![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/06/3153341.jpg)
LAZIMNYA dunia permotoran dimonopoli kaum lelaki kerana sifat sukan itu sendiri lasak dan mencabar mental dan fizikal.
Namun, keberadaan golongan wanita kini tidak kurang hebatnya mencipta nama di persada dunia. Menjangkau usia 39 tahun, Leona Chin merupakan figura kian meningkat dan berjaya menempah nama dalam industri permotoran.
Beliau yang sudah menanam minat terhadap sukan permotoran sejak berumur 19 tahun mula jatuh cinta dengan dunia tersebut selepas bertemu drifter bernama Ser Ming Hui atau lebih dikenali sebagai Af fai.
“Ketika itu Af Fai meminta saya membantunya mengendalikan data dan gambar prestasi kereta serta memuat naik hantaran ke laman sesawangnya kerana dia tidak mahir menggunakan komputer. Sebagai balasan saya diajar teknik drift kereta dengan menyertai sebuah kelab santai untuk melakukan persembahan drift atas jalan.
“Bukan setakat itu, saya juga perlu mencuci keretanya dan belajar enjin bukan terus memandu kereta,” katanya.
Leona ketika kali pertama melibatkan diri dalam perlumbaan profesional.
Beberapa tahun kemudian setelah memahami dunia kereta, buat kali pertama Leona melibatkan diri dalam perlumbaan profesional pada kejohanan Red Rookies Cup.
“Pada masa sama, selepas itu saya terpilih untuk diserap sebagai pemandu wanita di Malaysia Merdeka Endurance (MME) pada 2008. Dari situ, penilaian kemahiran pemanduan saya dilakukan oleh golongan profesional,” jelasnya lanjut.
Perasaan gemuruh menjadi kebiasaan setiap kali perlumbaan hendak bermula.
Rasa gemuruh sentiasa menyelubung Leona setiap kali perlumbaan bermula dan perkara tersebut dikatakan sesuatu perkara normal.
“Tipulah kalau saya tidak gemuruh, sungguh pun boleh berkomunikasi di dalam helmet dengan pasukan pengurusan ketika memandu di trek, apabila berada di atas jalan semua terletak pada tangan di stereng.
“Kemahiran yang dipelajari tersemat kemas dalam fikiran, cara membelok, memintas dan sebagainya,” ujar Leona lanjut.
Aksi perlumbaan ketika di Macau GP 2024.
Setiap kali sebelum perlumbaan, wanita berbangsa Cina itu akan membentangkan peta trek untuk memahami, mengkaji dan menghafal setiap selekoh di trek. Ini bagi memudahkannya membuat perancangan semasa beraksi di litar lumba.
Pencapaian terbaik setakat ini, Leona pernah mengharumkan nama Malaysia meraih kemenangan dalam Piala BMW M235i Cabaran Litar China CCSC 2024.
Ia merupakan siri mendebarkan dengan cabaran kepanasan cuaca 40°C kepada keadaan trek berais dalam perlumbaan musim sejuk di Litar Antarabangsa Tianjin V1.
Kejayaan menaiki podium CCSC 2024 lambang kekuatan wanita dalam pelumbaan kereta profesional.
"Musim itu benar-benar menguji ketahanan dan fokus saya kerana memandu dalam dua keadaan cuaca berbeza (satu sesi seminggu). Saya berterima kasih kepada pasukan atas sokongan sepanjang masa dan penganjur China Circuit Sprint Challenge (CCSC) untuk siri menakjubkan.
“Perlu ingat, jalan kering dan jalan sejuk berbeza. Permukaan jalan tar tidak sama termasuk jenis tayar. Jadi cara hendak memandu pun ada tekniknya,” terang beliau.
Walaupun penajaan terhad menjadi cabaran buat pasukannya untuk mengembangkan karier, namun kejayaan diraihnya membuktikan keteguhan Leona mencapai kejayaan dalam dunia permotoran sebagai pemandu wanita profesional.
“Kini, dengan gelaran kejuaraan di tangan, saya meletakkan sasaran untuk pentas lebih besar iaitu Macau GP 2024. Acara ini menyaksikan sebuah perlumbaan terbuka dibarisi pelbagai pemandu hebat dan saya pemandu wanita tunggal berlumba bersama pelumba elit dari seluruh dunia,” ceritanya lanjut.
Selain itu, Leona berkongsi amalan pemakanan sebelum perlumbaan. Beliau menjaga berat badan sambil bersenam dan menikmati makan sup cendawan serta pati ayam.
“Sebagai pelumba, kesihatan dan fizikal badan amat penting kerana berat boleh mempengaruhi kestabilan diri ketika memandu. Jika di selekoh perlu sharp, tempat duduk kena stabil barulah boleh memberikan aksi terbaik,” kongsinya.
Menghafal dan memahami selekoh serta fokus menjadi kunci utama Leona ketika di litar lumba.
Bercakap mengenai pandangan skeptikal lelaki memandang rendah kebolehan wanita dalam dunia permotoran, Leona tidak terkecuali.
“Kadangkala di sebelah hentian pit saya mendengar kata-kata, ‘apalah perempuan ini sibuk nak jadi pelumba juga’, tapi saya anggap itu ego seorang lelaki.
“Ketika itu jurulatih pasukan sentiasa mengingatkan untuk tidak mengambil serius, ‘Leona, anda datang sini bukan untuk mendengar apa yang mereka kata, anda di sini untuk berlumba, menang dan kalahkan sesiapa sahaja di atas litar'.
"Dari situ saya meletakkan fokus untuk menang, menang dan menang dan ternyata bunyi-bunyi kecaman itu hilang selepas berjaya mencipta nama dalam beberapa kejohan,” terangnya.
Leona menjadikan simulator medium latihandi luar trek litar lumba.
Satu lagi perkara menarik dikongsikan, beliau menjadikan simulator medium latihannya. Bahkan menyarankan orang ramai yang bercita-cita menjadi pelumba profesional agar memulakan langkah dan bina kemahiran melalui peralatan tersebut.
“Dulu keberadaan teknologi simulator tidak banyak di Malaysia dan kos untuk latihan memandu tinggi.
“Kini dengan adanya simulator seperti RaceRoom Racing Simulators, Petaling Jaya, Selangor anda sudah boleh nampak dan rasa bagaimana menjadi pelumba. Saya sendiri menjadikan tempat tersebut sebagai latihan memandu jika tidak turun ke litar lumba.
“Nampak mudah ya, tapi cubalah sendiri sama ada senang atau tidak memandu di atas litar,” katanya sambil tersenyum.
Leona merangkul Anugerah MAM pada 2018.
Dalam beberapa tahun lagi, Leona memaklumkan bahawa merancang untuk melahirkan legasinya. Beliau menganggap zamannya kini sudah hampir ke waktu puncak dan ingin melihat lebih ramai wanita berkecimpung dalam dunia permotoran.
“Saya lihat zaman prime sudah hampir dan akan tamat beberapa tahun lagi setelah berjaya mencapai kejayaan dan menjadi ikon dalam dunia permotoran. Apabila tiba masanya, saya hendak berhenti berlumba dan menjadi jurulatih seterusnya melahirkan banyak lagi pemandu wanita dalam kalangan orang Malaysia,” tuturnya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram