![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/01/29/3142737.jpg)
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
KALI terakhir Pahang mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2014, Fandi Ahmad dikerah sekadar menjadi penonton. Skuad LionsXII yang dibimbingnya pada musim itu gagal melepasi halangan peringkat awal secara liga – kebetulan turut mengandungi Pahang dalam Kumpulan A.
Ketika final itu, Fandi harus bersifat seorang neutral – sebagai pemain, Pahang dibantunya muncul naib juara liga 1991 selain menjuarai gelaran berganda liga dan Piala Malaysia pada 1992 manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) pula dua tahun dilatihnya pada musim 2012 dan 2013 sebelum tempatnya digantikan oleh Bojan Hodak.
Selepas lebih sedikit dari satu dekad, memori daripada perlawanan kemuncak pada 2014 itu kembali menggamitnya ketika Sri Pahang FC di bawah kendaliannya kini berada di ambang gerbang final Piala Malaysia semula.
BACA LAGI: [VIDEO] Enggan ulas kad merah Hidalgo, Fandi mahu Tok Gajah manfaat peluang di Temerloh
Fandi Ahmad ketika mengendalikan LionsXII lebih 10 tahun lalu.
Di peringkat suku akhir 2014 itu, Pahang di bawah kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan menyingkirkan PDRM dengan agregat setipis 3-2 – seri 1-1 di Kuantan tapi menang 2-1 dalam aksi timbal balik di Shah Alam dengan gol Fauzi Roslan pada minit terakhir (90+1) menjadi pemisah.
Seterusnya dalam separuh akhir, skuad Tok Gajah itu menyingkirkan Kedah dengan agregat 6-3 – tewas 1-3 di Alor Setar tapi menang 5-0 di Kuantan termasuk jaringan hatrik penyerang dari Argentina, Matias Conti, dengan dua gol lagi sumbangan R. Gopinathan.
Ketinggalan 1-2 kepada JDT menerusi gol Jorge Pereyra Diaz (m-31) dan Luciano Figeuroa (m-34) dalam final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 November 2014, orang besi Dickson Nwakaeme yang terdahulu memberi gol pendahuluan pada minit ke-15, menyelamatkan Pahang dengan gol penyamaan 2-2 selepas 71 minit.
Dengan kedudukan tidak berubah selepas tamat masa tambahan, keupayaan Pahang menyempurnakan kesemua lima sepakan penalti penentuan menerusi Razman Roslan, Damion Stewart, Shahrizan Salleh, Zeshan Rehman dan Hafiz Kamal mengangkat mereka selaku juara selepas Nor Shahrul Idlan Talaha gagal dalam sepakan penalti keempat JDT.
“Ya, saya banyak diingatkan akhir-akhir ini mengenai kejayaan terakhir Pahang itu,” kongsi Fandi dengan Bola Pegun. “Benar ia sudah terlalu lama, sudah satu dekad. Ia sesuatu yang sangat penting untuk kami melangkah ke final semula.”
Pertembungan sengit berlangsung dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Untuk merealisasikannya, mereka perlu lebih dahulu menyingkirkan Sabah FC dalam separuh akhir kedua di Stadium Perbandaran Temerloh pada 2 Februari ini selepas kedua-dua pasukan terikat agregat 1-1 di Kota Kinabalu, 18 Januari lalu.
“Sama seperti apa yang ditonton di Stadium Likas, saya jangka ia akan menjadi satu perlawanan getir sekali lagi.
“Tapi kami telah menunjukkan semangat untuk bangkit melawan (dalam separuh akhir pertama). Harap-harap kami dapat mengulanginya lagi,” katanya.
Sambil memberi kredit kepada Sabah FC sebagai pasukan lebih berkualiti dan pasukannya sendiri akan turun sebagai ‘underdog’, Fandi turut terkesan dengan penggantungan pemain serba bolehnya, Manuel Hidalgo, yang dilayangkan kad merah selepas semakan VAR mendapati dia memijak kaki pertahanan, Dominic Tan, pada minit ke-75 pertemuan di Kota Kinabalu.
Ia dianggap jurulatih berusia 62 tahun itu sesuatu yang malang, lebih-lebih lagi mana-mana pasukan boleh kehilangan pemain utama atas pelbagai sebab, termasuk penggantungan, kecederaan atau masalah kesihatan.
Skuad Tok Gajah memasang cita-cita besar untuk ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/25. — Facebook/Sri Pahang FC
“Untuk menggantikan Manuel sesuatu yang hampir mustahil kerana tiada dua pemain yang memiliki keupayaan dan kelebihan yang sama.
“Kami perlulah bersandar kepada sesiapa saja yang ada untuk mengisi kekosongan itu. Saya boleh mempertimbangkan Sean (Selvaraj), Baqiuddin (Shamsudin) atau beberapa pemain lain untuk disesuaikan dengan perancangan pasukan nanti,” tambahnya.
Tanpa mengira siapa pun yang bakal diturunkan, kepada Fandi, ia tetap akan menjadi pertemuan 11 pemain melawan 11 pemain, dengan perincian kecil pada hari perlawanan akan membeza-bezakan kedua-dua pasukan.
“Saya tahu apa yang diperlukan pasukan saya. Kami perlu benar-benar kompak dan solid. Lebih daripada itu, kami perlu menunjukkan keinginan dan kesungguhan lebih daripada biasa jika berazam untuk ke final,” tambahnya.
Hidalgo dilayangkan kad merah dalam pertembungan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2024/25. — Facebook/Sri Pahang FC
Ditanya sejauh mana pentingnya untuk Sri Pahang menempah tempat dalam final pada 26 April nanti, Fandi sekadar mengungkapkan: “Sangat penting buat pasukan untuk sekurang-kurangnya menebus kemerosotan kami dalam liga (Pahang kini di tangga ke-10 selepas 16 perlawanan).”
Juga tidak wujud kekeliruan dalam mindanya terhadap keutamaan pasukannya ketika ini di antara aksi Piala Malaysia dan Selangor FC yang akan jadi halangan berikutnya dalam liga pada 8 Februari.
“Apa yang datang dahulu, itulah keutamaan kami. Kami akan hadapinya satu persatu dan bimbangkan apa yang datang kemudian bila tiba masanya.
“Dalam waktu terdekat ini, Sabah FC yang jadi tumpuan kami. Saya doakan cuaca baik pada hari perlawanan agar kedua-dua pasukan dapat mempamerkan aksi terbaik,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram