PENGANJURAN majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 pada Khamis dijangka akan lebih menarik kerana pencalonan-pencalonan dalam kalangan atlet merupakan wajah-wajah baharu sekali gus memberikan gambaran arena sukan negara tidak ketandusan bakat.
Malah, pencapaian yang dilakar atlet-atlet kebangsaan ini juga bukan calang-calang menjadikan pemilihan pemenang Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2023 menjadi sukar.
Menurut Presiden SAM, Norismadi Abd Manap berkata, persaingan sengit dalam kalangan calon-calon termasuk atlet muda dalam merebut gelaran atlet terbaik menunjukkan mereka mampu memberi saingan sengit kepada wira-wirati berpengalaman.
BACA LAGI: Pengarah Akademi JDT mahu guna khidmat 'ubi muda' kacukan termasuk pemain 'baka Haaland'
BACA LAGI: MFL perlu segera tetapkan hukuman tepis persepsi 'sengaja rosakkan rentak Selangor FC'
“Kita amat menghargai ‘keluarga media sukan’ yang sentiasa bertungkus lumus mengangkat imej sukan negara. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam menghasilkan karya, warga kewartawanan sukan tetap menghasilkan karya berkualiti demi mengangkat martabat sukan negara.
“Saya juga melihat persaingan sengit dalam kalangan pencalonan atlet terbaik juga memberikan petanda positif kepada sukan Malaysia. Kita dapat lihat beberapa wajah baharu dalam senarai calon kali ini dan pencapaian mereka bukan calang-calang," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Anugerah SAM-100PLUS 2023 berlangsung pada Khamis (6 Jun 2024) di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dijadual hadir pada majlis itu.
Debaran dan tumpuan pastinya terarah kepada siapakah bakal bergelar Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2023 pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)- 100PLUS 2023 pada Khamis.
Bagi Anugerah Atlet Terbaik, persaingan sengit terarah kepada calon-calon dalam kalangan bintang semakin bersinar negara antara dua jaguh skuasy dan juga atlet boling padang negara yang prestasi mereka dilihat menyerlah pada tahun 2023.
S. Sivasangari, ratu skuasy dalam pembikinan kelahiran Sungai Petani, Kedah meraih dua pingat emas dalam acara perseorangan dan berpasukan di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.
Sivasangari menyumbang dua pingat emas di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022. — Instagram/Sivasangari
Meskipun, berdepan episod duka pada awal tahun lepas, Sivasangari tidak patah semangat sebaliknya tetap berjaya memahat namanya selaku juara di kejohanan skuasy Hong Kong Football Club Open pada November tahun lalu.
Pencalonan Sivasangari mendapat tentangan sengit daripada rakan sepasukan yang juga pemain skuasy lelaki negara Ng Eain Yow yang juga menyumbang pingat emas acara perseorangan di temasya Sukan Asia Hangzhou, China.
Pemain berusia 25 tahun itu turut merangkul masing-masing satu pingat emas dan gangsa di Kejuaraan Asia ke-22 yang berlangsung di Hong Kong.
Dua pemain skuasy ini akan berdepan persaingan sengit daripada gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi dari sukan boling padang.
Gandingan ratu boling padang negara ini mempamerkan aksi cemerlang untuk muncul juara dunia di Gold Coast, Australia biarpun ini adalah penyertaan sulung mereka di Kejohanan Dunia.
Kejayaan dua ratu boling padang ini merupakan pencapaian bersejarah buat Malaysia apabila menamatkan kemarau 15 tahun untuk memenangi pingat emas pertama sejak acara wanita dipertandingkan dalam Kejohanan Dunia pada 1969.
Pasangan negara itu menewaskan lawan mereka Rebecca Rixon-Connie Leigh Rixon dari Malta 15-11 dalam acara pairs wanita berlangsung di Broadbeach Bowls Club.
Nur Ain Nabilah dan Aleena muncul juara dunia di Gold Coast, Australia. — Agensi
Nur Ain Nabilah pernah memenangi pingat perak acara triples wanita di Sukan Komanwel 2022 Birmingham dan pingat emas acara fours di Sukan SEA 2017 dan 2019.
Manakala, Aleena muncul juara bawah 25 tahun (B-25) dan beregu campuran di Kejohanan Boling Padang Asia di Ipoh, Perak pada awal tahun ini.
Perebutan bagi Anugerah Atlet Terbaik untuk Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2023 kali ini turut menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan atlet kebangsaan lain yang turut mengintai peluang termasuk Wong Weng Soon daripada sukan wushu dan Natasha Mohamed Roslan daripada sukan tenpin boling.
Anugerah Atlet Para Terbaik 2023 pula menyaksikan persaingan melibatkan sukan powerlifting, badminton dan boccia.
Atlet kelahiran Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin menggegar gelanggang di Dubai apabila memperbaharui rekod di Kejohanan Piala Dunia Powelifting Para pada Mac tahun lalu.
Angkatan keseluruhan 231kg memastikan rekod baharu dengan hanya kelebihan 1kg memastikan emas menjadi miliknya bagi kategori 72kg ke atas.
Jaguh badminton negara, Cheah Liek Hou menutup tirai 2023 dengan melakar meraih satu pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Fazza Dubai 2023.
Malah, gandingannya dengan Muhammad Fareez Anuar memastikan emas menerusi beregu lelaki SU5 di Kejohanan Badminton Antarabangsa Para Brazil 2023 di Sao Paulo.
Fareez Anuar dan Liek Hou memastikan emas menerusi beregu lelaki SU5 di Kejohanan Badminton Antarabangsa Para Brazil 2023. — Instagram/FareezAnuar
Pencapaian atlet para, Noor Askuzaimey Mat Salim di Hong Kong apabila meraih emas di Kejohanan Wilayah Asia-Oceania Boccia Dunia memastikan namanya turut disenarai pendek bagi pencalonan anugerah Atlet Para Terbaik 2023.
Pemenang kedua-dua anugerah utama ini akan menerima hadiah wang tunai RM 10,000 dan trofi.
Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2023, turut dirai di majlis Anugerah SAM-100PLUS adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50, 000 di majlis Anugerah SAM-100PLUS.
Anugerah dibahagi kepada enam kategori; Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), LaporanBerita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan BeritaTerbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik(Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik(Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM7,000 berserta trofi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
Senarai atlet terbaik SAM-100PLUS:
1995 - Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton) 1996 - Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton) 1997 - Nurul Huda Baharin (menembak)
1998 - Lim KengLiat (renang)
1999-2001 – Tiada Anugerah
2002 - Lim Keng Liat (renang) danS.Premila (karate-do)
2003 - Lim Keng Liat (renang)
2004 - Bryan Nikson Lomas (terjun)
2005 - Datuk Nicol Ann David (skuasy)
2006 - Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton)
2007 - Wong Mew Choo (badminton)
2008 - Datuk Lee Chong Wei (badminton)
2009 – Datuk Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)
2010 – Datuk Pandelela Rinong (terjun)
2011 – Nur Suryani Taibi (menembak)
2012 – Pandelela Rinong (terjun)
2013 – Sazali Samad (bina badan)
2014 - Nicol Ann David (skuasy)
2015 – Pandelela Rinong (terjun)
2016 - Lee Chong Wei (badminton)
2017 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)
2018 – Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling
2019 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)
2020/2021 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek) 2022 – Datuk Mohd Syarul Azman (bina badan)
Atlet paralimpik terbaik SAM-100PLUS:
2016 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)
2017 – Muhd Ziyad Zolkefli (olahraga)
2018 - Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)
2019 – Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting)
2020/2021 – Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting)
2022 – Cheah Liek Hou (badminton)