[VIDEO] Pejabat pernah terbakar, dibelenggu hutang, pengasas Wardah kini antara wanita berpengaruh di Indonesia, tak suka tayang kemewahan


  • Relaks
  • Rabu, 05 Feb 2025

Pada Jun 2022, Nurhayati dinobatkan sebagai salah seorang daripada 20 Wanita Paling Berpengaruh oleh Fortune Indonesia. — Agensi

NAMA Nurhayati Subakat bukanlah asing dalam industri kosmetik di Indonesia.

Beliau merupakan Pengasas dan Presiden Paragon Technology and Innovation, syarikat menguruskan beberapa jenama kosmetik terkenal seperti Wardah, Make Over dan Emina.

Selain kejayaan dalam perniagaan, wanita berusia 75 tahun itu juga dikenali sebagai usahawan yang mengambil berat terhadap kebajikan pekerjanya.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Beliau menyediakan pelbagai insentif termasuk program umrah percuma dan hadiah menarik bagi menghargai sumbangan mereka.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga Minang di Bungo Tanjung, Tanah Datar, Sumatera Barat, Indonesia, Nurhayati merupakan anak keempat daripada lapan beradik.

Wanita dilahirkan pada 7 Julai 1950 itu pernah gagal dalam usaha menjadi pensyarah sebelum kemudian bekerja di sebuah farmasi di Tasikmalaya, Jawa Barat.

Kebakaran

Nurhayati yang merupakan graduan dalam bidang Farmasi daripada Institut Teknologi Bandung, kemudian berkhidmat sebagai ahli farmasi di sebuah hospital di Bandung.

Namun, pekerjaan itu tidak bertahan lama disebabkan beliau perlu berpindah ke Jakarta selepas berkahwin dengan suaminya.

Usai berhijrah ke Jakarta, Nurhayati diterima bekerja di sebuah syarikat kosmetik multinasional sebagai ahli farmasi.

Walaupun menerima gaji lumayan, beliau akhirnya memilih untuk berhenti bekerja selepas melahirkan anak.

Pada 1985, Nurhayati memberanikan diri memulakan perniagaan kosmetik dengan menubuhkan syarikat Pustaka Tradisi Ibu.

2

Wanita berusia 75 tahun itu juga dikenali sebagai usahawan yang mengambil berat terhadap kebajikan pekerja. — Agensi

Berbekalkan pengalaman dalam industri kosmetik dan latar belakang akademiknya dalam bidang farmasi, beliau melancarkan produk penjagaan rambut pertama diberi nama Putri.

Putri merupakan produk penjagaan rambut khusus untuk salun profesional. Produk itu mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pengguna.

Malang buat wanita itu apabila pada 1990, kilang dan pejabat Pustaka Tradisi Ibu mengalami kebakaran, mengakibatkan syarikat tersebut dibelenggu hutang.

Walaupun menghadapi kesulitan, Nurhayati tidak berputus asa dan memohon pinjaman daripada bank untuk meneruskan perniagaannya.

Sehinggalah pada 1995, jenama Wardah dilahirkan sebagai perintis kosmetik halal di Indonesia.

Meskipun terkesan krisis kewangan pada 1998, perniagaan Nurhayati terus berkembang. Menjelang 2010, beliau melancarkan jenama Make Over.

3

Nurhayati (kanan) turut mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa. — Agensi

Pusaka Tradisi Ibu bertukar nama kepada Paragon Technology and Innovation (Paragon) pada 2011 dan memperkenalkan produk Emina kira-kira tiga tahun kemudian.

Syarikat tersebut berkembang pesat dan kini menguasai hampir 30 peratus pasaran kosmetik nasional menjadikannya salah satu syarikat kosmetik terbesar di Indonesia.

Paragon menaungi beberapa jenama kosmetik terkenal seperti Putri, Wardah, Make Over, Emina, Kahf, Labore, Biodef, Instaperfect dan Crystallure.

Wardah menjadi penyumbang utama kepada pendapatan syarikat, menyumbang hingga 70 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Paragon pada 2020 mencatatkan tenaga kerja kira-kira 12,000 orang di seluruh Indonesia dan Malaysia, mencerminkan pertumbuhan pesat syarikat dalam industri berkenaan.

Snapinst.app_464154253_18307614694164884_6915079008795110033_n_1080

Wardah menjadi penyumbang utama kepada pendapatan syarikat.

Wanita berpengaruh

Nurhayati bukan sahaja berjaya dalam perniagaan, tetapi juga mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pada Jun 2022, beliau dinobatkan sebagai salah seorang daripada 20 Wanita Paling Berpengaruh oleh Fortune Indonesia.

Penghormatan tersebut meletakkan beliau sebaris dengan tokoh terkenal lain seperti Presiden kelima Indonesia, Megawati Soekarnoputri; Menteri Kewangan, Sri Mulyani dan Ketua Pengarah Pertamina, Nicke Widyawati.

Forbes menganggarkan nilai kekayaannya mencecah AS$1.5 bilion bersamaan RM6.6 bilion.

Namun, di sebalik kejayaan besar itu, Nurhayati tetap dikenali figura yang merendah diri dan tidak suka bermegah dengan kekayaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram