![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/07/3156327.jpg)
DEKORASI dan tata hias amat penting bagi menghidupkan suasana kediaman yang aman dan harmoni. Setiap individu pastinya mengimpikan ruang teratak tampak mewah dan selesa.
Antara komponen penting untuk memenuhi ciri tersebut sudah pastinya kemasan lantai dan dinding kerana kedua-dua item tersebut ibarat watak utama di setiap bahagian dalam rumah.
Ditubuhkan sejak 2019, Jubin Cantik antara lokasi tumpuan buat mereka yang mencari jubin atau mozek unik dan menarik.
BACA LAGI: Athina jadi inspirasi model 'plus size', kikis stereotaip wanita hanya cantik jika kurus
Muhammad Firdaus
Bukan sekadar jubin bercorak rata, keistimewaan Jubin Cantik juga menawarkan pelbagai jenis bahan serta corak yang sukar diperoleh para pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Muhammad Firdaus Muhammad Jalil, 40, berkata beliau mengesan kekurangan mendapatkan jubin bercorak tersebut ketika bekerja di Australia selama 12 tahun.
“Kalau ada pun pilihan sangat terhad dan sudah tentu harganya mahal.
"Justeru, saya masuk dalam landskap perniagaan ini untuk menawarkan kepada pelanggan aneka jenis dan reka bentuk jubin eksklusif pada harga berpatutan,” kata bekas jurutera pemeriksaan laut dalam ketika ditemui Majoriti.
Hak cipta
Pada masa sama, corak ditawarkan di Jubin Cantik adalah hasil pemerhatian Firdaus semasa di Australia yang mendapati kebanyakan desain untuk panel dinding dan lantai tiada dalam pasaran di negara ini.
“Bahan asas dan batu-batuan dari luar dibawa masuk dan dibentukan di kilang kami. Bahkan ada corak yang hak cipta saya beli (dari luar negara), kemudian dihasilkan sendiri bagi mendapatkan elemen eksklusif, selain mengimport bahan tersebut.
“Apabila mendapat maklum balas positif dan jumlah pelanggan semakin meningkat saya mengambil inisiatif membawa lebih banyak pilihan jubin,” ujarnya.
Jubin subway warna hijau limau kasturi sesuai dipasang di dalam kamar mandi.
Terdapat lima kategori utama jubin disediakan di Jubin Cantik antaranya jubin bercorak (RM5 sekeping), jubin subway (RM1-RM5 sekeping) dan jenis berbentuk dan mozek (RM9-RM5 sekeping) bergantung pada corak.
Kemudian, untuk bahan jubin premium ialah terrazzo (RM29 sekeping) dan marmar (RM40-RM50 sekeping) mengikut corak dan harga semasa.
Contoh batuan jenis marmar yang dipasang di dalam bilik air.
Batu gunung
Di samping permintaan bahan premium popular seperti marble (marmar), granit dan terazzo, Firdaus mendapati sesetengah pelanggan turut mencari alternatif lebih mesra bajet, namun cantik dan menawan.
Terang beliau, jubin jenis marble harganya tinggi kerana bahan atau kepingan tersebut asli dari batuan gunung.
“Berikutan itu, kami sentiasa jelaskan kepada pelanggan yang ingin mengulang pesanan corak marble bahawa warnanya sedikit berbeza kerana batu tersebut diambil dari gunung berlainan, tetapi masih bahan sama,” jelasnya.
Jubin eksklusif crazy paving & checkered hanya boleh didapati di Jubin Cantik.
Berbicara mengenai trend jubin pada 2025, Frdaus menjangkakan rekaan jubin lebih natural dan minimalis menjadi pilihan ramai.
“Berdasarkan data kami (Jubin Cantik), saya mendapati pelanggan lebih cenderung ke arah tekstur unik seperti permukaan timbul atau matte kerana memberikan dimensi kepada sesebuah ruang,” kongsinya.
Kemudian, rekaan lembut dan elemen organik yang mencerminkan semula jadi juga semakin popular termasuk warna-warna tanah. Tidak ketinggalan corak mikro seperti pola kecil yang halus dan corak gabungan.
“Di Jubin Cantik, kami membuka ruang kepada pelanggan memilih corak sedia ada di bilik pameran. Bagaimanapun, ada juga yang hadir dengan menunjukkan gambar rujukan Pinterest.
“Seterusnya, menawarkan konsultasi supaya pelanggan lebih memahami jenis yang sesuai ataupun tidak,” jelasnya.
Jubin corak melur memberikan seri yang lembut tatkala kaki melangkah ke dalam kediaman.
Beralih kepada pemilihan rekaan jubin di ruang kediaman dan komersial, pilihan adalah subjektif.
“Ada pelanggan misalnya, inginkan semua lantai dipasang kepingan jubin bercorak, tetapi lebih menarik jika kepingan bercorak itu digabung bersama jubin warna rata supaya nampak teratur dan lebih eksklusif," katanya.
Pun demikian, bagi projek komersial seperti hotel ataupun dewan jubin tahan lasak lebih dititikberatkan bagi menampung trafik yang tinggi, selain menggelakkan ia pecah dalam tempoh singkat.
Merujuk jenis rumah kini yang mempunyai elemen gabungan moden dan tradisional seperti bahan binaan kayu, kaca dan logam pelanggan perlu faham suasana diingini.
Gabungan jubin akan memberikan vibes berbeza sebagai contoh jubin bersama kayu menyuntik ruang lebih tenang dan natural manakala kaca pula kelihatan lebih luas dan moden. Sementara itu, logam untuk kesan mewah dan konsep industri.
Dalam pada itu, Firdaus menjangkakan tahun ini, golongan muda yang gaya hidup urban, profesional dan moden gemarkan rekaan segar dan amat mementingkan kualiti.
"Sebelum ini pengguna mementingkan estetika kini memadankan estetika yang cantik berserta fungsi. Fungsi dimaksudkan dari segi jubin atau lantai mudah bersihkan, tahan lama, senang dijaga dan tampak menawan,” terangnya.
Jubin Cantik memiliki tiga cawangan iaitu di Shah Alam dan Kajang di Selangor dan Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
Penghantaran ke seluruh Malaysia disediakan dan maklumat lanjut layari laman web Jubin Cantik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram