'Mudahnya jadi jutawan', ramai terkejut pempengaruh dedah harga 'review' RM100,000 untuk 4 jam


  • Hiburan
  • Khamis, 30 Jan 2025

Pempengaruh Cik Epal berkongsi senarai harga ulasan video miliknya di laman Instagram.

PENDEDAHAN seorang pempengaruh dan usahawan popular, Cik Epal atau nama sebenarnya Murni Mahmud, 34, berhubung senarai harga video ulasan 'review' mencetuskan perbualan hangat di laman sosial.

Manakan tidak, harga dikenakan mencecah ratusan ribu ringgit yang nyata membuatkan ramai pengikutnya terkejut dengan kadar ditetapkan usahawan kosmetik tersebut.

Menerusi hantaran di Instagram pada Rabu, Cik Epal mengenakan bayaran bermula dari RM20,000 sehingga RM100,000 bergantung kepada pakej dan durasi masa kandungan promosi dimahukan.

BACA LAGI: Filem kedua Indonesia lepas Lembayung, Anna Jobling 'dicop' jelmaan Raja Ema di negara jiran

BACA LAGI: Menyanyi di pentas Olimpik, pesona Raja Ema masih relevan bersama bisnes acar buah

"Sebab ramai yang tanya harga review, saya buka harga terus review by Cik Epal.

"Untuk feed RM30,000, untuk InstaStory RM20,000.

"TikTok live dua jam RM50,000, empat jam RM100,000, yang berminat boleh mesej tepi," katanya.

Memiliki lebih 600,000 jumlah pengikut di Instagram, rata-ratanya tidak menafikan bahawa impak daripada ulasan video dibuat mampu membawa pulangan dan impak positif terhadap sesebuah produk.

"Memang mahal harga dia tapi tengok la banyak jenama dan produk yang dia review semua makin maju, bukan yang tak elok punya produk," kata Isyarahraiha.

"Senang je jadi jutawan, empat jam RM100,000 kita ni kerja lapan jam sehari pun berapa je dapat," ujar Sufi.

"Tak mustahil ada yang sanggup bayar sebab dia boleh letak harga macam itu, maknanya memang ada yang bayar beratus ribu untuk perniagaan," tambah Iliyas.

Terbaharu, pempengaruh itu turut ditawarkan sebagai salah seorang duta gedung tekstil tersohor negara, Jakel.

Memperagakan busana baju kurung edisi keluaran Hari Raya Aidilfitri, ia merupakan penampilan kali pertama Cik Epal bersama jenama tekstil tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram