Bermula sebagai blogger menjual pakaian, Husna kini latih usahawan mengenai pemasaran digital


  • Relaks
  • Isnin, 03 Feb 2025

Husna mempunyai lebih kurang 10,000 klien dan amat minat dalam dunia pemasaran digital. Kini dia sudah menjadi penasihat pengiklan yang berjaya selain daripada membuat kelas pengiklan

"SAYA bukan KOL (key opinion leader), saya adalah social media marketer,” itulah yang diutarakan oleh Pengasas Amoura Academy, Husna Hanafi, 39, yang meneroka dan mendalami dunia media sosial dalam perniagaan digital.

Walau sudah hampir dua dekad bergiat dalam dunia digital, beliau hanya menawarkan perkhidmatan mengajar kelas pemasaran digital secara sepenuh masa semenjak tujuh tahun lepas.

Hari ini, agensi persendirian Husna sudah mengumpul lebih kurang 10,000 klien untuk khidmat nasihat pengiklan selain menghadiri program pengiklan yang dianjurkannya.

BACA LAGI: Tiada istilah lelong lawan JDT, kami pun ada maruah — Badrul Afzan

BACA LAGI: Nostalgia Piala Malaysia musim 2014 gamit memori Fandi, Sri Pahang

SaveClip.App_436515229_471528618648368_8081369848103372827_n

Husna kini memiliki lebih kurang 10,000 klien dan amat minat mengajar ilmu dunia pemasaran digital.

Berpendidikan Diploma Teknologi Informasi di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) (kini dikenali sebagai Management and Science University (MSU), figura tersebut telah mula berniaga pakaian melalui blog sejak tahun 2006. Beliau menjadikan platform tersebut sebagai ruang buatkan mencari pendapatan lebih sewaktu menuntut di kolej.

“Sejak daripada belajar, saya sudah nampak potensi blog. Tidak ada buat iklan pun masa itu dan tidak ada pun kaedah pemasaran berbayar.

“Saya jual baju yang diborong sendiri dari gudang Kenanga. Waktu itu tidak semudah sekarang, tiada google atau aplikasi tertentu untuk memudahkan urusan. Sekarang tekan saja, keluar semua benda,” katanya.

Husna singgah dari satu kedai ke satu kedai untuk mengenal pasti pakaian yang bagaimana dapat dijual laris. Apabila menjual di blog, beliau mempraktikkan sistem backlink SEO (Search Engine Organization) yang dipelajarinya di dalam kelas.

“Memang from zero. Saya tak tahu apa-apa, memang belajar sendiri saja dan secara purata saya boleh dapat hasil jualan lebih kurang RM5,000,” kongsinya.

Screenshot 2025-01-31 154700

Laman yang menawarkan perkhidmatan Amoura Academy yang dipautan di Instagram Husna.

Perubahan pengiklan dari Blogspot kepada Facebook

Selepas beberapa tahun, ibu kepada dua cahaya mata itu mendapati platform tersebut mula mulai menerima saingan sengit dari pelbagai platform e-dagang yang menjual barang dari luar negara.

“Nak bersaing baju yang saya beli dekat Kenanga dengan platform dari China, memang tidak boleh menanglah.

Bermula pada 2010, Husna menjual produk penjagaan makanan GC-MAX dan menggunakan kaedah pemasaran melalui pengiklanan di Facebook.

“Ketika itulah saya betul-betul bereksperimen dengan iklan Facebook. Masa itu saya cakap pada diri, ‘Ya ALLAH, kenapalah tak perasan dari dulu lagi’. Memang lagi senang berbanding jual di blog,” jelasnya

Husna menegaskan kaedah pemasaran berbayar akan memberikan lebih penjimatan masa, manfaat, keuntungan dan sebagainya. Penekanan terhadap kandungan hanya perlu dibuat sekali saja kemudian pengiklan akan mendatang pelanggan kepada anda.

“Kalau blog, kita mengharapkan orang singgah untuk membaca konten atau kita sendiri mencari pembeli. Jadi bila marketing berbayar, pelanggan akan datang terus pada kita untuk mendapatan barang yang diiklankan.

Less work, focus sale. Bila ada enjin yang bergerak sendiri untuk pemasaran, kita pun tidaklah terlalu tertekan malah ada lebih masa terluang untuk diri sendiri dan keluarga,” ujarnya yang melihat perubahan era perniagaan menerusi platform dunia digital.

SaveClip.App_470037284_1126407159203572_7879136796985072258_n

Bermula daripada blogger yang menjual baju, Husna melihat perubahan dunia digital dan bertindak untuk mengembangkan ilmunya kepada palatform media sosial yang sedia ada.

Kenal pasti target pelanggan

Berbicara mengenai trend atau kempen pengiklan digital, Husna berpendapat strategi yang paling penting adalah mengenal pasti siapakah sasaran pelanggan dalam pasaran.

Segala jenis maklumat, pergerakan tingkah laku dan sebagainya perlu diteliti supaya produk berjaya mempengaruhi prospek yang ada di platform digital.

“Dari situ barulah anda akan dapat membentuk niche dalam platform. Kemudian bermulanya kempen pemasaran di mana anda akan rasa lebih yakin dengan produk yang ingin dipromosikan,” terangnya.

Tambahan lagi, perniagaan bukanlah berubah mengikut zaman tetapi ia lebih kepada kehendak pelanggan yang perlu bersesuaian dengan produk.

“Zaman sekarang berbanding dahulu memang berbeza. Lain tetapi sebenarnya ia masih agak sama. Sebab apa? Sebab misi kita tetap ingin menjual. Misalnya, kalau kita keluarkan produk baju kanak-kanak, mestilah kita nak sasar golongan ibu kerana jarang sekali bapa memeli baju anak-anak,” terangnya.

Mendalami lagi tentang dunia digital, kayu ukur kejayaan sesebuah produk yang dipasarkan di dalam platform digital bermula dengan kesedaran jenama.

“Sejujurnya, zaman dulu kita guna WhatsApp sebagai tempat untuk kita kenal pasti ada orang yang hendak bertanya tentang produk. Namun, sampai satu tahap kita akan muak dan rasa hendak tutup telefon.

“Kini ia boleh dinilai melalui jumlah klik pada platform. Berapa banyak kita labur duit untuk orang klik iklan di dalam platform dan mengenali produk tersebut.

Ia bergantung pada produk masing-masing. Berdasarkan klik, pemilik boleh mengenal pasti tontonan, capaian dan konten yang bagaimana boleh menjurus ke arah jualan.

SaveClip.App_436312265_1202152527832320_4271514285267810974_n

Laman web adalah platform jangka masa panjang yang amat ditekan oleh Husna kepada klien atau anak muridnya.

Laman web persendirian

Sebagai pemilik beberapa buah perniagaan, Husna menyarankan kepada semua peniaga atau pengasas produk untuk memiliki laman web sendiri.

“Sudah 2025, setiap perniagaan wajib ada laman web sendiri. Iya, semua orang bergantung kepada media sosial, guna TikTok shop, guna IG shop. Tapi kalau satu hari nanti tiba-tiba muncul teknologi baharu hingga membuatkan media sosial tidak relevan, bagaimana?

“Jadi, laman web adalah pelaburan terbaik dan saya lihat platform berkenaan sebagai keperluan jangka masa panjang," sarannya.

Cabaran dunia digital

Sebagai individu yang bermain dengan dunia digital, algoritma menjadi cabaran utama. “Jadi tugas saya untuk menenangkan mereka yang dibimbing dan terangkan dengan jelas mengenai ramalan yang akan berlaku lebih awal supaya mereka bersiap sedia,” katanya.

Dalam pada mengadakan kelas, Husna turut berkongsi pengalamannya mengajar pelbagai generasi yang memiliki lain-lain kelebihan.

“Akan tetapi, paling senang dididik adalah Gen Z. Mereka mudah menyesuaikan diri berbanding milenial seperti saya yang selalunya ambil lebih masa untuk betul-betul faham,” jelasnya.

Bercakap berdasarkan pengalaman, Husna memaklumkan sepanjang kariernya diwarnai dengan pelbagai kejayaan dan tidak kurang juga kegagalan. Namun, perkara paling penting adalah kebangkitan seseorang itu selepas gagal.

Akhir kata, Husna menekankan perlunya pemasaran berbayar walaupun sedikit sebab kaedah itulah yang akan mengekalkan perniagaan anda.

“Mahu buat produk atau perniagaan senang, tapi aspek pemasaran juga jangan diambil mudah,” tutup bicaranya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram