BERPEGANG pada aspirasi untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi kanak-kanak autisme, Alrite Autism Centre (Alrite Autism) di USJ, Subang Jaya, Selangor terus melangkah ke hadapan sebagai pusat peribadi yang komited terhadap perkembangan pendidikan moden.
Pengasasnya, Mishantini Sanderasagran berkongsi, inspirasi utama di sebalik penubuhan pusat tersebut adalah untuk menyediakan persekitaran pembelajaran bagi menggalakkan anak-anak autisme berkembang secara holistik.
Menurutnya, seiring perkembangan teknologi, Alrite Autism turut memperkenalkan inovasi baharu dengan pemasangan robot-robot pengajaran, Dash Robot bermula pertengahan Februari depan.
“Teknologi mengubah cara pendidikan dijalankan dan kami menerapkan inovasi ini dalam setiap aspek pengajaran.
"Langkah ini diyakini bantu meningkatkan keberkesanan pembelajaran anak-anak istimewa," katanya kepada Majoriti.
Mengupas lanjut, Mishantini menjelaskan, Alrite Autism Centre melaksanakan program Alrite Autism Frontier (AAFP) yang menawarkan lebih 3,000 pelajaran interaktif berdasarkan strategi penyelidikan terkini.
Tambahnya merangkap Pengarah Alrite Autism Centre itu, AAFP merupakan panduan komprehensif direka khusus untuk menyokong ibu bapa, pendidik dan penyedia perkhidmatan membantu perkembangan kanak-kanak autisme.
Jelasnya, dengan teknologi sebagai tonggak utama, setiap rancangan pelajaran dilengkapi kod respons pantas (QR) yang membolehkan tenaga pengajar mengakses video pembelajaran dengan mudah.
"Program ini merangkumi dua jilid penting iaitu Jilid 1 (Alrite Autism Frontier Professional Manual) dan Jilid 2 (Kurikulum Program Intervensi Awal).
"Kedua-dua jilid ini memberi fokus kepada menyediakan panduan dan alat bantu diperlukan dalam menyokong perkembangan kanak-kanak kecil dengan autisme, terutama aspek bahasa, sosial-emosi, literasi, kognisi dan kemahiran komunikasi," maklumnya.
Alrite Autism Centre menyediakan persekitaran pembelajaran bagi menggalakkan anak-anak autisme berkembang secara holistik. — Instagram/alriteautismcentre
Lanjut pendidikan
Bercerita perjalanan awal, cerita Mishantini, inspirasi menubuhkan pusat itu juga tercetus ketika beliau bekerja di sebuah sekolah keperluan khas di Subang Jaya.
"Pengalaman bekerja di situ memperkenalkan saya kepada dunia autisme buat pertama kali. Banyak perkara bermain dalam minda mengenai mereka.
"Saya memulakan program ini kerana memahami perjuangan para guru kerana cara anak-anak ini berinteraksi dan menjawab adalah berbeza.
"Guru sering terperangkap antara minat untuk mengajar dan keperluan mengurus situasi yang rumit," jelas wanita itu.
Mishantini menyedari terdapat keperluan besar untuk menyediakan pendidikan dan suasana pembelajaran kondusif buat golongan berkenaan.
Beliau mula membaca dan mendalami kajian berkaitan autisme, menulis jurnal dan mendalami topik neurologi berkaitan.
Minat terhadap bidang itu terus berkembang sehingga dirinya menyedari terdapat keperluan besar untuk menyediakan pendidikan dan suasana pembelajaran kondusif buat golongan berkenaan.
"Saya kasihan melihat jurulatih yang tidak berkualifikasi dan kurikulum tidak sempurna. Anak-anak ini tidak mendapat pendidikan yang mampu menguatkan atau memberi mereka identiti sendiri," ujarnya.
Keprihatinan itu mendorongnya melanjutkan pengajian khusus dalam pendidikan autisme di India.
Suasana pembelajaran yang kondusif menjadi keutamaan di Alrite Autism Centre.
Kemudian mengambil kursus Tingkah Laku Gunaan (ABA) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebelum menjalani latihan pendidikan inklusif di Greece.
Pengalaman dan pengetahuan yang diraih sepanjang perjalanan ini menjadi asas kepada penubuhan Alrite Autism Centre pada 2012, dengan visi menyediakan persekitaran pendidikan berstruktur, menyeluruh dan berfokus pada keperluan kanak-kanak autisme.
Namun, perjalanan wanita itu untuk sampai ke tahap ini tidaklah mudah. Pelbagai cabaran dihadapi termasuk kesukaran menguruskan kewangan perniagaan, perceraian dan penipuan.
Ketika pusat tersebut mula beroperasi, Mishantini mengakui dirinya langsung tidak mempunyai asas perniagaan, pengalaman pemasaran ataupun mentor untuk membimbing.
Sudah hampir 20 tahun Mishantini (dua dari kiri) berkecimpung dalam industri pendidikan autisme.
Dugaan bertambah apabila beberapa tahun kemudian, alam perkahwinan wanita kelahiran Taiping, Perak itu mengalami pergolakan.
"Perceraian adalah ujian terbesar dalam hidup saya, apatah lagi bekas suami menguruskan bahagian kewangan, sementara saya fokus pada operasi.
"Selepas bercerai saya mengambil alih perniagaan sepenuhnya. Ketika itu, saya berdepan masalah emosi dek berakhirnya bahtera perkahwinan selama 10 tahun dan pada masa sama perlu memastikan bisnes terus berjalan," jelasnya.
Ujian dihadapi tidak berhenti di situ sahaja, ditimpa pula isu ketirisan kewangan oleh pekerjanya sendiri selama empat tahun.
Kurang pengetahuan tentang pengurusan kewangan menyebabkan beliau tidak menyedari penipuan wang berjumlah sekitar RM40,000 hingga RM50,000.
Alrite Autism Centre menjadi pilihan ibu bapa yang mencari rawatan terbaik untuk anak-anak autisme. — Instagram/alriteautismcentre
Lebih malang, pekerja tersebut meletakkan jawatan, meninggalkan Mishantini berhempas pulas menyelesaikan segala kekusutan kewangan dan operasi syarikat.
"Pada waktu itu, saya benar-benar bersendirian dan tidak mempunyai pilihan selain belajar dengan cepat tentang kewangan dan operasi perniagaan.
"Saya enggan berputus asa dan melihat situasi ini peluang untuk memperbaiki sistem, belajar daripada kesilapan serta membina semula perniagaan dengan lebih kukuh," bicaranya yang sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam industri pendidikan autisme.
Biarpun berdepan trauma pengkhianatan, tekanan emosi dan perpisahan perkahwinan, wanita ini tetap cekal memastikan perniagaannya berjalan.
Sehinggalah beliau mendapat bimbingan daripada jurulatih keusahawanan terkemuka di Malaysia, Mishantini mula memahami cara mengurus cabaran dan memulihkan semangatnya.
Tikam belakang
Ketika segalanya mula beransur baik, tanpa Mishantini sedari, takdir lain hadir menimpa.
Ketika membangunkan syarikat baharu bersama seorang rakan baik, beliau menghadapi konflik apabila kehilangan segala hasil kerja yang diusahakan.
“Semua rancangan dan kurikulum pembelajaran hasil kerja saya 'dicuri', itu sangat menyakitkan,” cerita Mishantini.
Tidak dapat menampung bebanan emosi yang bertimpa-timpa, wanita itu akhirnya menemui kaunselor sekitar 2021 untuk bimbingan memulihkan minda.
"Kaunselor meminta saya bangkit dan mula semula. Saya perlu menjadi pakar dalam industri ini dan menginspirasikan orang lain.
"Saya mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun membangunkan semula pasukan. Saya menghasilkan kurikulum baharu dan mendaftar pensijilan hak cipta.
"Kajian menunjukkan peningkatan besar pada anak-anak yang menggunakan program ini, termasuk kejayaan menghantar mereka ke sekolah arus perdana,” ujarnya yang memiliki 16 ahli terapi di pusat pembelajaran berkenaan.
Kini Alrite Autism Centre menjadi tumpuan bagi ibu bapa yang mencari rawatan dan terapi terbaik untuk anak-anak autisme.
Tidak hanya menerima permintaan ibu bapa sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, mereka juga mempunyai pelanggan daripada Maldives dan Jepun yang mendapatkan rawatan terapi, menjadikannya sebuah pusat terapi diiktiraf peringkat antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram