KUMPULAN Ukays kembali meniti di bibir peminat susulan nyanyian semula beberapa lagu malar segar popular era 90-an satu ketika dahulu.
Lagu Pahit Akan Manis Akhirnya antara yang mencuri tumpuan ramai selepas gitarisnya, Amy, 53, atau nama lengkapnya Azmi Hassan mencipta versi moden bersama anggota baharu Ukays.
Masih mengekalkan identiti muzik dan imej serupa, 'selera muzik' Ukays di bawah pimpinan Amy meraih tontonan ramai di laman YouTube sejak beberapa minggu lalu.
BACA LAGI: Watak Zurina 'Aku Dia & Volkswagen' kisah benar 'crush' zaman sekolah, bayangan mirip pelakon Eja
Pun begitu, lagu nukilan komposer Saari Amri itu meninggalkan 1,001 tanda tanya peminat berkaitan kisah sebenar di sebalik karya tercipta pada 1995 tersebut.
"Wanita manakah
Sanggup berkongsikan kasih
Walau madu bagiku
Tapi hempedu bagimu"
Lirik tersebut kerap kali bermain di fikiran pendengar yang tertanya-tanya apakah yang cuba disampaikan Saari menerusi bait lirik tulisannya.
Tanpa diduga, Pahit Akan Manis Akhirnya membawa kisah isu poligami dihadapi komposernya, Saari yang satu ketika dahulu nyaris berkahwin dua ketika era kegemilangannya.
Perkara itu didedahkan sendiri Amy yang menganggap karya tersebut cukup ikonik dan sinonim dengan perjalanan hidup Saari.
"Lagu itu memang berdasarkan kisah benar Saari yang pernah nyaris berkahwin satu lagi, jadi lagu ini pasal isu poligami.
"Isterinya (Senorita Abdul Rahman) izinkan dia berkahwin lagi satu, rela hati nak hidup berpoligami dengan isteri kedua, tapi Saari tak jadi kahwin dua.
"Dia terkenang jasa dan pengorbanan isterinya yang sangat ikhlas, taat dan setia walaupun diuji, saat nak berkahwin dua pun masih setia dengan suami, jadi itu yang Saari tak sanggup nak kahwin satu lagi," katanya kepada Majoriti.
Amy (tengah) bersama anggota kumpulan Ukays di bawah pimpinannya.
Dalam pada itu, karya tersebut turut mengangkat nilai pengorbanan sang isteri yang sanggup bersusah senang di samping suami.
Tambahnya, Saari mula mendirikan rumah tangga bersama isterinya sebelum berkecimpung dalam industri dengan dia ketika itu masih buntu dalam pencarian arah tuju hidup.
"Mereka berkahwin sebelum jadi pemuzik, masa tu belum terkenal pun lagi siapa Saari Amri ni, jadi memang isteri dia setia, baik orangnya.
"Usia perkahwinan lebih kurang lima tahun macam tu apabila Saari menyatakan hasrat nak berkahwin lagi satu, tapi tak jadi, mungkin tiada jodoh walaupun (isteri) dah beri green light.
"Jadi lagu ini memang didedikasikan khas buat isterinya, sampai sekarang kalau baca lirik, mungkin boleh faham lagu tersebut pasal poligami sebenarnya," ujarnya.
Untuk info, selain Ukays yang dianggotai Amy, terdapat dua lagi kumpulan menggunakan nama sama dengan ejaan berbeza iaitu UK's dianggotai bekas vokalisnya, Amir.
Sebuah lagi kumpulan turut menggunakan nama Ukays 89 diwakili seorang lagi bekas penyanyinya, Achik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram