![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/04/3150712.png)
SELEPAS hampir sedekad merancang, sekumpulan pengembara wanita dari Malaysia berjaya menawan Annapurna Base Camp (ABC), Nepal dalam satu ekspedisi penuh cabaran.
Bicara salah seorang pendaki, Julie Nasuha Jailani, 34, idea untuk mendaki ke ABC bersama rakan-rakan wanita lain sudah dirancang sejak 2016. Bagaimanpun, kekangan masa dek tugasan hakiki menyebabkan hasrat itu hanya tercapai pada penghujung tahun lalu.
Penganalisis dan Perancang Komersial Kanan dalam industri minyak dan gas itu juga sempat berkongsi pengalaman dan persiapan dilakukan sebelum memulakan ekspedisi berketinggian 4,130 meter tersebut.
BACA LAGI: Demi menawan Gunung Kinabalu, pendaki ini sanggup turunkan berat sebanyak 60Kg
BACA LAGI: Retak tulang belakang tak halang anak jati Johor tawan puncak ABC, sedang buat persiapan menuju EBC
Para pendaki mengikut laluan ditetapkan sepanjang pendakian ke ABC.
"Kami semua bekerja dalam bidang profesional dan jadual kerja sibuk. Jadi kami mahu sesuatu yang mencabar, tetapi berbaloi.
"Latihan intensif seperti turun dan naik tangga, mendaki Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor dan latihan ketahanan kaki di gimnasium menjadi asas penting sebelum ekspedisi," katanya.
Menyedari risiko perjalanan, mereka memilih ejen pelancongan tempatan, Ohana Adventure Sport dari Malaysia bagi menguruskan jadual perjalanan, tempahan dan logistik.
Kongsi beliau lagi, mereka semua disarankan membawa barang keperluan asas sahaja.
"Kena pack light! Mahu mengemas pelbagai pakaian berbeza untuk bergambar, tetapi apa boleh buat, faktor praktikal terpaksa diutamakan.
"Sepanjang pendakian, kami mengikut laluan yang dirancang dan menginap di rumah rehat ditetapkan.
"Berada dalam kumpulan yang lebih besar membuatkan diri rasa selamat, apatah lagi kami saling menjaga antara satu sama lain," ujarnya.
Kunci untuk sampai ke base camp adalah dengan mendaki secara perlahan dan kekal terhidrat.
Peralatan penting
Berkongsi lebih lanjut, akui Julie Nasuha, pemilihan peralatan yang sesuai menjadi faktor utama kejayaan pendakian.
Wanita itu menekankan, kasut mendaki berkualiti sangat penting dan perlu dipakai terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan keselesaan dan elak kecederaan.
Selain itu, pendaki juga disarankan membawa pakaian berlapis bagi menyesuaikan diri dengan perubahan suhu ekstrem.
“Peralatan lain tidak kurang pentingnya termasuk tongkat pendakian yang sangat membantu terutamanya ketika menuruni base camp.
"Bagi memastikan tenaga sentiasa mencukupi sepanjang pendakian, pendaki perlu bawa beg galas berisi snek," ujarnya.
Kasut mendaki berkualiti sangat penting bagi melancarkan proses pendakian.
Tekanan Altitud
Salah satu cabaran terbesar adalah penyesuaian terhadap ketinggian. Untuk itu, Julie Nasuha dan rakan-rakannya mengambil pil Acute Mountain Sickness (AMS) sebagai langkah berjaga-jaga.
Pil tersebut katanya, amat membantu lebih-lebih lagi ketika mendaki ke altitud lebih tinggi.
“Kuncinya adalah dengan mendaki secara perlahan dan kekal terhidrat. Mendengar isyarat tubuh juga adalah kunci.
"Jika ada antara kami yang berasa kurang sihat, kami berehat dan tidak memaksa diri," tuturnya.
Selain ekspedisi, interaksi bersama penduduk tempatan di Nepal juga menjadi antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan kumpulan pendaki wanita itu.
“Mereka sangat baik mesra. Saya bernasib baik kerana mempunyai pemandu arah dan porter tempatan yang peramah dan menyeronokkan.
"Setelah menghabiskan enam hari bersama sebagai satu kumpulan besar, sedih apabila perjalanan berakhir,” ujarnya yang menikmati sajian tempatan seperti seperti dal bhat (nasi dengan dal).
Julie Nasuha (kiri) merakam foto kenangan bersama rakan-rakannya.
Bajet dan keperluan perjalanan
Ekspedisi tersebut memerlukan perbelanjaan sekitar RM3,500 hingga RM4,000 seorang, merangkumi penerbangan, permit, makanan, penginapan serta upah pemandu dan porter.
Cerita Julie Nasuha, mereka juga perlu mendapatkan permit khas seperti Trekkers’ Information Management System (TIMS) dan Annapurna Conservation Area Permit (ACAP) dengan kos sekitar RM100.
"Semakin tinggi altitud, semakin mahal harga penginapan, terutamanya untuk air panas," katanya yang turut membawa bekalan sambal dari Malaysia sebagai pelengkap hidangan.
Tambahnya, "Jangan tergesa-gesa mendaki. Nikmati pemandangan yang luar biasa dan ambil gambar sebanyak mungkin kerana anda pasti akan merinduinya apabila pulang nanti."
Dalam pada itu, Julie Nasuha juga berkongsi tiga tip utama buat wanita yang ingin mendaki ABC.
Tip
1) Latihan mencukupi – Jangan memandang rendah trek kerana ia panjang dan mencabar.
2) Kemas barang dengan bijak – Fokus pada keperluan utama sahaja dan jangan lupa power bank!
3) Gunakan ejen pelancongan dipercayai – Pengurusan perjalanan yang teratur memastikan ekspedisi lebih lancar dan selamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram