![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/09/3148770.jpg)
ARTISAN merupakan individu yang memiliki kemahiran menghasilkan barang kemasan tradisional atau mudah kata handmade seperti rantai manik.
Kemahiran itu usah sesekali dipandang rendah kerana seni tersebut dipelajari dan dibentuk secara turun-temurun, malah nilainya amat tinggi berbanding aksesori yang dihasilkan menggunakan mesin.
Sungguhpun kini terdapat rantai manik yang diinovasi, namun perubahan moden itu tidak menghapuskan nilai estetika seni pembuatan tradisional.
BACA LAGI: [VIDEO] Keputusan VAR 'last minute' kecewakan fans, aksi JDT-MUFT dan Selangor-Penang turut terpalit
BACA LAGI: Keputusan ref di Stadium Bandaraya kecewakan Selangor raih 3 mata
Anak jati Sarawak, Lucille Awen Jon, berkata, perubahan penggunaan manik pada rantai yang dimodenkan menerusi penggunaan bahan kontemporari seperti kaca bingkai bertujuan memberikan kesesuaian kepada pemakai.
Beliau berkecimpung dalam bidang pembuatan rantai manik tradisional selama lebih 10 tahun, mempelajari pembuatan rantai manik Bidayuh yang diperturunkan daripada nenek dan ibunya sejak berusia enam tahun.
“Selepas kedatangan pedagang dari Eropah, Arab dan China pada 1400-an, perubahan berlaku sedikit demi sedikit.
”Kini manik pun dibuat menggunakan mesin, namun kebanyakan manik saya diperbuat daripada tanah liat Sarawak,” katanya yang memiliki platform penjualan rantai manik bernama Pungu Borneo.
Lucille memiliki kemahiran dan kepakaran membuat rantai manik lebih 10 tahun.
Lucille memaklumkan dengan kemahiran yang dipelajari beliau mampu menghasilkan seutas rantai manik Bidayuh dalam tempoh enam ke lapan jam.
“Bagi kategori permulaan, selalunya akan ambil masa dua hingga tiga hari untuk disiapkan, akan tetapi ia juga bergantung kepada kesukaran reka bentuk rantai tersebut,” jelasnya.
Platform penjualan rantai manik bernama Pungu Borneo.
Di sebalik pembuatan rantai Bidayuh, ada kisahnya tersendiri. Rantai ini pada asalnya dicipta dan hanya boleh dipakai oleh golongan pendeta atau dayang-dayang pendeta bersama baju tradisi.
Menjadi pantang larang besar jika ia dipakai oleh orang biasa kerana pemakaian tersebut bertujuan melaksanakan ritual bagi menyembuhkan orang sakit atau membuang roh jahat.
“Sehinggakan kanak-kanak pun tidak boleh menyentuh kerana rantai ini penuh dengan kerohanian dan ada semangat dalamnya,” jelasnya.
Rantai Bidayuh dahulunya hanya boleh dipakai golongan pendeta atau dayang-dayang pendeta bersama baju tradisi.
Bukan setakat itu, Lucille memberitahu, dalam kalangan golongan pendeta, rantai berkenaan juga tidak boleh dipakai sembarangan. Pemakai perlu mendapat petunjuk menerusi mimpi yang mengatakan seseorang itu sudah dilantik sebagai pendeta dan boleh memulakan ritual.
Sungguhpun begitu, individu yang mendapat mimpi dan terpilih itu perlu memulakan beberapa langkah atau proses sebelum menjadi pendeta sebenar.
“Mereka yang terpilih perlu berlatih untuk bersyair. Sehingga satu tahap sudah mahir, barulah boleh ikut ajaran ritual sebenar, itu pun sebagai pengikut bukan ketua ritual,” ujarnya.
Rantai manik Bidayuh ditawarkan bermula dari RM250 dan mampu mencecah lebih RM1,000 bergantung reka bentuk dan saiz.
Sementara itu, dalam arus pemodenan hari ini ini, Lucille turut berkongsi pendapat faktor seni warisan tradisi tersebut yang hampir pupus dan semakin dilupakan.
“Antara sebab mengapa ramai tinggalkan kepercayaan ini kerana unsur spiritual yang tinggi bertentangan dengan ajaran agama,” kongsinya.
Bicaranya lanjut, salah satu manik memiliki nilai dan mendapat pemintaan tinggi ialah manik buah dalai.
“Buah dalai yang digunakan untuk dijadikan manik lebih tulen kerana melalui proses tersendiri. Di Sarawak, terdapat komuniti tempatan menanam buah dalai untuk dijadikan sebagai sumber bahan mentah manik.
“Manik buah dalai lebih mahal, selain sumbernya asli, ia tidak merosakkan baju dan rantainya mampu bertahan hingga 10 tahun,” katanya lanjut.
Secara asasnya, manik diperbuat daripada sumber asli tanpa menggunakan sebarang campuran plastik lebih mahal dan tempoh masa pembuatan juga lama.
Ia berikutan bahan digunakan memerlukan ketelitian dan jika berlaku sebarang kecacatan atau kerosakan secara tidak langsung mempengaruhi kos kerugian.
Harga seutas rantai manik buah dalai bermula dari RM250 dan mampu mencecah lebih RM1,000 (bergantung kepada reka bentuk dan saiz). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram