![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/06/3154690.jpeg)
TIGA dekad berkecimpung dalam industri rock tanah air, Bandi Amuk kekal mewarnai muzik tempatan biarpun dibanjiri ramai pemuzik baharu.
Usianya yang menginjak ke usia senja tahun ini sama sekali tidak menjejaskan kekuatan dan lontaran vokalnya yang masih belum mampu dicabar mana-mana pesaing setakat ini.
Terkenal dengan imej bertopeng sejak kali pertama menjejak kaki dalam industri pada 1998, Bandi ataupun nama penuhnya Nashabandi Jumat, 61, banyak menghasilkan lagu bergenre rock yang malar segar sehingga ke hari ini.
Pun begitu, karya dihasilkan tidak hanya tertumpu kepada kisah percintaan malah, turut menyentuh emosi insan kurang bernasib baik di luar sana.
Lagu Aku Mahu Pulang misalnya antara karya yang cukup ikonik dan sinonim dengan individu di sebalik tirai besi.
Membawa maksud tersirat di sebalik kisah peribadi tahanan di penjara, bait liriknya dihasilkan khas buat individu yang pernah terpalit najis dadah yang menurutnya perlu diberikan peluang kedua.
"Lagu Aku Mahu Pulang ni asalnya memang dibuat dan dijadikan lagu tema untuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada 2007 dulu.
"Kami diundang untuk buat persembahan di penjara dan dari situ saya terlintas buat lirik dengan anggota kumpulan yang lain, sama-sama hasilkan lagu untuk mereka dalam tahanan.
"Memang tak nafikan lagu ni antara suara mereka yang dalam tahanan, mesej disampaikan supaya masyarakat perlu bagi mereka peluang kedua untuk kembali diterima, semua ada pernah buat silap tapi tak salah kita memaafkan," katanya kepada Majoriti.
Merupakan duta AADK satu ketika dahulu, setiap bait lirik lagu tersebut dicipta secara kebetulan yang kemudiannya menjadi fenomena di pusat pemulihan dadah.
Jelas Bandi, Aku Mahu Pulang dimainkan dalam setiap kempen AADK bukan sahaja di pusat tahanan, malah turut bergema di serata negara.
"Lagu tu kebetulan sebenarnya, liriknya kita bincang bersama dan jadi teladan buat pendengar.
"Lirik 'jarum suntikan menjadi pegangan, menjadi buruan' itu semua ada maksudnya yang memnggambarkan kesilapan mangsa terjebak najis dadah.
"Syukur sangat sampai ke hari ni masih ramai yang dengarkan lagu itu, lagu Amuk memang banyak nak seratus lebih saya rasa tapi Aku Mahu Pulang ni ada sentimental tersendiri," ujarnya.
Dalam pada itu, Bandi menerusi kumpulannya Amuk bakal berkongsi pentas bersama kugiran rock gergasi, Cromok pada konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk.
Dianjurkan oleh YNS Event Management, konsert itu akan berlangsung di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan pada 26 April depan yang pastinya bakal menyaksikan sejarah tercipta menerusi gandingan dua kumpulan ikonik tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram