Lima filem fenomena diberi 'roh' baharu untuk menggamit nostalgia


  • Hiburan
  • Ahad, 27 Nov 2022

Filem lama yang pernah mencetus fenomena diberi nafas baharu dengan penampilan pelakon berbeza.

KEJAYAAN filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mampu mendapat kutipan sehingga angka RM100 juta memberi perspektif baharu terhadap industri seni tempatan.

Jika dahulu kutipan sebegitu dirasakan mustahil untuk diperoleh terutamanya karya anak Melayu yang tentu sahaja pesaing dengan lambakan 'naskhah' luar negara terutama Amerika Syarikat.

Biarpun masih lagi berhadapan dengan virus Covid-19 dan keadaan ekonomi yang tidak menentu, situasi tersebut bukan penghalang barisan penonton terus memenuhi pawagam untuk menonton filem genre aksi dan patriotik itu.

Selain filem tersebut, beberapa karya lain terdahulu turut pernah mencetuskan fenomena manakala plot penceritaannya masih kekal segar di ingatan sehingga ke hari ini.

Ada yang sudah menjangkau usia lebih tiga dasawarsa, namun penonton tetap teruja menontonnya meskipun tentu sahaja ada antara mereka sudah berpuluh kali menonton filem tersebut.

Berikut senarai filem lama yang diberi nafas baharu dengan olahan cerita dan sentuhan daripada pelakon berbeza.

Filem: Sembilu

majoriti2022 (10)

Poster filem Sembilu lama (kanan) dan baharu.

Apabila menyebut tentang Sembilu, apa yang dibayangkan pasti filem gandingan Datuk Awie bersama Erra Fazira dan Ziana Zain yang pernah menggegarkan dunia perfileman tanah air sekitar 1994.

Kekuatan filem Sembilu kembali hangat apabila naskhah tersebut ‘dihidupkan’ semula dengan nafas baharu menerusi Sembilu 2005.

Sekali lagi diarahkan oleh Datuk Yusof Haslam terbitan Skop Productions yang menceritakan tentang percintaan Vince dan Salina.

Hubungan mereka sering berdepan dengan halangan dan tentangan daripada rakan-rakan dan keluarga.

Filem membariskan barisan peserta Akademi Fantasia musim pertama, Vince Chong dan Khai.

Selain itu antara pelakon lain ialah Hetty Sarlene, Zed Zaidi, Juliana Banos, Pushpa Narayan dan Buzen Hashim.

Bagi mengekalkan elemen nostalgia, Erra Fazira, Ziana Zain dan Datuk Awie turut berlakon dalam filem tersebut.

Filem: Azura

majoriti2022 (5)

Poster filem Azura lama (kiri) dan baharu.

Filem Azura pertama kali ditayangkan pada 1984 dan ketika itu dibintangi oleh Datuk Jamal Abdillah dan Ogy Ahmad Daud.

Diarahkan oleh Deddy M.Borhan, Azura (1984) mencetuskan fenomena menerusi runut bunyi filem bertajuk Azura yang sehingga kini tetap menjadi siulan pendengar.

Sekitar 28 tahun selepas ditayangkan, filem itu kembali diberikan ‘roh’ baharu dan diangkat semula di layar perak pada 2012.

Mengekalkan plot penceritaan yang sama, naskhah tersebut diarahkan oleh Aziz M.Osman terbitan Ace Motion Sdn Bhd.

Filem ini memperlihatkan selebriti Neelofa sebagai Azura, Shahz Jaszle (Zek), Datuk Afdlin Shauki (Tan Sri Putih), Erma Fatima (Yusni) dan Afida Es (Nek Wan).

Filem: Gila-Gila Remaja

majoriti2022 (9)

Poster fiem Gila-Gila Remaja lama (kiri) dan baharu.

Gila-Gila Remaja awalnya diterbitkan pada 1986. Filem ini menceritakan tentang Azroy atau Roy lakonan Faizal Hussein dan Rehana Yassin (Suziana), Datuk Rosyam Nor (Remy), Kamarool Yusoff (Farouk), Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail.

Ketika itu filem tersebut diarahkan sendiri oleh bapa Faizal iaitu Hussein Abu Hassan manakala diterbitkan oleh Shah Film Productions.

Elemen aktiviti permotoran, pergaduhan dan perebutan teman wanita antara kedua-dua filem dikekalkan sementara Faizal membuat kemunculan khas dalam Gila-Gila Remaja 2 pada 2013.

Antara pelakon yang membintangi Gila-Gila Remaja 2 ialah Hairul Azreen sebagai Afiq, Faralyna Idris (Lisa), Fizz Fairuz (Haikal), Taiyuddin Bakar (kris), Bella Dally (Erna) dan Ayda Jebat (Zetty).

Filem: Blok 404

Tahun: 2018

majoriti2022 (11)

Poster filem Blok 404 lama (kiri) dan baharu.

Blok 404 diterbitkan sekitar 2003 yang dibintangi oleh Zamarul Hisham, Nabila Huda, Boy Iman, Raja Azrey, Allahyarham Faizal Yusof dan Haslina Romli manakala diarahkan oleh Silver Chung.

Mengisahkan tentang sekumpulan remaja menginap di sebuah rumah agam yang dipercayai berpuaka.

Ketika itu filem tersebut diterbitkan dalam bentuk cakera padat video (VCD).

Selepas lebih sedekad ditayangkan, filem berkenaan kembali diangkat dengan menggunakan tajuk yang sama pada 2018.

Bagaimanapun plot penceritaan berbeza namun, genre seram dan thriller masih dikekalkan.

Dalam Blok 404 yang diterbitkan semula pada 2018, ia mengisahkan pelancong yang datang menginap di rumah rehat bernama Guesthouse 404 berdepan dengan kejadian misteri.

Beberapa pelakon asal seperti Raja Azrey, Boy Iman dan Zamarul Hisham dikekalkan sementara Nur Risteena, Nadia Brian, Amar Asyraf, Fasha Sandha, Aedy Ashraf dan Adrea Abdulllah sebagai wajah baharu Blok 404 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram