Hilang selepas lagu Amalina 'meletup', Santesh kembali hasilkan lagu Melayu duet bersama Faizal Tahir dan UNIC


  • Hiburan
  • Khamis, 07 Nov 2024

Santesh Kumar mahu terus melebarkan sayap seninya dalam industri muzik tanah air menerusi lagu berbahasa Melayu.

PERNAH mencetuskan fenomena menerusi lagu Amalina pada 2018, penyanyi Santesh Kumar, 35, bakal kembali menggegar industri muzik tempatan menerusi beberapa karya berbahasa Melayu tidak lama lagi.

Jelas bapa kepada seorang anak perempuan itu, dia kini baru sahaja menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman Rusa Music dan sedang dalam pembikinan beberapa buah lagu baharu.

Akui karier seninya terhenti seketika selepas single Amalina, Santesh mahu terus melebarkan sayapnya menerusi lagu duet bersama beberapa penyanyi terkemuka negara.

BACA LAGI: [VIDEO] Nyanyian 'Bertahan Demi Cinta' Fazura dikritik, rakan artis beri nasihat

BACA LAGI: GV11 dikecam jatuhkan 'value' artis, ramai kritik Ning Baizura tak sesuai lagu zaman BBNU

Kadhal Kuttiye copy

Santesh terkenal dengan lagu nyanyiannya berjudul Amalina sekitar 2018.

"Saya baru sahaja ikat kontrak semula dengan Rusa Music, sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan mereka tapi ia terhenti sebab saya nak cuba berkarya dalam muzik bahasa Tamil.

"Selepas beberapa tahun menyepi, sekarang saya akan kembali menyanyi lagu Melayu dan beberapa lagu sudah siap direkodkan, cuma tunggu masa sesuai untuk dilancarkan di semua platform.

"Saya juga ada lagu duet bersama Faizal Tahir dalam album terbaharu dia, kumpulan nasyid UNIC pun ada dalam perancangan untuk buat lagu bersama, mereka nak buat konsep Bollywood," katanya kepada Majoriti.

Ketika ditanya berhubung kemunculan artis baharu Zubir Khan yang terkenal dengan lagunya, Yennode Macha, Santesh gembira kerana lagu Tamil semakin digemari masyarakat negara.

Tegas menolak dakwaan wujudnya persaingan antara mereka, Santesh sebelum ini pernah menghasilkan tiga buah lagu Tamil buat penyanyi BBNU itu.

"Saya kenal Zubir dah lama, sebelum dia terkenal dengan lagu Yennode Macha lagi saya ada buat lagu untuk dia, sebanyak tiga buah lagu bahasa Tamil saya pernah hasilkan dan sekarang dia dah jadi superstar, satu hari nanti saya akan berduet dengan dia semula.

"Cuma buat masa sekarang memang saya fokus untuk dapatkan semula kepercayaan pendengar-pendengar Melayu dan single saya selepas ini berjudul Bukan Temberang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

"Harap ia lebih hebat daripada Amalina yang sebelum ini dan saya akan terus berkarya dengan lebih konsisten, baru boleh fikir kejayaan yang lain," tambahnya.

Selain daripada karier nyanyian, Santesh turut memiliki sebuah studio muzik dan banyak menerima klien yang datang untuk menghasilkan lagu.

Terbuka untuk sebarang tempahan lagu, bekas peserta Big Stage itu banyak menghasilkan runut bunyi untuk syarikat perniagaan yang berhajat ingin mempromosikan produk mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram