KARIER seni pelakon jelitawan, Anna Jobling, 24, kian menyinar apabila bakal muncul menerusi filem keduanya di Indonesia berjudul Sukma tidak lama lagi.
Merupakan naskhah kedua di negara jiran selepas filem Lembayung, peranan Anna sekali lagi ditagih pengarah, Baim Wong bagi menjayakan naskhah bergenre seram tersebut.
Turut dibintangi ramai artis terkemuka Indonesia seperti Luna Maya, Fedi Nuril, Christine Hakim dan Oka Antara, ia nyata satu lembaran baharu buat pelakon berdarah kacukan Melayu, Inggeris itu untuk terus mencipta nama di persada antarabangsa.
BACA LAGI: Menyanyi di pentas Olimpik, pesona Raja Ema masih relevan bersama bisnes acar buah
Malah, peminatnya di Indonesia juga semakin bertambah dan kian meniti di bibir masyarakat negara seberang.
Dalam pada itu, kejayaan pelakon kelahiran Melaka tersebut turut disamakan dengan legasi tinggalan pelakon berpengalaman negara iaitu Raja Ema.
Pesona Raja Ema kekal relevan sebagai pelakon disegani tanah air.
Di era kegemilangannya, Raja Ema merupakan antara pelakon terawal yang mencipta nama di Indonesia dan kekal dikenang sebagai 'ratu pop' Malaysia sehingga ke hari ini.
Pun begitu, bakatnya dalam bidang lakonan dilihat mula dijelmakan semula oleh Anna Jobling yang dikatakan seiras dan saling tak tumpah seperti perjalanan seni Raja Ema satu ketika dahulu.
Pernah masyur di negara jiran sebelum ini, tujuh buah filem arahan produksi Indonesia dilakonkan Raja Ema iaitu Omong Besar Jodoh Boleh Diatur, Antara Dua Hati, Cinta Berdarah, Sepasang Mata Maut, Api Cemburu dan Kipas-Kipas Cari Angin.
Komen warga maya di laman sosial rata-ratanya menganggap Anna Jobling sebagai penerus legasi Raja Ema di bumi Indonesia.
"Lembayung kurang laku di Malaysia tapi meletup di sana, rezeki Anna kat sana, ulang kejayaan Raja Ema sebelum ni cipta nama dengan berlakon filem Indonesia," kata Rain Hamzah.
"Teringat macam Raja Ema dulu-dulu, terkenal dia dekat Indonesia dan banyak berlakon di sana sampai peminat sana pun ramai," ujar Hasnah Juhair.
"Sokong artis Malaysia ke Indonesia, industri sana lebih maju dan terbuka, Raja Ema versi muda la Anna Jobling ni," tambah Johari.
Terdahulu, Anna Jobling mencetuskan fenomena apabila menerima banyal tawaran berlakon dari produksi negara jiran yang menurutnya satu kejayaan yang cukup manis.
Mula mencipta nama menerusi drama Melur Untuk Firdaus, pelakon cantik itu dilamar pengarah tersohor Indonesia, Baim Wong untuk berlakon di bawah syarikat miliknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram