Platform holistik Sarah Lian masuk tahun ke-7, Supparetreat rancang pelan lebih besar, bina komuniti sihat


  • Bizz
  • Khamis, 30 Jan 2025

Tahun ini mencipta momen manis buat Sarah pertama kali meraikan Tahun Baharu Cina sebagai seorang isteri.

PERAYAAN Tahun Baharu Cina bukan sekadar menandakan bermulanya tahun baharu dalam kalendar lunar, tetapi juga menjadi detik istimewa untuk memperbaharui janji, mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan menghidupkan semula hubungan bersama insan tersayang.

Bagi personaliti televisyen terkenal, Sarah Lian, perayaan kali ini membawa makna yang lebih mendalam buat dirinya sekeluarga.

Pelakon berpengalaman yang juga pengasas bersama platform kesejahteraan Suppagood dan Supparetreat itu menyambut perayaan sebagai seorang isteri buat pertama kalinya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama di Malaysia, idea suami isteri kreatif realisasi Airbnb 'kelapa' terapung di Langkawi

BACA LAGI: Tak sanggup anak terus derita ekzema, wanita keturunan Melanau cipta sabun natural, dapat perhatian pelanggan Jepun dan AS

Wanita berusia 41 tahun itu mendirikan mahligai cinta bersama Khoo Teng Leang, 43, yang juga pengarah dan pengasas Trifecta Collective, pada pertengahan 2024.

“Saya menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga mertua buat kali pertama sebagai ahli keluarga mereka.

“Kami bernasib baik kerana meraikannya di Kuala Lumpur, jadi jalan raya lengang untuk perjalanan ke makan malam perjumpaan! Ia terasa seperti permulaan era baharu,” katanya.

Bagi Sarah, sambutan Tahun Baharu Cina sentiasa menjadi momen istimewa untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, terutama bersama saudara-mara yang tinggal berjauhan.

Berasal daripada keluarga besar, ingatannya sering terkenang akan momen makan malam istimewa yang biasanya diadakan di dewan khas milik bapa saudaranya.

"Semua mak cik dan pak cik duduk di kerusi sambil memegang angpau dan kami kanak-kanak beratur mengikut giliran, cuba mengingati ucapan untuk mereka dan diberi duit angpau bertuah,” katanya.

Sarah Lian for Life Inspired January issue. — YAP CHEE HONG/The Star

Bagi Sarah, perayaan kali ini membawa makna lebih mendalam buat dirinya sekeluarga.

Fokus kesejahteraan

Sebagai jurulatih holistik dan pengasas platform kesejahteraan, Sarah terus komited dalam misi membina komuniti yang sihat.

Supparetreat yang diasaskannya enam tahun lalu di bawah inisiatif wanita Suppagood Collective, kini memasuki tahun ketujuh dengan pelan pengembangan lebih besar.

“Memasuki tahun ketujuh, kami memberi tumpuan untuk membawa kesejahteraan ke tempat kerja.

"Walaupun 2024 adalah tahun peribadi yang monumental, ia juga merupakan tahun luar biasa bagi kami.

"Kami berjaya mengadakan dua program transformatif dan sedang merancang lebih banyak kolaboratif di pelbagai lokasi bermula Johor Bahru, Johor pada Mac depan,” katanya.

Sarah menambah, beliau juga dalam proses mendapatkan pensijilan sebagai jurulatih pernafasan untuk meningkatkan perkhidmatan dan menyokong komuniti yang lebih luas.

3

Sarah mendirikan mahligai cinta bersama Teng Leang pada 2024.

Bercerita mengenai kehidupan berumah tangga, Sarah memberitahu, beliau dan suami berkongsi minat yang sama.

Mereka menyimpan impian mengembara dan menjelajah lebih banyak lokasi menarik di seluruh dunia.

Perkahwinan bagi wanita ini, adalah satu pengalaman menakjubkan.

"Selepas lebih 15 tahun bersahabat, kami mempunyai asas yang kukuh untuk memulakan peranan baharu sebagai suami isteri,” katanya.

Falsafah hidup Sarah untuk mencapai kebahagiaan banyak dipengaruhi oleh prinsip buku The Four Agreements karya Don Miguel Ruiz.

Prinsip ini ujarnya, membolehkan dirinya hidup dengan tenang terhadap perkara yang boleh dikawal.

Hidup saya kini lebih selaras dengan kebebasan dan kedamaian,” jelasnya. — The Star/NASA MARIA ENTABAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram