL) dan Vespa Club Malaysia (VCM), memperlihatkan pelbagai jenis model daripada klasik hingga moden.
Konsep acara tersebut juga lebih kepada singgah dan santai di sekitar kawasan tersebut sambil menyertai aktiviti-aktiviti menarik seperti lumba Vespa paling perlahan, Shine & Show (Vespa paling cantik) dan beberapa lagi.
Vespa model klasik memiliki nilai dan harga yang begitu tinggi dengan wajah vintaj.
Ini termasuk penempatan vendor-vendor pakaian vintaj dan alat ganti skuter tersebut dengan tawaran harga yang boleh dirunding.
Presiden Vespa Wilayah Persekutuan, Che Wan Mahmud Al Bakri Ba Azlan, 36, berkata acara seperti Vesparudin perlu diperbanyakkan di setiap negeri kerana jumlah ahlinya meningkat setiap tahun.
“Terkini, di Kuala Lumpur sahaja sudah ada lebih 70 ahli dan kami jangka bilangannya mencecah 100 orang dalam jangka masa terdekat.
Presiden Vespa Wilayah Persekutuan, Che Wan Mahmud Al Bakri bersama vespa klasik miliknya.
“Sama ada acara kecil atau besar, inisiatif seperti ini mampu mempengaruhi peminat kenderaan ini, bahkan dengan cara inilah peningkatan ahli dalam kalangan pemilik skuter tersebut dapat dilihat menerusi pemilik skuter tersebut,” katanya.
Pengunjung Vesparudin ditawarkan alat ganti klasik dengan harga yang boleh dirunding pada acara itu.
Mengenai Festival Vesparudin, objektif utama acara tersebut adalah untuk mempamerkan kreativiti pemilik Vespa melalui modifikasi motosikal mereka dengan nilai tambah yang unik.
“Malahan ada yang sanggup berhabis duit untuk memperlihatkan Vespa yang ditunggang memenuhi citarasa pemilik. Jadi, ia nampak seakan-akan sama seperti acara automotif yang pernah berlangsung, namun untuk Vespa ‘aura’ dia pasti lain daripada yang lain,” katanya.
Antara Vespa moden yang diberi sentuhan tersendiri mengikut kepuasan masing-masing.
Berbalik kepada fenomena Vespa dalam kalangan generasi muda, sememangnya diakui trend skuter tersebut semakin popular dan di terima anak muda zaman sekarang.
“Kelab kami saja sudah ada tiga peringkat generasi yang mengelolakan organisasi itu dan Vespa KL sendiri telah didaftarkan dengan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) sejak 1992, maknanya sudah lebih 30 tahun," katanya.
Presiden Vespa Malaysia, Adi Syakri Ismail (Sir Birdo).
Sementara itu, Presiden Vespa Malaysia, Adi Syakri Ismail, 44, atau mesra dipanggil Sir Birdo mahu mewujudkan penyatuan dalam kalangan peminat Vespa tanpa mengira latar belakang di bawah satu bendera.
“Saya nak menyatukan semua geng-geng Vespa, baik modern atau klasik di bawah satu payung atau bendera iaitu VCM (Vespa Club Malaysia). Ia bermaksud, kelab yang sedia ada tidak dibubarkan tetapi komuniti tersebut akan hidup di dalam scene Vespa di Malaysia secara rasmi dan berdaftar, jadi tidak ada yang bersendirian,” jelasnya.
Bahkan, langkah tersebut juga ingin disusun mengikut negeri masing-masing seterusnya memperlihatkan kepelbagaian imej dan keunikan dalam dunia Vespa Malaysia.
“Kelab-kelab setiap negeri yang berjaya disatukan di bawah VCM akan menunjukkan betapa hebat dan bersatunya komuniti di Malaysia,” ujarnya.
Tiga generasi, ibu (kanan), bapa (tengah) dan anak (kiri) hadir ke Festival Vesparudin bagi memperlihatkan kekuatan komuniti Vespa.
Hasrat itu ingin dicapai berdasarkan pemerhatian dan perkenalan Sir Birdo melalui kelab-kelab di luar negara yang begitu teguh keakraban ahlinya dan ianya boleh diterapkan di Malaysia menerusi VCM yang kini memiliki lebih 480 ahli.
“Secara langsung dan tak langsung, ada lebih 100 kumpulan atau komuniti kecil peminat Vespa di Malaysia. Jika kita dapat satukan mereka, apabila ada orang tunggang Vespa di pelbagai lokasi tentunya mereka tidak perlu risau sebab ada negeri yang boleh pantau sekiranya berlaku apa-apa masalah,” jelasnya.
Jiwa dan minat Vespa perlu hadir bersama gaya hidup dahulu barulah hobi.
Menelusuri dunia Vespa, Sir Birdo menasihatkan sesiapa sahaja yang ingin membeli Vespa terutamanya golongan muda supaya menonjolkan diri sebagai individu yang mahu menikmati dan menjiwai gaya hidup sebagai seorang penunggang Vespa.
“Bermula gaya hidup baru, jadikan ia sebagai hobi, jika tidak kita akan tersasar. Apa yang saya maksudkan di sini adalah, anda mungkin akan meminati Vespa tak lama jika niatnya sekadar hobi, kerana anda akan bosan dan akhirnya memutuskan untuk menjual Vespa itu di kemudian hari.
“Namun jika ia gaya hidup kita, tentunya kita akan jaga motosikal itu dan pakai lama, saya guarantee!,” tegasnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram