![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/05/3152127.png)
DIKENALI dengan rekaan artistik ditambah elemen lucu bersahaja, terjemahan hasil seni Izzati Suza tidak pernah gagal menjentik minat khususnya dalam kalangan peminat seni.
Sepanjang kariernya, pelukis berasal dari Melaka itu sudah bekerjasama dengan beberapa jenama terkenal, termasuk kolaborasi bersama jenama Nike bagi kempen Nike By You pada 2022.
Percaturan itu nyata membawa tuah buat pelukis berusia 30 tahun tersebut selepas kemeja-T yang mencerminkan budaya tempatan, turut meraih perhatian selebriti popular Korea Selatan, Sandara Park.
Ikon K-pop yang juga ahli anggota grup 2NE1 itu mengejutkan peminat apabila tiba di Kuala Lumpur baru-baru ini dengan mengenakan baju T berkenaan, yang dipesannya secara khas daripada Nike.
Baju tersebut memaparkan lukisan tiga makanan ikonik Malaysia iaitu nasi lemak, teh tarik dan teh gaya 'ikat tepi', DENGAN semuanya dengan sentuhan jenama Nike.
Sejak kemunculan Sandara dengan baju tersebut, peminat K-pop tempatan, khususnya peminat tegar 2NE1 yang juga digelar BLACKJACKs, berpusu-pusu ke butik Nike di Pavilion Kuala Lumpur untuk mendapatkan edisi sama, yang kini dikenali sebagai 'Nike Lemak'.
Sandara mengenakan baju keluaran Nike dengan hasil rekaan Izzati Suza. — Instagram/izzatisuza
Izzati Suza, yang turut mengunjungi butik tersebut untuk mendapatkan baju rekaannya sendiri, meluahkan rasa tidak percaya terhadap sokongan luar biasa yang diterima.
Sokongan terhadap karya Izzati Suza tidak terhenti di situ. Di media sosial miliknya juga, beliau berkongsi keterujaan apabila mengetahui bahawa Sandara memilih rekaannya untuk dipakai secara eksklusif.
Pelukis itu juga dihujani ucapan tahniah atas pencapaian tersebut selain turut berjanji akan terus menyokong hasil karyanya.
Izzati Suza dikenali dengan lukisan watak-watak bibir tebal dan karya parodi yang mencerminkan budaya tempatan. — Instagram/izzatisuza
Untuk rekod, Izzati Suza ialah seorang artis sepenuh masa yang terkenal dengan karya seni yang unik dan humor tempatan.
Beliau dikenali melalui watak-watak bibir tebal dan karya parodi yang mencerminkan budaya tempatan.
Sejak 2017, wanita tersebut menghasilkan pelbagai karya seni dan barangan edisi terhad yang dijual melalui platform rasminya, Kedai Suza. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram