Pernah derita kerosakan saraf, berkurung dalam bilik, Madiha bangkit bina aplikasi sokongan wanita alami depresi


  • Bizz
  • Rabu, 05 Feb 2025

Madiha mengusahakan aplikasi PlusVibes sejak November 2020. — Instagram/maddyfd

SAAT menatap senyuman terukir pada raut manisnya, siapa sangka pemilik nama Madiha Fuad pernah menyimpan 1,001 kisah duka.

Mengusahakan aplikasi mudah alih berkaitan kesihatan mental, PlusVibes sejak November 2020, nama dan wajah usahawan jelita itu senantiasa berlegar di kaca televisyen, lantaran dirinya sering diundang mewakili negara untuk menghadiri pelbagai sesi dialog.

Mengimbau kembali perjalanan kariernya, Madihah bermula sebagai wartawan di sebuah akhbar mingguan di Malaysia yang tertumpu pada isu-isu kewangan dan pelaburan.

BACA LAGI: Tinggalkan dunia korporat di AS, Suri komited perkasa wanita dan industri fesyen sederhana di Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

Snapinst.app_469389243_18060622285869756_7577750015261438681_n_1080

Madiha memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem sokongan bagi mereka yang memerlukan bantuan segera. — Instagram/maddyfd

Tiga tahun pengalaman menulis tentang bisnes dan menemu bual pemilik-pemilik perniagaan menginspirasikan anak kedua daripada lima beradik itu menerokai bidang penuh risiko.

"Sebagai wartawan, saya banyak menulis tentang pelbagai industri seperti minyak dan gas, perbankan serta hartanah.

"Jadi dari situlah saya belajar bagaimana seorang CEO (ketua pegawai eksekutif) mengurus, menganalisis dan mengembangkan syarikat," katanya memulakan bicara kepada Majoriti.

Akui ahli perniagaan berusia 35 tahun itu, tindakan terjun ke dalam bidang perniagaan pada awalnya menerima tentangan daripada keluarga, yang bimbang akan kestabilan dan risiko perlu dihadapinya.

Nekad dengan keputusan tersebut, Madiha memulakan perniagaan sulung dengan membuka sebuah trak makanan pada 2015.

"Daripada trak makanan, kami mengembangkan sayap dengan membuka kafe sebelum beralih ke bidang reka bentuk dalaman, pembinaan rumah, fesyen dan analisa pelaburan," ujarnya.

Namun tanpa disedari, menguruskan pelbagai perniagaan di samping memberi fokus pada pengajian menjejaskan kesihatannya.

Ujar Madiha, ujian demi ujian menimpa pada 2019 mengakibatkan kerosakan pada saraf bahu sehingga beliau kehilangan fungsi tangan kanannya.

Usahawan kelahiran Kuala Lumpur itu kemudian menjalani rawatan dan terapi selama hampir setahun, termasuk untuk memulihkan semula semangatnya yang ketika itu lebih memilih untuk berkurung di dalam bilik.

2 (10)

Vibers hanya perlu menekan butang talk to someone di aplikasi dan mereka akan dihubungkan dengan ahli terapi bertauliah.

"Ketika itu saya mengalami serangan kebimbangan dan panik yang serius, sangat sukar untuk saya mencari sistem sokongan.

"Pengalaman ini membuka mata tentang pentingnya kesihatan mental. Kebanyakan masyarakat cenderung menyimpan perasaan disebabkan stigma atau malu. Namun, jika dipendam, masalah tidak akan selesai.

"Inilah yang mendorong saya menubuhkan PlusVibe, iaitu untuk menyediakan platform sokongan segera," jelas beliau.

Sebagai pengasas platform kesihatan mental yang kini mempunyai lebih 60,000 pengguna dan lebih 300 ahli terapi bertauliah, wanita mesra disapa Maddy itu memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem sokongan bagi mereka yang memerlukan bantuan segera.

Beliau percaya, kesihatan mental perlu diberi perhatian sama seperti kesihatan fizikal, manakala stigma terhadap individu yang mendapatkan bantuan perlu ditepis.

Tidak perlu khuatir, ujar anak kepada seorang diplomat itu, PlusVibes adalah platform anonim yang membolehkan pengguna berkongsi masalah secara selamat.

"Pengguna atau dipanggil Vibers hanya perlu menekan butang talk to someone di aplikasi dan mereka akan dihubungkan dengan ahli terapi bertauliah.

"Semua ahli terapi kami disahkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia dan Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP).

"Kebanyakan pengguna pada mulanya bimbang tentang kerahsiaan, namun kami memastikan semua perbualan adalah anonim dan dipadam secara kekal selepas sesi tamat.

"Ini adalah langkah pertama untuk mereka mengenali tahap keseriusan masalah dan mencari bantuan yang sesuai," kongsi beliau yang membesar di pelbagai negara seperti Tokyo, Jepun; London, United Kingdom, Paris, Perancis dan Saudi Arabia.

Snapinst.app_469346833_18060622351869756_3321717413844597739_n_1080

Tiga tahun pengalaman sebagai pengamal media menginspirasikan usahawan itu meneroka bidang perniagaan. — Instagram/maddyfd

Platform rentas sempadan

Madiha menambah, platform yang menyediakan sokongan kesihatan mental melalui terapi maya itu berkembang pesat sejak penubuhannya lima tahun lalu.

PlusVibes katanya, berjaya merentasi sempadan geografi dan menawarkan perkhidmatan yang meluas di seluruh Malaysia bukan sahaja Kuala Lumpur, malah Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

"Platform ini mempunyai pelbagai kerjasama dengan klinik kesihatan mental, persatuan dan pengamal kesihatan mental yang memudahkan pengguna untuk berhubung dengan terapi.

"Pengguna boleh memilih untuk berinteraksi dengan ahli terapi secara peribadi melalui chat atau melihat profil ahli terapi lengkap dengan sijil dan video, serta menempah sesi terapi maya melalui Google Meet," tuturnya.

Fleksibiliti

Jelas bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu lagi, pendekatan tersebut juga memberi fleksibiliti kepada mereka yang mungkin tidak selesa untuk keluar rumah atau berjumpa secara bersemuka dengan ahli terapi.

Oleh itu, terapi maya menjadi pilihan lebih selesa bagi segelintir pengguna, memberikan mereka ruang berkongsi masalah tanpa tekanan.

"Berdasarkan pengalaman sendiri ketika mengalami depresi dan kegelisahan, saya lebih suka tidak keluar rumah.

"Apabila sudah selesa, baru saya akan buka telefon dan berkomunikasi dengan orang luar," jelasnya.

Snapinst.app_329672688_223058820122182_7612211629125057394_n_1080

Madiha teruja dapat mengembangkan PlusVibes ke luar negara. — Instagram/maddyfd

Justeru, tambah Madiha, terapi maya menjadi pilihan lebih selesa bagi sesetengah orang, memberikan mereka ruang untuk berkongsi masalah tanpa tekanan.

Selain konsep maya, PlusVibes turut menjalin kerjasama dengan hospital seperti IMU Healthcare bagi menawarkan pilihan terapi fizikal kepada pengguna yang lebih selesa bercerita secara bersemuka.

Maddy turut menekankan bahawa kesihatan mental bukan hanya berkaitan dengan penyakit mental yang ekstrem.

Sebaliknya, mungkin ramai tidak sedar mereka juga sebenarnya pernah melalui tekanan mental.

"Pernahkah anda stres, penat, letih atau berdepan dengan masalah hidup? Semua ini mempengaruhi kesihatan mental kita.

"Oleh itu, penting untuk memahami bahawa kesihatan mental melibatkan pengurusan tekanan harian dan bukan hanya penyakit mental yang kritikal.

"Kami membantu pengguna berkongsi dan menerima sokongan. Kadang-kadang, hanya dengan berbual dengan seseorang, kita dapat motivasi baharu yang membantu kita melalui hari-hari yang sukar," tambahnya.

Tahun 2025 mencatat sejarah baharu buat PlusVibes apabila syarikat itu bakal kerjasama dengan sebuah klinik kesihatan mental di Jepun.

Perkembangan itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan PlusVibes dalam industri kesihatan mental, tetapi juga membuka peluang luas untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Madiha mengakui bahawa pengembangan ke luar negara sebelum ini hanyalah satu impian yang kelihatan jauh untuk direalisasikan.

"Salah satu impian saya adalah untuk mengembangkan perniagaan ini ke luar negara, dan Alhamdulillah, tahun ini kami akan berkembang ke Jepun," kata beliau penuh semangat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram