Bukan semuanya indah, asam garam kaunselor sampai kena perli ibu saudara, makanan pun dicatu


  • Bizz
  • Rabu, 29 Jan 2025

Norazizalina memiliki lebih 11 tahun pengalaman dalam bidang kaunseling.

BERPENGALAMAN lebih 11 tahun mendorong Norazizalina Mat Najib, 39, bergandingan bersama seorang rakan kongsi untuk menerajui sebuah konsultan yang memberi fokus pada perkhidmatan kaunseling berkualiti, terlatih dan mematuhi etika profesional.

Ditubuhkan pada 2018, ujar Norazizalina, Shamzye Aims menawarkan perkhidmatan dalam pelbagai bidang termasuk kaunseling individu, perkahwinan, keluarga dan isu kesihatan mental yang ringan seperti tekanan serta kebimbangan.

Tidak hanya menfokuskan golongan dewasa, konsultan tersebut turut menerima klien daripada kanak-kanak seawal usia darjah tiga sehingga warga emas berumur lebih 70 tahun.

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama di Malaysia, idea suami isteri kreatif realisasi Airbnb 'kelapa' terapung di Langkawi

BACA LAGI: Tak sanggup anak terus derita ekzema, wanita keturunan Melanau cipta sabun natural, dapat perhatian pelanggan Jepun dan AS

WhatsApp Image 2025-01-27 at 17.54.23

Shamzye Aims menawarkan perkhidmatan dalam pelbagai bidang termasuk kaunseling individu, perkahwinan, keluarga dan isu kesihatan mental.

“Kami memastikan setiap sesi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kaunseling termasuk menjaga kerahsiaan klien dan mendapatkan keizinan sebelum sebarang maklumat dikongsi, walaupun untuk tujuan promosi," katanya kepada Majoriti.

Dalam usahanya membangunkan konsultan bersama rakan kongsi, bekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr. Norisham Abd Ghani, 60, Norazizalina mengakui agak sukar untuk meyakinkan masyarakat tentang servis kaunseling.

Meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perkhidmatan kaunseling di samping mengatasi stigma yang masih wujud, menjadi antara cabaran buat kedua-dua wanita itu.

Isu itu katanya, menjadi perhatian apabila ramai pihak tanpa kelayakan profesional menawarkan perkhidmatan kaunseling, yang berpotensi membawa kesan buruk kepada klien.

“Masih ramai tidak tahu membezakan antara terapi yang dijalankan oleh profesional bertauliah dan mereka yang hanya memiliki sijil penyertaan kursus singkat.

“Antara cabaran yang biasa kami hadapi ialah memberi kesedaran kepada orang ramai agar berjumpa dengan individu sepatutnya, bukan sewenang-wenangnya berkongsi masalah dengan ahli terapi yang tidak mempunyai kredibiliti sebenar,” kata beliau.

WhatsApp Image 2025-01-28 at 12.51.26

Norazizalina (kanan) dan Dr. Norisham (kiri) menubuhkan konsultan ini sejak 2018.

Pemegang Ijazah Sarjana Pendidikan Bimbingan dan Kaunselong dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini menambah, tidak dinafikan terdapat ramai 'ahli terapi' di luar sana hanya mengikuti kursus singkat beberapa hari atau memiliki sijil penyertaan, namun terus mendakwa

Lebih membimbangkan, wujud kes yang mana masalah dan wajah klien dikongsikan seorang ahli terapi dalam kumpulan WhatsApp tanpa persetujuan.

“Saya pernah berjumpa individu yang mendedahkan masalah klien di dalam kumpulan WhatsApp.

"Walaupun mungkin ramai dalam kumpulan itu tidak mengenali klien, tapi ada antara mereka yang tahu siapa individu tersebut.

"Mereka bahkan menyebarkan gambar klien untuk menunjukkan kononnya mereka menjalankan sesi kaunseling selama tiga jam. Ini sebenarnya salah dan melanggar etika profesional,” jelasnya lagi.

WhatsApp Image 2025-01-27 at 17.54.23

Norazizalina berdepan cabaran untuk membina kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Catu makanan

Mengimbau perjalanan perniagaannya, anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui, membangunkan bisnes kaunseling adalah satu perjalanan mencabar, terutamanya apabila bermula dari kosong tanpa produk fizikal untuk dijual, hanya perkhidmatan sebagai teras utama.

Kongsi Norazizalina, mereka berdua melakukan segalanya sendiri pada peringkat awal, daripada menyediakan invois, menjawab mesej, memberikan kaunseling, menyusun bahan latihan sehinggalah mengemas bilik dan memasang papan tanda.

Permulaan perniagaan ini juga tidak mudah. Mereka bermula dari rumah dengan hanya satu bilik kecil sebagai pejabat.

Kemudian, ruang tambahan terpaksa disewa selepas mendapati bahawa bilik kaunseling tidak boleh dikongsi dengan ruang kerja.

"Cabaran lain ialah membina kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kami.

“Awal-awal dulu, kami tidak dikenali. Orang tak terkenal seperti kami susah nak dapat kepercayaan.

"Pernah ada bulan-bulan tertentu tiada jualan langsung, tiada sesi kaunseling diambil dan tiada gaji untuk kami sendiri. Duit yang ada hanya cukup untuk bayar sewa bilik dan bil utiliti, kadang-kadang menggunakan duit daripada sumber lain di luar bidang kaunseling dan latihan,” tambahnya.

Keadaan kewangan yang terhad memaksa mereka berhemat, termasuk mencatu perbelanjaan makanan.

“Bukan selalu, tapi pernah juga catu makan. Kalau dulu biasa makan makanan yang sedikit mewah, waktu itu kami masak sahaja di rumah dan makan makanan yang sederhana,” ceritanya.

WhatsApp Image 2025-01-27 at 17.54.26

Walaupun perjalanannya penuh onak dan duri, Norazizalina percaya setiap kesulitan ada hikmahnya.

Diperli ibu saudara

Kongsi Norazizalina lagi, beliau memilih jalan perniagaan selepas hanya bekerja beberapa bulan sebagai pembantu penyelidik di UPM.

Keputusan itu katanya, tidak begitu disenangi ibu saudara yang menganggap pekerjaan itu tidak akan membuahkan hasil, apatah lagi untuk membantu keluarganya.

“Ada yang mempertikaikan usaha ini, ibu saudara pernah memarahi saya melalui telefon, mengatakan saya tidak membantu keluarga dan perniagaan ini seperti tidak nampak hasilnya.

"Pada masa itu, arwah ibu seorang suri rumah, sentiasa mencari jalan untuk menambah pendapatan, manakala bapa pula pesara.

"Bapa masih bekerja sebagai pemotong rumput dan membersihkan kawasan pasar malam," ujarnya.

Meski dihimpit tekanan dari segi kewangan dan persepsi keluarga, ibunya tetap memberikan sokongan moral tidak ternilai buat wanita kelahiran Teluk Intan, Perak ini.

WhatsApp Image 2025-01-27 at 17.54.32

Norazizalina mengakui agak sukar untuk meyakinkan masyarakat tentang servis kaunseling.

“Mak saya sangat memahami. Dia selalu kata, berniaga adalah sembilan daripada 10 punca rezeki.

"Dia juga ingatkan bahawa berniaga mendekatkan kita kepada ALLAH SWT. Kata-kata mak itulah yang menjadi kekuatan saya, walaupun ketika itu rasa sangat down dan kerap menangis,” katanya menambah arwah ibunya sempat membantu memilih logo syarikat sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 9 Oktober 2021.

Walaupun perjalanannya penuh onak dan duri, Norazizalina percaya setiap kesulitan ada hikmahnya.

Sentiasa berpegang pada kata-kata arwah ibunya bahawa rezeki berniaga boleh mendekatkan diri manusia kepada Yang Maha Esa.

“Apa yang ALLAH beri terima, dan apa yang ALLAH tarik juga terima, kerana ia bukan untuk menyusahkan tetapi menguatkan kita,” katanya penuh keyakinan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram