![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/06/3154419.png)
MENGUBAH haluan daripada dunia korporat ke pentas usahawan, kisah kejayaan Dahlia Nadirah Juhari, 39, bermula dengan satu langkah berani yang diambil.
Graduan dalam bidang Psikologi dan Komunikasi itu tidak pernah menyangka pengalamannya dalam pelbagai sektor pekerjaan akhirnya membawa beliau kepada impian lebih besar.
Sebaik menamatkan pengajian, antara pekerjaan awal pengasas SO.LEK Cosmetics adalah sebagai eksekutif komunikasi di sebuah syarikat perbankan.
Setelah beberapa tahun dalam sektor kewangan, usahawan itu mengambil keputusan untuk berehat seketika sebelum menyertai peruncit fesyen dan kecantikan dalam talian, Zalora.
Pengalaman Dahlia Nadirah dalam pelbagai sektor pekerjaan membawa beliau kepada impian lebih besar. — Instagram/dahliahnadirah
"Ketika menggalas tugas berkenaan, saya bekerja dengan rakan sekerja dari Jerman dan terlibat dalam pertemuan dengan ramai klien.
"Semua pengalaman ini banyak mengajar saya tentang (tingkah laku) manusia, pelanggan, perkhidmatan dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.
Ditakdirkan isteri kepada komposer dan penyanyi MonoloQue, Loque tersebut mengalami keguguran selepas beberapa tahun bekerja, membuatkan dirinya nekad untuk berehat dan melancong ke Amerika Syarikat (AS) selama dua bulan.
Menerokai kehidupan di negara itu, beliau mengakui tertarik dengan konsep kedai yang menjual produk jenama tempatan dengan harga mampu milik.
"Ketika itu Malaysia memang ada produk lokal namun harganya agak mahal dan belum ada platform e-dagang.
"Ini memberi inspirasi untuk membangunkan jenama kosmetik. Kami memulakan R&D (penyelidikan dan pembangunan) selama setahun sebelum melancarkan jenama sendiri pada Oktober 2016.
"Saya mempunyai bibir yang kering, jadi saya perlu mencari formula (krim bibir) yang tidak mengeringkan," ujarnya yang memulakan bisnes pada usia 31 tahun.
Tanpa bajet pemasaran yang besar, ibu kepada empat cahaya mata itu menggunakan rangkaian hubungan peribadinya dalam kalangan rakan-rakan selebriti dan wartawan untuk mempromosikan produknya.
Jelas beliau, keberkesanan strategi berkenaan membolehkan jenamanya mendapat perhatian dan berkembang pesat.
Dahlia Nadirah (belakang, kanan) mendirikan rumah tangga bersama Loque dan memiliki empat anak yang kini berusia 12, 8, 6 dan 3 tahun. — Instagram/dahliahnadirah
Fenomena krim bibir
Pada 2016, industri kosmetik Malaysia menyaksikan kemunculan fenomena baharu apabila krim bibir mula mendapat perhatian ramai, gara-gara kehadiran produk kosmetik daripada bintang realiti televisyen AS, Kylie Jenner.
Tambahnya, dalam tempoh setahun selepas pelancaran, industri kosmetik tempatan menyaksikan peningkatan mendadak dengan lebih daripada 100 jenama baharu memasuki pasaran.
Dahlia Nadirah dan pasukannya berusaha untuk membezakan produk mereka melalui kualiti formula dan pendekatan pemasaran yang menonjolkan budaya serta warisan tempatan.
"Ketika itu, masih ramai yang kurang jelas tentang krim bibir. Malah, ketika kami cuba mendaftarkan produk tersebut, kebanyakannya keliru dan menganggapnya sekadar lipstik biasa.
"Ketika melancarkan produk, hanya ada belasan jenama sahaja di pasaran. Namun, tidak sampai setahun, jumlahnya meningkat mendadak kepada lebih 100 jenama kosmetik yang bersaing," tuturnya.
Fenomena itu ujar beliau, membuktikan betapa pesatnya industri kecantikan tempatan.
Dahlia Nadirah menyedari bahawa satu-satunya cara untuk menonjolkan produk mereka adalah dengan memberi tumpuan kepada keunikan.
Wanita tersebut berhasrat memperkenalkan budaya dan warisan Malaysia ke dalam jenamanya. — Instagram/dahliahnadirah
Dalam merancang untuk membezakan produknya daripada jenama lain, beliau turut berhasrat memperkenalkan budaya dan warisan Malaysia ke dalam jenamanya.
"Sebelum mengasaskan SO.LEK, saya berbincang dengan ibu dan suami bagaimana ingin membezakan jenama dengan yang lain, terutama dengan menonjolkan unsur budaya dan warisan Malaysia.
"Salah satu aspek utama yang ditekankan adalah meningkatkan kesedaran terhadap budaya, adat resam dan tradisi Malaysia melalui produk.
"Kami buat perancangan dan pernah juga berjumpa dengan pegawai kerajaan bagi menawarkan idea untuk mengembangkan warisan, tetapi tak berkesudahan," ceritanya.
Enggan berputus asa, wanita itu berusaha menggabungkan elemen-elemen tradisional dalam produk kosmetiknya.
Salah satu langkah unik yang diambil adalah dengan mengintegrasikan unsur-unsur budaya Malaysia, seperti penggunaan istilah klasik dan tradisional dalam penamaan produk.
"Sebagai contoh, kita memperkenalkan terma ginchu (perkataan tradisional) dalam produk.
"Pada mulanya, ramai yang tidak faham maksud di sebalik nama klasik tersebut dan tidak kurang juga yang menentang, tapi saya tidak salahkan mereka.
"Selepas tiga hingga empat tahun, kita tengok orang ramai sudah mula kembali meminati tema klasik," kata beliau.
Pasangan suami isteri itu cenderung ke arah meningkatkan kesedaran terhadap budaya, adat resam dan tradisi Malaysia melalui produk yang dikeluarkan. — Instagram/gempikat
Buang stok
Jenama SO.LEK Cosmetics menghadapi ujian besar apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKK) dilaksanakan di Malaysia akibat pandemik Covid-19.
Dalam tempoh tersebut, perniagaan Dahlia Nadirah terjejas teruk apabila stok produk terkandas di gudang dan pengedaran melalui rantaian pembekal menjadi sukar.
Pada ketika itu, jenama tersebut berada di puncak kejayaannya dengan pengedaran di lebih 30 cawangan kedai rantaian penjagaan kesihatan dan kecantikan, selain perancangan untuk menambah lebih 100 cawangan lagi, pada 2019.
"Namun disebabkan PKP, stok yang dipesan dalam jumlah besar, termasuk stok untuk pasaran Eropah dan Timur Tengah, terperangkap tanpa dapat diagihkan.
"Apatah lagi, produk kosmetik juga mempunyai tarikh luput. Beberapa stok terpaksa dibuang kerana tidak dapat dijual dalam tempoh ditetapkan.
"Permintaan untuk produk kecantikan turun mendadak kerana kebanyakan orang tidak memakai kosmetik akibat penutupan kedai dan penggunaan pelitup muka," ujarnya.
Dahlia Nadirah (kanan) dan Loque menggayakan koleksi daripada Gempikat. — Instagram/dahliahnadirah
Gempikat
Berkongsi lanjut, Dahlia Nadirah berkata, mereka memutuskan mengambil langkah berani dengan melakukan jualan penghabisan stok untuk menamatkan segala stok sedia ada.
Beliau pada 2022 kemudian mencipta satu cabang perniagaan baharu, Gempikat sebagai alternatif menjana pendapatan.
Gempikat membawa satu fokus baharu dalam industri fesyen dengan produk-produk yang lebih santai dan tidak terlalu bergantung pada sektor kecantikan.
Keputusan itu dibuat setelah melihat pasaran kecantikan yang semakin sukar dengan persaingan sengit serta bagi memastikan perniagaan tetap bertahan.
Menyentuh tentang koleksi perayaan, ujar Dahlia Nadirah, koleksi raya pada tahun lalu meninggalkan impak besar, apabila semakin ramai pelanggan mula menyedari kewujudan jenama tersebut.
"Sambutan sangat mengejutkan sehingga laman web yang kami baru lancarkan mengalami lonjakan trafik luar biasa.
"Dalam masa hanya seminit selepas pelancaran, kami terima lebih 60,000 view, berbanding hanya ratusan view pada kebiasaannya," kongsinya.
Segala pengalaman diperoleh sepanjang karier daripada bidang korporat sehinggalah bergelar usahawan banyak membantu Dahlia Nadirah memperbaiki strategi jangka panjang dalam dunia perniagaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram