PELAKON berkaliber, Nabila Huda melangkah ke fasa baharu dengan membeli sebuah rumah lama di ibu kota yang diubah suai mengikut konsep retro.
Akui pemilik nama lengkap Nabila Huda Suhaimi itu, memiliki kediaman di atas tanah bukan sahaja impian, bahkan mencerminkan keperibadiannya penuh karakter.
Ujarnya, keputusan tersebut juga dibuat setelah berasakan kehidupan di kondominium sudah tidak lagi sesuai, apatah lagi anak tunggalnya, Keisha meningkat remaja.
"Saya dah terlalu lama tinggal di kondominium dan saya pun dah penat nak angkat baju turun bawah.
"I had enough with condo life. Selepas lebih 10 tahun duduk kondominium, saya terbuka hati nak menetap di rumah atas tanah. Saya sendiri memang suka rumah lama," katanya kepada Majoriti.
Nabila merasakan kehidupan di kondominium sudah tidak lagi sesuai buat mereka sekeluarga. — Instagram/kupu_kupu
Menjengah usia 41 tahun, anak sulung kepada penyanyi rock legenda, Datuk Amy (Search) itu mendambakan suasana luas dan selesa, terutama di bahagian dapur lebih lapang untuk aktiviti memasak dan berkongsi kandungan di media sosial.
Memilih retro sebagai tema, Nabila enggan melakukan perubahan besar pada struktur rumah lama tersebut, sebaliknya lebih kepada proses pembaikan dan penyegaran semula.
Berkongsi tentang proses pengubahsuaian, ujarnya, beliau mendapatkan bantuan kenalan yang juga pereka hiasan membantunya merealisasikan konsep idaman.
Disebabkan jadual kerja padat, Nabila menaruh kepercayaan penuh kepada rakan itu buat merealisasikan konsep ideal dengan keperibadiannya.
“Saya sangat sibuk dengan penggambaran ketika proses dekorasi rumah ini, jadi saya percayakan Farina (rakan) untuk mencipta rekaan sesuai dengan personaliti.
"Rumah ini sama seperti saya, mempunyai pelbagai personaliti dan sinergi berbeza di setiap ruang.
"Kediaman ini masih mengekalkan banyak elemen asal. Saya suka look rumah dan tak buang pun apa-apa yang ada di luar, cuma baik pulih sahaja," tuturnya yang dijangka berpindah ke rumah berkenaan pada Februari ini.
Nabila menginginkan kediaman yang mempunyai pelbagai personaliti dan sinergi berbeza di setiap ruang. — Instagram/kupu_kupu
Tambahnya lagi, proses renovasi kediaman dua tingkat yang memakan masa kira-kira dua bulan setengah itu juga melibatkan pelbagai kolaboratif bersama jenama dan pereka dalaman.
Katanya, ia termasuk jenama perabot dan kelengkapan rumah seperti Sorrento yang turut serta dalam projek berkenaan.
"Pada awalnya saya agak kelam kabut dan tidak pasti apa yang perlu dilakukan.
"Mereka ini datang dengan pelbagai idea yang sangat membantu, termasuk mengenai pilihan lampu, warna dinding dan elemen lain dalam rumah," bicaranya yang turut berkongsi tentang perkembangan rumah baharunya menerusi laman Instagram kupu-kupu.
Elemen kayu diterapkan pada panel dinding untuk mengekalkan kesan klasik. — Instagram/kupu_kupu
Pemilihan warna dan perabot
Menghasilkan rumah berkonsepkan retro, akui Nabila, pemilihan warna dan perabot memainkan peranan begitu penting.
Kongsinya, salah satu cabaran utama dalam mengubah ruang kepada konsep retro adalah kemahiran mengolah elemen warna dan pemilihan perabot.
Apatah lagi, warna memainkan peranan penting dalam mencipta suasana yang tepat.
"Keunikan dalam renovasi rumah ini terletak pada pilihan warna dinding yang mencuri perhatian.
"Untuk dinding, saya memilih feature wall berwarna oren gelap manakala dinding belakang pula merah jambu.
"Selain itu, saya juga guna lantai terracotta dan tambah elemen kayu pada satu kawasan dinding untuk mengekalkan kesan klasik," jelasnya yang menggunakan perabot sedia ada buat sementara waktu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram