![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/01/29/3142706.jpg)
MELIHAT kecekapannya di dapur, sesiapa sahaja boleh mengagak wanita ini sememangnya sudah biasa dikelilingi periuk dan belanga,
Pergerakan yang cekap dan tersusun, beliau melunaskan tugas memasak dengan cukup sempurna, sekali gus membuktikan kemahiran itu bukan 'dikuasai' dalam tempoh masa singkat.
Itu antara bakat dimiliki Merlissa Zainal Osman yang merupakan individu bertanggungjawab membawa nama Aunty Aini's ke ibu kota.
Dalam dunia kulinari Melayu, nama Aunty Aini bukanlah asing.
Keunikan masakan kampungnya berjaya menarik ramai pencinta makanan, termasuk tokoh kulinari terkenal seperti mendiang Anthony Bourdain dan Gordon Ramsay, yang sanggup merantau ke Aunty Aini's Garden Cafe di Nilai, Negeri Sembilan semata-mata untuk menikmati air tangan Aunty Aini..
Kini legasi itu diteruskan oleh anak sulungnya, Merlissa. Selepas lebih dua dekad memikat selera masyarakat di Nilai, restoran itu menjengah pula ke Kuala Lumpur dengan konsep pop-up pada 2 Oktober tahun lalu.
Merlissa menyediakan sendiri beberapa hidangan di Aunty Aini's Pop Up.
Beroperasi di dalam DC Mall premis ini dibuka setiap hari dengan menyajikan variasi sajian tradisional seperti daging salai, rendang itik salai dan masak lemak tempoyak ikan jenahak.
Kongsi Merlissa, 47, perjalanan membawa jenama Aunty Aini ke Kuala Lumpur bukanlah dilakukan secara tergesa-gesa.
“Kami sudah lama mahu membawa jenama ini ke sini (Kuala Lumpur), tetapi kami ingin melakukannya secara berperingkat untuk melihat sambutan masyarakat.
"Sebab itu kami pilih untuk perkenalkan konsep pop-up terlebih dahulu,” kongsinya kepada Majoriti.
Merlissa (kanan) memikul tanggungjawab meneruskan legasi masakan tradisi ibunya yang popular dengan gelaran Aunty Aini. — Instagram/merlissazainalosman
Kata anak sulung daripada lima beradik ini, beliau mengambil masa agak lama sebelum mendapat persetujuan dan kepercayaan ibunya untuk melancarkan kedai tersebut.
Selepas beberapa bulan melalui proses perbincangan, Aunty Aini's Pop Up akhirnya berjaya direalisasikan, malah sambutan yang diterima juga begitu menggalakkan.
Menariknya, hampir semua makanan di premis berkenaan dibawa terus dari restoran asal bagi mengekalkan rasa autentik.
“Hanya beberapa menu seperti asam pedas daging tetel dan masak lemak dimasak di sini, tetapi selebihnya semua asli dari Aunty Aini’s Garden Cafe.
"Antara hidangan paling popular ialah daging salai masak lemak tempoyak dan rendang itik salai yang menjadi kegemaran ramai.
"Selain itu, menu baharu seperti telur dadar ikan masin jeruk, hasil resipi saya sendiri turut diperkenalkan untuk menambah variasi pilihan pelanggan," cerita ahli perniagaan bertubuh langsing itu.
Asam pedas (kiri) dan daging salai masak lemak antara menu hangat di Aunty Aini's Pop Up. — Instagram/merlissazainalosman
Model antarabangsa
Jika dunia kulinari menyaksikan nama Aunty Aini sebagai antara legenda dalam masakan tradisional Melayu, nama Merlissa pula bersinar gah di pentas peragaan antarabangsa.
Memiliki wajah fotogenik, tidak hairanlah karier penuh glamornya bermula ketika baru berusia 16 tahun.
Mengimbau masa lalu, cerita Merlissa, beliau dilamar ketika berjalan-jalan di kompleks beli-belah, untuk menyertai Elite Look of The Year Malaysia pada 1994, yang menyaksikan dirinya meraih gelaran juara.
Kejayaan tidak terhenti di situ, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini kemudian membawa nama Malaysia ke arena antarabangsa, sehinggalah memutuskan untuk berkelana ke luar negara mengejar 'cinta' baharunya.
Menghabiskan masa 15 tahun di Hong Kong, Merlissa mengakui cabaran terbesar di perantauan adalah ketiadaan makanan Melayu.
Situasi itu bagaimanapun membuka ruang untuknya mempelajari sendiri seni kulinari warisan.
“Di sana tiada makanan Melayu, jadi saya perlu belajar sendiri. Makanan Barat senang saja, tapi hidangan Melayu lebih mencabar.
"Namun, minat memasak sebenarnya sudah bermula sejak kecil. Pada usia 12 tahun, saya sudah belajar memasak asam pedas dengan nenek sebelah ibu.
"Saya juga banyak belajar daripada nenek dan dia mahu semua cucu pandai memasak,” tambahnya yang meminati masakan asam pedas.
Wanita kelahiran Kuala Lumpur ini pernah membanggakan nama Malaysia ke arena peragaan antarabangsa. — Instagram/merlissazainalosman
Legasi
Sekembalinya Merlissa ke Malaysia sejak dua tahun lalu, figura berketinggian 170 sentimeter itu kemudian memikul tanggungjawab meneruskan legasi Aunty Aini.
Bukan tugas mudah, akui Merlissa, namun baginya, tanggungjawab besar itu menjadi ringan berkat sokongan pasukan yang hebat di sekeliling beliau.
“Saya ada pasukan yang kuat dan kami bekerja bersama-sama. Semua pekerjaan dijalankan secara kolektif, tanpa mengira peranan,” katanya.
Meneruskan legasi ibu bukan sekadar soal perniagaan, tetapi juga amanah untuk menjaga nama baik yang telah dibina.
Aunty Aini (kanan) bergambar di restorannya terletak di Nilai.
Enggan mengecewakan kepercayaan susuk seorang ibu, model ini memberitahu, beliau perlu sentiasa memastikan nama Aunty Aini dijaga dengan baik.
"Beban itu pasti ada tetapi saya tak mahu mengecewakan ibu dan paling penting, mahu beliau bangga dengan saya.
"Warisan dan tradisi memainkan peranan besar dalam memastikan restoran ini terus relevan. Kami tidak boleh melupakan asas yang dibina," ujarnya lagi.
Merlissa terkenal dengan wajahnya yang fotogenik. — Instagram/merlissazainalosman
Rasa istimewa
Apa yang menjadikan restoran ini istimewa?
Akui Merlissa, jawapannya terletak pada makanan dan rasa yang tidak berubah sejak dulu.
“Dari kecil sampai sekarang rasanya tetap sama. Cara kami memasak, memanggang dan menyalai makanan di belakang dapur, itulah warisan yang dijaga.
"Dari situ pelanggan tahu, kualiti bahan, usaha dan cinta yang dicurahkan dalam setiap hidangan.
"Persis ibu yang memasak untuk anak-anaknya, begitu jugalah kami menyediakan makanan di restoran ini,” jelasnya yang menganggap dunia masakan begitu dekat di hati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram