FILEM Rock (2005) arahan Allahyarham Mamat Khalid meninggalkan seribu satu kenangan manis buat peminat rock tanah air.
Biarpun dua dekad berlalu, karya agung anak jati Ipoh, Perak itu kekal mewarnai industri perfileman tempatan menerusi plot penceritaan menarik serta sisi perjuangan rock ditampilkan dalam naskhah agung tersebut.
Namun, tidak ramai yang tahu bahawa filem itu diinspirasikan daripada kisah benar yang mana tunjang utamanya, Amy Mat Piah lakonan Que Haidar sememangnya wujud dalam dunia realiti.
Berdasarkan filem tersebut, Amy merupakan vokalis asal kumpulan diberi nama Rimba Bara yang sebenarnya diadaptasi daripada perjalanan seni Drop Out sekitar era 1980an.
Ramlie (tengah) merupakan rakan karib kepada Allahyarham Mamat Khalid.
Perkara itu dikongsikan penyanyi asalnya, Ramlie S, 60, yang cukup berterima kasih atas penghargaan daripada rakan karibnya, Mamat Khalid kerana menghasilkan filem tersebut.
Jelasnya, hampir 70 peratus daripada filem itu adalah kisah benar namun ia ditambah dengan elemen lucu bagi menarik penonton ke panggung wayang.
"Memang watak Amy Mat Piah itu adalah saya, saya asalnya merupakan penoreh getah tapi saja cuba-cuba jadi penyanyi dalam satu kumpulan ni yang memang tiada vokalis, saya memang penyanyi bukan macam Amy Mat Piah tu.
"Ketika itu saya ingat lagi ditawarkan sertai band Drop Out oleh arwah Mamat Khalid, dia sebagai pemain keyboard.
"Tak sangka lepas itu kami sertai Battle Of The Band, sampai ke peringkat akhir tapi saya tak dapat beri komitmen atas faktor kesihatan, itu yang dalam filem ada tunjuk Amy Mat Piah menangis digantikan dengan Black Zul Kapan. Itu semua betul tapi saya bukan niaga ais kacang, saya penoreh getah je di Batu Gajah, Perak dulu," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Ramlie turut mendedahkan individu sebenar di sebalik watak Zul Kapan dalam filem tersebut.
"Inilah watak sebenar Amy Mat Piah dan Zul Kapan di alam nyata dalam filem Rock arahan arwah Mamat Khalid, aku dan arwah Izzaka," ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Usai beberapa tahun kemudian, Ramlie menganggotai kumpulan Dayana sekitar 1994 dan sehingga kini menggunakan nama pentas Ramlie Dayana di semua platform sosial.
Masih berhasrat mahu aktif dalam bidang nyanyian, Ramlie baru sahaja melancarkan sebuah lagu baharu di laman TikTok peribadinya @ramliedayana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram