![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/07/3156160.jpg)
KEDUDUKANNYA terletak di atas bukit dan dikelilingi kehijauan hutan kecil menjadi faktor dan kelebihan utama rumah kepada pasangan suami isteri membeli kediaman di Ampang, Selangor pada 2020.
Selain dikelilingi dengan khazanah alam semula jadi, panorama yang disajikan pada waktu malam bersama kerlipan cahaya pencakar langit membuatkan lokasi rumah tiga bilik tersebut amat begitu luar biasa.
Walaupun ‘mahligai’ yang dibeli pasangan Nadirah Ahmad Kamil, 34, dan suaminya, Hazwan Hairollah, 36, itu bukanlah kediaman baharu, namun mereka bersyukur kerana mampu memiliki rumah yang diidamkan selama ini.
BACA LAGI: Tiada istilah lelong lawan JDT, kami pun ada maruah — Badrul Afzan
BACA LAGI: Nostalgia Piala Malaysia musim 2014 gamit memori Fandi, Sri Pahang
Pada pandangan umumnya, kediaman pasangan tersebut pastinya akan membuat sesiapa sahaja terpegun bukan sahaja kerana pemandangan indah, tetapi tarikan dengan susun atur dekorasinya yang kemas dan nampak mahal.
Bukit dan kehijauan hutan faktor utama pasangan suami isteri itu membeli kediaman tersebut.
Saat kaki penulis melangkah masuk, tatapan mata bagaikan terpukau melihat kebijaksanaan pemilik kediaman memberikan sentuhan di setiap ruang dan sudut dengan menggabungkan konsep Japandi dan klasik.
“Sebenarnya konsep dekorasi kediaman ini cacamarba. Pada bahagian ruang tamu, saya terapkan konsep sentuhan Japandi, merujuk kepada gabungan hiasan dalaman ala Jepun.
“Konsep Japandi banyak bermain rona natural seperti putih dan coklat, selain konsep itu diinspirasikan dengan penggayaan susun atur perabot yang minimalis,” katanya.
Bicara ibu kepada tiga cahaya mata tersebut, sentuhan diberikan untuk ruang tamu adalah tidak terlalu sarat.
Mereka hanya menggunakan perabot asas seperti sofa, meja, kabinet buku dan meja makan, sekali gus menjimatkan penggunaan ruang.
Sebuah meja marmar yang diletakkan di tengah ruang dengan sentuhan ringkas.
Menjadi titik tumpu adalah sebuah meja marmar diletakkan di tengah ruang kediaman dengan sentuhan ringkas, namun masih kelihatan menarik. Tambahan pula, rona putih diterapkan menjadikan suasana kediaman begitu menenangkan.
“Kalau diperhatikan, hampir 90 peratus di dalam rumah ini menggunakan warna putih kerana sifatnya yang natural membuatkan rumah kelihatan lebih luas, selain sedap mata dipandang,” ujar Nadirah yang merupakan pengusaha barangan perabot, Kantan Kollektiv.
Konsep sederhana dan tidak sarat menghiasi panel dinding kediaman.
Sementara itu, untuk panel dinding Nadirah memilih konsep sederhana yang tidak sarat dengan pelbagai gantungan perhiasan, bagi mewujudkan suasana santai buat mereka seisi keluarga.
Beralih pada pintu gelangsar kaca yang berdiri gah di bahagian sisi rumah, dijelaskan olehnya bahawa ia antara penyebab beliau dan suami ‘jatuh cinta’ untuk membeli rumah tersebut.
“Kali pertama masuk ke dalam rumah, selain disajikan pemandangan indah saya turut terpegun dengan rekaan pintu gelangsar kaca yang besar dan luas.
“Ia memberikan sistem pencahayaan secara semula jadi, sekurang-kurangnya dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik pada waktu siang,” katanya.
Nadirah dan Hazwan, cenderung memilih permainan warna menerusi penggunaan kertas dinding agar bilik tidur tidak kelihatan kosong.
Biarpun menyedari bahawa pintu gelangsar kaca boleh menyebabkan kediaman terutamanya ruang tamu terasa bahang dek cahaya matahari, tetapi itu bukanlah masalah utama. Bagi mengatasinya, bidai boleh laras digunakan jika cuaca di luar terlalu terik.
Dalam pada itu, menjengah bilik utama, konsep ala Inggeris klasik menjadi pilihan terutamanya penggunaan perabot dan bahagian dinding.
Berbeza dengan sentuhan pada ruang tamu, bilik tidur banyak bermain dengan warna menerusi penggunaan kertas dinding agar ruang tidak kelihatan kosong dan membosankan.
Selain itu, penggunaan katil antik diperbuat daripada rotan pula menambahkan lagi cita rasa klasik kepada pemilik kediaman.
Sekadar berkongsi tip untuk menjadikan kediaman bersaiz sederhana kelihatan lebih luas, Nadirah menyarankan supaya tidak meletakkan dekorasi terlalu sarat sehingga menyebabkan ruang tampak sempit.
“Pencahayaan semula jadi juga penting supaya kediaman tidak malap, selain menggunakan pilihan rona lebih natural,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram