PELAKON cantik manis Mira Filzah, 31, merancang untuk menambah anak kedua tahun depan jika tiada aral melintang.
Jelasnya, perkara itu telah dibincangkan bersama suaminya, Wan Emir Astar memandangkan usia cahaya mata sulungnya, Wan Khair Amir bakal menginjak ke angka tiga tahun tidak lama lagi.
Meskipun akur dengan kekangan kerja serta komitmen sebagai seorang selebriti, ia tidak menghalang buat pelakon filem Sangkar itu untuk terus menambah bilangan anak demi kebahagiaannya sebagai seorang isteri.
BACA LAGI: ‘Curang itu satu pilihan’, Kamal Adli tolak stigma negatif perkahwinan artis tak kekal lama
BACA LAGI: Peguam syarie 'team' Fattah, perjelas sebab Fazura boleh dihukum hina mahkamah
"Memang ada perancangan nak tambah anak, Emir pun tak lama lagi dah nak masuk tiga tahun, lagi pun dia memang suka berkawan.
"Dekat sekolah tadika dia pun memang mesra dengan kawan-kawan jadi nampak la dia memang boleh jadi abang.
"InsyaALLAH kalau diizinkan memang nak tambah anak tahun depan," katanya pada sidang media drama Hikayat Bawang Putih Bawang Merah di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Mira Filzah (tengah) bersama beberapa barisan pelakon lain yang terlibat dalam drama Hikayat Bawang Putih Bawang Merah.
Sementara itu, pelakon kelahiran Ipoh, Perak terbabit turut menjawab segala pertanyaan peminatnya berhubung penglibatannya di laman sosial yang dikatakan semakin menyepi berbanding di awal pembabitannya dalam industri satu ketika dahulu.
Jelasnya, fokusnya kini banyak tertumpu kepada masa bersama keluarganya berbanding berkongsi segala aktiviti hariannya di Instagram.
Menganggap perkara itu sudah berlalu, Mira berkata, aktiviti sedemikian kebanyakannya dilakukan golongan artis baharu BBNU yang lebih dekat dengan peminatnya pada masa kini.
"Saya rasa malasnya nak kongsi buat hantaran di Instagram, kadang-kadang kita rasa terlampau sibuk sangat dengan keluarga bukan tak nak kongsi.
"Nak pilih lagu, fikir ayat pun ambil masa sebenarnya, saya tak menghadkan penglibatan di laman sosial tapi ia terjadi secara tak sengaja, cuma ada perkara yang penting kita kongsikan bukan semuanya.
"Contoh tanda penghargaan macam hari lahir suami ke kita kongsi la tapi kalau segalanya nak dikongsi saya bukan lagi seperti artis generasi sekarang yang lebih popular dan rapat dengan peminat mereka," ujarnya.
Hikayat Bawang Putih Bawang Merah merupakan sebuah kisah epik yang menggabungkan bakat terbaik tanah air untuk menghidupkan semula hikayat klasik dengan interpretasi moden, lengkap dengan kesan visual dan elemen fantasi.
Drama siri empat episod itu bakal bersiaran mulai 21 Oktober, setiap Isnin pukul 9 malam di Astro Ceria.
Barisan pelakon handalan lain yang terlibat adalah Nabila Huda, Kamal Adli, Datin Lisa Surihani serta beberapa bintang baharu seperti Amalina Arham dan juga Tracie Sinidol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram