Tinggalkan dunia korporat di AS, Suri komited perkasa wanita dan industri fesyen sederhana di Malaysia


  • Bizz
  • Jumaat, 31 Jan 2025

Suri meninggalkan dunia korporat di AS untuk meneroka pasaran fesyen sederhana di Malaysia. — Instagram/suri.daman

NAMA Suri Daman semakin menyerlah dalam industri fesyen Muslimah selepas dianugerahkan Pencapaian Cemerlang sebagai Usahawan Wanita Terbaik tahun lalu, bagi kategori perniagaan sehingga RM25 juta di The Star Outstanding Business Awards (SOBA).

Penghormatan itu menjadi bukti kejayaan luar biasa jenama Hegira, yang diasaskan Suri selepas meninggalkan dunia korporat di Amerika Syarikat (AS) untuk meneroka pasaran fesyen sederhana di Malaysia.

Perjalanan Suri bermula di Boston, Massachusetts, AS, dengan dia menamatkan pengajian dalam Biologi dan Ekonomi sebelum menyertai sektor teknologi.

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama di Malaysia, idea suami isteri kreatif realisasi Airbnb 'kelapa' terapung di Langkawi

BACA LAGI: Tak sanggup anak terus derita ekzema, wanita keturunan Melanau cipta sabun natural, dapat perhatian pelanggan Jepun dan AS

Wanita itu aktif dalam pembangunan perisian dan produk teknologi, selain menerapkan pendekatan reka bentuk berpusatkan manusia dalam perniagaan.

Sepanjang kerjayanya, Suri mengetuai pasukan pembangun di Bengaluru, India, dan berjaya menghasilkan penyelesaian inovatif untuk institusi berprestij seperti Universiti Harvard dan Universiti Arizona.

Namun, selepas 13 tahun di luar negara, kepulangannya ke Malaysia menjadi titik permulaan kepada perjalanan keusahawanan yang lebih besar.

WhatsApp Image 2025-01-30 at 11.33.11

Suri (kiri) ketika dianugerahkan Usahawan Wanita Terbaik oleh SOBA, pada tahun lalu.

Inspirasi hijrah

Menyedari potensi besar dalam industri fesyen Muslimah sederhana, Suri menukar hala tuju kerjayanya dan menubuhkan beberapa jenama sebelum melancarkan Hegira melalui usaha sama dengan Siti Khadijah.

Diinspirasikan daripada penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah, jenama Hegira melambangkan perubahan ke arah yang lebih baik dan permulaan baharu.

Suri percaya bahawa wanita memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga, komuniti dan negara. Justeru itulah, misi Hegira tidak hanya melangkaui sekadar fesyen.

Jenama ini menawarkan produk yang bukan sahaja menambah nilai kepada kehidupan harian wanita tetapi juga bertujuan membawa perubahan positif kepada masyarakat.

3

Jenama Hegira melambangkan perubahan ke arah yang lebih baik dan permulaan baharu.

Gaya hidup

Bermula sebagai jenama hijab, Hegira kini berkembang menjadi jenama gaya hidup yang menyeluruh, dengan pelbagai produk direka khas untuk meningkatkan kualiti hidup wanita.

Sejak penubuhannya pada 2019, Hegira berkembang pesat dan kini mempunyai lima butik utama di Malaysia, termasuk dekat IOI City Mall, Sepang dan Aeon Shah Alam di Selangor, Sogo Kuala Lumpur; Aeon Kota Bharu, Kelantan serta Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.

Selain rangkaian fizikal, Hegira turut memperluas capaian melalui platform digital dengan memanfaatkan e-dagang dan pasaran dalam talian bagi mencapai pelanggan lebih luas dan menyertai transformasi digital dalam industri runcit.

Suri: ‘Each venture has been a transformative learning experience, shaping my approach, refining my strategies, and fuelling my passion for innovation and growth.’

Suri komited dalam memperkasakan wanita dan membawa perubahan positif dalam industri fesyen.

Jenama ini terus mencatat pertumbuhan tiga angka tahun demi tahun sejak 2018, sekali gus mengukuhkan kedudukan pasaran dan memperoleh kesetiaan pelanggan di Malaysia, Brunei, Singapura serta Filipina.

Lebih daripada sekadar perniagaan, Hegira turut memperjuangkan kesejahteraan sosial dengan memastikan 92 peratus tenaga kerjanya terdiri daripada wanita, termasuk ibu tunggal dan golongan kurang bernasib baik.

Dengan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi, Hegira terus komited dalam memperkasakan wanita dan membawa perubahan positif dalam industri fesyen serta masyarakat secara keseluruhannya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram