[VIDEO] 'Cinta Untuk Nabila', Ajak Melissa dedah realiti kisah itik dalam filem Rock, kini bisnes makan nasi rendang


  • Hiburan
  • Jumaat, 01 Nov 2024

Ajak (kiri) dalam filem Rock arahan Mamat Khalid pada 2005.

BIARPUN lebih sedekad berlalu, filem ikonik zaman rock tanah air, Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid pada 2005 masih malar segar dalam ingatan penonton hingga ke hari ini.

Mengisahkan perjalanan seni sebuah kumpulan muzik diberi nama ‘Rimba Bara’, cabaran dan kisah suka duka industri muzik rock tanah air banyak diketengahkan dalam karya agung anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Pun begitu, salah seorang pelakon pernah membintangi filem itu, Ajak Melissa ataupun nama sebenarnya, Nor Razak Yas, 57, mendedahkan kisah realiti yang berlaku di sebalik naskhah tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Asalnya kumpulan nasyid, ‘Di Renjis-Renjis’ versi rock metal jadi identiti muzik CSE Buskers

BACA LAGI: [VIDEO] Mencari Alasanmu dianggap lagu 'resign', mungkin ada kaitan isu peribadi Lukhman S — Ezad Lazim

Melakonkan watak sebagai salah seorang pemuzik kumpulan ‘Malaikat Maut’, identitinya yang banyak mengenakan pakaian dan solekan serba hitam dalam filem tersebut diinspirasikan daripada kisah sebenar yang berlaku pada era 1980-an.

Antara babak lakonannya yang paling diingati adalah ketika dia menggigit seekor haiwan itik serama di pentas persembahan rock bersama kumpulannya.

Jelasnya, adegan itu merupakan hasil perbincangannya bersama pengarah Mamat Khalid yang ketika itu meminta cadangan untuk menyelitkan sentimen rock yang berlaku dalam tanah air.

“Itu memang idea kami bincang bersama, tapi ia cuma rekaan semata-mata, nak menampakkan realiti sebenar kumpulan rock pada ketika itu.

“Memang ada sebenarnya kumpulan rock black metal yang agresif di pentas persembahan satu ketika dahulu, malah pernah dikecam kerana terlampau keras muzik dan lirik dimainkan.

“Ada satu band ni pada era 80-an dari Perlis, dia suka main api atas pentas, memang agresif dan dia main muzik black metal underground tapi ramai peminat.

“Sedikit sebanyak apa yang disampaikan dalam filem Rock tu betul sebenarnya, itu la yang berlaku dulu tapi yang gigit itik tu cuma lakonan semata-mata, cuma mesej keganasan itu betul berlaku," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Ajak kini masih bergiat aktif dalam dunia rock tanah air menerusi kumpulan Melissa yang mula ditubuhkan sejak 1989.

photo_2024-10-30_23-25-31

photo_2024-10-30_23-25-35

Ajak masih bergiat aktif dalam dunia rock bersama kumpulan Melissa.

Meskipun pernah beberapa bertukar ahli, kumpulan yang terkenal dengan lagu Cinta Untuk Nabila itu bakal mengeluarkan single terbaharunya pada November nanti bersama vokalis baharu.

Menganggap penglibatannya dalam filem Rock sebagai batu loncatan karier seninya, Ajak akui dirinya lebih dikenali di layar perak dalam Rock dan Zombi Kampung Pisang berbanding dunia nyanyian.

“Ramai yang kenal saya dalam dua filem Mamat Khalid, dialog dalam filem Zombi Kampung Pisang tu memang ikonik la, semua terhibur sampai sekarang.

“Itu yang saya buat bisnes makanan, 'nasi rendang Pak Munawer’, mee tomyam dan mee kari nyonya.

“Alhamdulillah, saya baru mulakan perniagaan ni sekitar Jun lalu dan sekarang semakin dapat sambutan ramai, dah mula dipasarkan di pasar raya ST Rosyam Mart dan beberapa lagi lokasi lain,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram