Bangga jadi 'ekstra' filem Rock arahan Mamat Khalid, Sabahan Rockers kekal imej 80-an sejak 2010


  • Hiburan
  • Sabtu, 01 Feb 2025

Sabahan Rockers bersama arwah Mamat Khalid (kiri) ketika membintangi filem Rock.

TAK lapuk ditelan dek zaman, peminat muzik rock era 80-an tanah air masih bergiat aktif menyokong industri itu walau sudah berdekad lamanya.

Siapa sangka di zaman moden serba canggih kini, fenomena muzik rock tempatan kekal menjadi pedoman dan pegangan sebilangan peminatnya di Sabah.

Menggelarkan diri mereka sebagai Sabahan Rockers, kumpulan peminat yang ditubuhkan sejak 2010 itu masih mengekalkan imej dan gaya rockers sejati mirip filem Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Cinta Untuk Nabila', Ajak Melissa dedah realiti kisah itik dalam filem Rock, kini bisnes makan nasi rendang

BACA LAGI: Amy Mat Piah 'sebenar' dedah identiti Zul Kapan, nafi tak boleh menyanyi seperti dalam filem Rock

Sudah menjadi kewajipan buat kumpulan tersebut hadir di setiap konsert rock di Kuala Lumpur, kehadiran Sabahan Rockers kian menjadi ikutan di Semenanjung dek keunikan identiti ditampilkan.

Salah seorang ahli kumpulannya, Darwis Daud, 42, menjelaskan sudah menjadi kewajipan buat setiap anggota Sabahan Rockers berpenampilan rock mirip era 80-an.

wk

asi

Darwis (kiri) bersama kumpulan Sabahan Rockers.

"Kami memang akan hadir setiap konsert di Kuala Lumpur dengan berpakaian rock, kasut Aliph dah memang mesti dipakai, itu identiti rock zaman dulu.

"Saya sendiri ada koleksi barangan Aliph macam kasut, beg dan sebagainya, memang itulah gaya kami kalau ke konsert beramai-ramai.

"Saya ahli generasi pertama, sekarang dah masuk generasi ketiga dan jumlah kami makin bertambah sampai sekarang ada kira-kira 70 anggota dengan matlamat hanya satu iaitu berkongsi minat muzik yang sama, maka seronok jadinya," katanya kepada Majoriti.

Bercerita lanjut tentang penubuhan kumpulan tersebut, Darwis berkongsi pengalaman paling manis apabila dipelawa Allahyarham Mamat Khalid untuk membintangi tiga buah filemnya iaitu Rock Oo! (2013), Rock Bro! (2016) dan Rock 4: Rockers Never Dai (2020).

Jelas pemuda kelahiran Kunak, Sabah itu, Allahyarham merupakan satu-satunya insan seni yang melihat usaha mereka sebagai satu perkara bagus dan patut diteruskan.

"Arwah Mamat Khalid yang datang pada kami masa tu lepas konsert, dia sendiri tawarkan kami untuk berlakon sebagai watak tambahan, saya antara yang jadi kumpulan SYJ dalam filem Rock Bro!.

"Segala kos pengangkutan dan penginapan ditaja arwah, naik bas ramai-ramai ke Ipoh dengan pakaian serba rock, itu pun Mamat Khalid yang minta kami kekalkan.

"Kalau perasan dalam filem dia semua kebanyakannya ahli Sabahan Rockers yang berlakon, bukan dibuat-buat tapi memang imej kami macam tu, tak sangka ada pengarah yang hargai," ujarnya.

Ketika disoal tentang kos memperagakan pakaian zaman rock, Darwis berkata, kebanyakan baju dan seluar dibeli dari kedai baju terpakai dan sebahagiannya dijahit sendiri.

Tidak memerlukan modal besar untuk berpenampilan sedemikian, kumpulan itu sentiasa mengalu-alukan kedatangan ahli baharu yang meminati muzik rock tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram